Wayne Rooney Dedah Sebab Sebenar Alex Ferguson Tinggalkan Manchester United

Wayne Rooney adalah satu nama yang sangat dirindui di arena bola sepak dunia, terutamanya di kalangan penyokong kelab Manchester United. Selama 13 tahun di kelab Syaithon Merah, Rooney muncul antara pemain terbaik kelab tersebut sepanjang zaman dan memegang rekod jaringan terbanyak dalam sejarah pasukan dengan 253 gol.

Aksinya di atas padang yang sering dilihat bagaikan seekor singa yang kelaparan, Rooney mempunyai aura dan pengaruh yang begitu kuat dalam pasukan United sepanjang dia berada di kelab yang berpangkalan di Old Trafford tersebut.

Ditambah pula dengan bimbingan pengurus legenda, Alex Ferguson, United dilihat agak sukar dicabar oleh mana-mana kelab dalam memberi saingan terhadap kejuaraan pada setiap musim. Ferguson bersara pada tahun 2013 selepas memenangi gelaran liga yang ke-20 United, yang juga terakhir kelab tersebut sehingga ke hari ini.

Baru-baru ini Rooney mendakwa bahawa keputusan Alex Ferguson untuk bersara pada tahun tersebut adalah kerana pengurus itu sudah tahu bahawa pasukannya akan mengalami kemerosotan pada tahun-tahun yang mendatang.

Rooney berkata demikian dalam dokumentari terbaharu yang diterbitkan oleh Amazon, yang mula disiarkan pada hari Jumaat lalu dan di dalam siri ini, bekas penyerang utama England ini telah berkongsi banyak kisah di sebalik tabir yang tidak diketahui ramai.

Salah satu daripadanya adalah cerita di mana Rooney cuba untuk berpindah meninggalkan kelab Manchester tersebut selepas tamat Piala Dunia 2010, dengan Manchester City adalah antara pasukan yang berminat untuk mendapatkannya. Tambahan pula, pada ketika itu dia tidak gembira dengan hala tuju pasukannya sendiri.

Pada waktu itu, Rooney bukan setakat mengkonfrontasi Ferguson, malah dia mendakwa dia sudah tahu bahawa kelab ini akan terjunam dalam tempoh beberapa tahun.

“Mereka tawarkan aku kontrak £200,000 seminggu, jadi memang senang lah aku nak cakap ‘lima tahun, £200,000 seminggu… meh aku sign sekarang'” ujar Rooney.

“Memang mudah nak buat macam tu. Tapi aku mahukan kejayaan di atas padang – ini lebih bermakna bagi aku sebenarnya.

“Sebenarnya, kalau kau tengok dalam tempoh lima tahun selepas perbincangan tersebut – Alex Ferguson tahun ke mana hala tuju kelab dan dia meninggalkan [Manchester United] secepat yang dia mampu, dan sampai sekarang kelab masih belum mampu bangkit.”

Selepas Ferguson bersara pada tahun 2013, Rooney akhirnya kembali ke kelab yang mula memperkenalkan namanya ke pentas dunia, Everton, empat tahun kemudian manakala United pula masih tercungap-cungap mencari ramuan untuk kembali ke zaman seperti Ferguson.

Dalam dokumentari tersebut, Rooney turut berkongsi bagaimana dia dengan beraninya pergi berjumpa Ferguson di pejabat pengurus tersebut dan meluahkan rasa tidak puas hatinya tentang perpindahan pemain pada tahun 2010.

“Kita jual Carlon Tevez, lepas tu kita jual Cristiano Ronaldo, aku sorang je pemain yang ada nama yang tinggal.

“Aku pun pergilah ke pejabat Alex Ferguson, dan aku cakap kat dia: ‘Apa perancangan sebenarnya ni? Sekarang ni, kita bawa masuk dua pemain Inggeris yang belum lagi terbukti [kemampuannya]’.

“Aku masih ingat, jawapan Alex Ferguson – ‘Kau blah sekarang daripada pejabat aku ni!’,” cerita Rooney panjang lebar.

Dalam dokumentari yang bertajuk Rooney itu, ramai bekas rakan sepasukannya di United dan England memberikan pendapat mereka tentang pemain ini, dan bekas kapten Gary Neville, dilihat melepaskan amarahnya tanpa berlapik tentang bagaimana Rooney telah merencana perpindahan keluarnya dari kelab Syaithon Merah..

“Benda yang paling aku kecewa dengan Wayne adalah dia cerita benda tu [rancangan untuk berpindah] kepada umum [pemain United], tatkala kami semua sedang berjalan masuk ke bilik persalinan, dengan rakan sepasukannya sedang beraksi di atas padang.

“Jangan buat macam tu kat kami. Kau bawa kepalatan kau tu ke tempat lain.

“Dah masuk dalam berita Sky Sports, sampai kami tahu. Rasa macam kena baling dengan satu tan batu bata, sebab itu bukan dia. Ini memang bukan dia.

“Dia tak akan rosakkan rakan sepasukannya, dia adalah pemain berpasukan. Itu adalah satu-satunya ketika yang dia dah kecewakan orang lain,” kata Neville dengan penuh emosi.

Walaubagaimanapun, dalam amarah tetap ada pujian daripada Neville terhadap Rooney, terutamanya keberanian pemain yang ketika itu boleh dianggap sebagai pemain muda, berhadapan dengan Ferguson.

“Hari ni aku terfikir – ‘Memang berani betul dia buat tu’,” tambahnya lagi.

“Kitorang memang tak akan buat macam tu, memang takkan walau dalam sejuta tahun pun aku nak pergi jumpa pengurus dan tanya – ‘Eh, nanti nak beli siapa eh? Baik beli pemain yang bagus kalau tak saya blah!’. Kitorang memang akan kena tendang keluar dari pintu tu awal-awal sebelum sempat habiskan ayat. Kitorang memang tak mampu nak buat macam tu.

“Tapi kalau kau tengok pemain macam Bryan Robson dan Eric Cantona, Roy Keane dan Wayne Rooney.. ini adalah antara personaliti dan karakter yang mampu buat macam tu, sebab diorang adalah antara pemain yang terbaik dan itulah kelebihan diorang.

“Itu yang membuatkan diorang menonjol!”

Selepas meninggalkan United, Rooney telah bermain untuk Everton, DC United dan juga Derby County, sebelum menggantung but dan menjadi pengurus kelab divisyen dua England tersebut.

Meskipun berdepan cabaran dipotong 21 mata sebelum liga bermula dan tiada bajet untuk pembelian pemain, Rooney telah berjaya membawa Derby naik daripada tangga terbawah liga. Seandainya tiada pemotongan mata, pasukan kendalian Rooney seharusnya berada di pertengahan liga dan sudah bebas daripada zon penyingkiran.

Ketika ditanya, Rooney tidak berselindung dan menyatakan hasrat yang dia ingin menjadi pengemudi Manchester United pada suatu hari nanti.

Sumber : DM UK

BACA:  Kisah Ronaldo Lihat Cermin Tanpa Pakaian Lalu Berkata 'Messi tidak' kelihatan seperti ini'