Wenger Pertikai Keputusan Oxlade-Chamberlain Sertai Liverpool

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mempertikaikan tempat Alex Oxlade-Chamberlain dalam pasukan utama Liverpool, sambil berkata tiada pemain dijamin tempat dalam kesebelasan utama dengan hanya duduk bersahaja tanpa berusaha keras.

Bekas pemain Arsenal ini bakal pulang ke Emirates buat kali pertama sejak menyertai Liverpool musim panas lalu dengan yuran perpindahan berjumlah £35juta.

Pemain tengah berusia 24 tahun ini melakukan 132 penampilan sepanjang bersama Arsenal selama 6 tahun dan Wenger memberi amaran kepada Oxlade yang setiap pemain harus berusaha keras untuk memastikan tempat mereka dalam kelab besar.

Wenger gila talak !

“Adakah Oxlade dijamin tempatnya dalam kesebelasan utama Liverpool ? Tiada kelab yang dapat menjanjikan tempat dalam kesebelasan utama kepada pemain.”

“Di kelab besar, kamu akan menemui persaingan sengit untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama kerana terdapat banyak pemain yang bagus. Itu sememangnya normal. Adakah kamu dapat menjadi pemain ternama tanpa perlu bekerja keras ?”

“Kamu tidak akan dapat menjadi pemain bintang dengan hanya duduk di atas kerusi tanpa berusaha dengan keras. Itu bukan caranya. Setiap pemain harus berjuang untuk tempat mereka dalam pasukan.”

Ketika bersama Arsenal, Oxlade sering mengeluarkan kenyataan yang beliau melihat dirinya beraksi di bahagian tengah pada masa hadapan. Wenger pula mempunyai pendapat lain dengan meletakkan pemain ini di bahagian sayap atau wing-back.

Oxlade lebih kerap memanaskan kerusi empuk recaro sejak menyertai Liverpool

Dilaporkan salah satu faktor utama beliau memilih Liverpool adalah kerana Jurgen Klopp mahu menggunakan beliau di posisi tengah. Walaubagaimanapun, jika dilihat setakat ini, Oxlade masih lagi diturunkan bermain di bahagian sayap dan persembahan beliau apabila bermain di posisi tengah tidak terlalu meyakinkan.

Sejak menyertai Liverpool, Oxlade-Chamberlain masih lagi gagal mengesahkan tempatnya dalam kesebelasan utama skuad Jurgen Klopp. Beliau hanya mampu meraih 5 penampilan liga sebagai pemain utama dan 10 penampilan lagi hadir sebagai pemain gantian.

Walaupun Wenger membenarkan Oxlade berpindah ke Liverpool musim panas lalu, beliau sebenarnya mahu pemain antarabangsa England ini menandatangani kontrak baru bersama Arsenal tetapi Oxlade telah membuat keputusan untuk berpindah.

“Oxlade mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Arsenal. Pada permulaan musim, kami mempunyai 4 pemain yang berbaki setahun dalam kontrak mereka. Saya benar-benar mahu Oxlade menandatangani kontrak baru di Arsenal.”

Bagi aku main tengah coach

“Betul, beliau membuat keputusan untuk berpindah dan kami menghormati keputusan tersebut. Kami terpaksa mencari jalan penyelesaian terbaik dan mendapatkan yuran perpindahan setinggi yang mungkin.”

“Kadang kala, akan berlaku keadaan dimana pemain yang kami tidak mahu lepaskan, mahu berpindah keluar. Walaupun Oxlade bukan lagi pemain Arsenal, saya mahu pemain ini mempunyai karier yang baik pada masa hadapan.”

“Secara peribadi, saya berpendapat Oxlade bakal menjadi pemain penting buat England dan beliau akan terus berkembang menjadi pemain yang lebih baik selepas ini.”

BACA:  Juara Saingan Premier League Musim Ini Mungkin Akan Ditentukan Menerusi Aksi Play Off