Wenger: Arsenal Sudah Pulih Dari Krisis Selepas Catat 4 Kemenangan Berturut-turut

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendakwa pasukannya sudah keluar dari zon krisis selepas membimbing Arsenal mencatatkan 4 kemenangan berturut-turut dalam perlawanan terakhir mereka.

Arsenal tumpas dua kali di tangan Manchester City dengan jaringan 3-0 dalam final Piala Carabao dan juga dalam Liga Perdana Inggeris. Arsenal mengalami 4 kekalahan berturut-turut merangkumi sekitar bulan February dan Mac. Pada ketika itu, Wenger turut mengakui beliau dibenci sebilangan besar peminat Arsenal kerana posisi yang dijawatnya.

Tiada lagi krisis air di London

Arsenal kini hampir pasti akan mengakhiri musim ini di kedudukan luar ‘Top 4’ yang mana mereka jauh ditinggalkan penghuni tangga ke-4, Tottenham Hotspurs sebanyak 13 mata.

Dengan perlawanan liga hanya berbaki 7 perlawanan sahaja lagi, Arsenal bakal terlepas slot ke Liga Juara-Juara untuk dua musim berturut-turut sekiranya mereka gagal memenangi Europa League musim ini.

Arsenal bakal mengharungi perlawanan sukar menentang CSKA Moscow dalam saingan suku akhir Europa League yang bakal bermula Khamis ini.

Ketika bercakap dalam satu sidang media menjelang pertemuan Europa League di Emirates Khamis nanti, Wenger berkata pasukannya sudah kembali pulih dari kekecewaan tewas perlawanan akhir Piala Carabao dan turut menambah Arsenal sudah keluar dari zon krisis.

Pengalaman dikicapkan Manchester City 3-0 sebanyak dua kali dalam masa seminggu amat sukar untuk dihadam pemain Arsenal

“Kami sangat kecewa dengan keputusan ketika menentang Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Carabao. Ia mengambil masa untuk berkabung dan kembali pulih dari kekalahan seperti itu.”

“Oleh kerana mentaliti kuat yang dimiliki pasukan ini, mereka berjaya bangkit dan pulih sepenuhnya.”

“Bagi saya, anda menilai kekuatan sesuatu pasukan dengan cara bagaimana mereka keluar dari krisis. Saya percaya pasukan ini telah berjaya melakukannya dengan cukup positif sekali.”

“Sudah tentu ada tekanan yang lebih terhadap kami untuk memenangi kejohanan ini [Europa League] tetapi tekanan merupakan sebahagian daripada bolasepak.”

“Kami menilai kejohanan ini sebagai satu bentuk peluang untuk kami meraih kejayaan. Kami harus kekal fokus untuk bermain dengan baik dalam satu pasukan.”

Arsenal berjaya menjaringkan 9 gol dari 3 perlawanan terakhir mereka menentang Stoke, AC Milan, dan Watford. Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan selesa, ia dilihat gagal untuk mengembalikan keyakinan peminat terhadap pasukan Arsenal ini dan buktinya kehadiran di Emirates semakin berkurang dari hari ke hari.

Semoga Arsenal kembali insaf menentang CSKA Moscow dan julang Europa League musim ni

Wenger sering menjadi subjek segelintir peminat tuan rumah yang mahukan beliau meninggalkan Arsenal. Akan tetapi, Wenger menegaskan beliau tidak risau dengan atomosfera negatif stadium kerana peminat akan sentiasa berada di belakang pasukan setiap kali pasukan memerlukan mereka.

“Saya tidak risaukan atmosfera stadium. Penyokong Arsenal sering berada di belakang pasukan setiap kali kami memerlukan mereka. Apa yang bakal memberi kesan terhadap mood penyokong adalah kualiti permainan yang bakal dipamerkan pasukan dalam perlawanan itu nanti.”

“Saya sering risau apabila stadium kami tidak dipenuhi peminat tetapi saya tidak rasa ia akan menjadi satu masalah pada perlawanan CSKA Moscow nanti. Masalah kami adalah permainan yang bakal dipamerkan pasukan.”

BACA:  Arsenal Mahu Lepaskan 11 Pemain Sebelum Jendela Perpindahan Musim Panas Ditutup