Dortmund: Separuh Masa Power, Separuh Lagi Macam ‘Shutdown’
Di Westfalenstadion, Borussia Dortmund mempamerkan dua wajah berbeza dalam keputusan seri 1-1 menentang Lille. Separuh masa pertama, mereka bermain dengan penuh disiplin dan strategi tetapi sebaik masuk separuh masa kedua, semuanya berubah. Ibarat komputer yang tiba-tiba hang! Sekarang, dengan keputusan seri tanpa kelebihan gol, perlawanan timbal balik di Perancis bakal menjadi cabaran getir.
Dortmund di Bawah Kovac: Masih Dalam Fasa Percubaan
Niko Kovac baru sebulan mengambil alih pasukan daripada Nuri Sahin dan setakat ini, prestasi Dortmund boleh dikatakan ‘ada naik, ada turun’. Sebelum perlawanan ini, mereka hanya tewas 2 kali daripada 6 perlawanan di bawah kendaliannya. Ia satu kemajuan yang perlahan tetapi positif.
Apa yang menarik, Dortmund kini bermain dengan pendekatan lebih pragmatik. Mereka tidak lagi terlalu ghairah menyerang tanpa hala tuju, sebaliknya lebih teratur dalam membina gerakan. Kovac yang terkenal dengan falsafah disiplin dan kerja keras nampaknya sedang cuba mengubah DNA Dortmund yang selama ini lebih gemar bermain dengan gaya menyerang yang bertenaga dan penuh emosi.
Namun, dengan skuad yang masih memerlukan pembaharuan dan beberapa pemain utama bergelut dengan prestasi, pendekatan ini mungkin yang terbaik buat masa ini.
Dortmund Separuh Masa Pertama: Tenang, Fokus dan Berdisiplin
Dalam separuh masa pertama, Dortmund bermain dengan penuh keyakinan. Mereka mengawal permainan, menyerang dengan cermat dan memastikan Lille tidak banyak ruang untuk mencipta peluang. Karim Adeyemi meledak gol separuh voli yang cantik, satu detik magis dalam perlawanan ini.
Berbeza dengan zaman Sahin, pasukan tidak lagi ‘tersimpul’ dengan hantaran yang tidak menentu atau terlalu ghairah menyerang hingga terdedah kepada serangan balas. Sebaliknya mereka lebih tenang, teratur dan bijak mengawal tempo permainan.
Separuh Masa Kedua: Dortmund ‘Shutdown’?
Namun, selepas rehat semuanya berubah. Seolah-olah suis ‘mode bertahan’ ditekan secara automatik. Dari pasukan yang bermain dengan yakin, Dortmund tiba-tiba menjadi pasif dan takut kehilangan kelebihan. Barisan pertahanan semakin ke belakang dan memberikan Lille lebih banyak ruang untuk menyerang.
Gol penyamaan Lille pada minit ke-68 hasil jaringan Hakon Haraldsson sebenarnya sudah dijangka. Tanda-tanda awal sudah kelihatan. Dortmund semakin takut untuk mengawal bola, hantaran mula bersimpang-siur dan pertahanan semakin kucar-kacir. Dari 84% ketepatan hantaran pada separuh masa pertama, ia menjunam ke 71% selepas rehat. Malah Dortmund hanya mencipta satu percubaan dalam tempoh 45 minit terakhir dan itu pun rembatan liar yang melayang jauh dari sasaran!
Keadaan semakin tegang di atas padang. Pemain mula saling menyalahkan sesama sendiri, isyarat kecewa antara satu sama lain semakin jelas. Momentum yang mereka bina pada awal perlawanan lenyap begitu sahaja dan semakin mereka cuba mendapatkannya kembali namun keadaan menjadi semakin teruk.
Apa Nasib Dortmund di Perancis?
Dortmund kini berdepan cabaran besar dalam aksi timbal balik di Perancis tanpa sebarang kelebihan. Mereka tidak boleh lagi mengulangi tabiat lama iaitu bermula dengan baik tetapi hilang arah selepas rehat.
Adakah Kovac mampu mengubah mentaliti pasukan dalam masa yang singkat? Atau adakah Dortmund masih akan dibelenggu dengan ketidakpastian dan ketakutan sendiri? Satu perkara pasti, jika mereka mahu mara ke pusingan seterusnya, permainan pada separuh masa kedua di Lille nanti perlu jauh lebih baik daripada apa yang dipamerkan di Westfalenstadion.
Jika tidak, peminat Dortmund mungkin perlu bersedia dengan satu lagi malam yang penuh kekecewaan.