Wenger: Tumpuan Arsenal Kini Terarah Kepada Europa League

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui sasaran utama pasukannya musim ini adalah untuk memenangi Europa League sambil mengakui Arsenal mempunyai peluang yang tipis untuk meraih kejayaan di Liga Perdana Inggeris.

Arsenal jauh ditinggalkan penghuni tangga ke-4 liga ketika ini, Tottenham Hotspurs yang juga seteru utama dengan perbezaan 13 mata.

Wenger mahu tiru apa yang Mourinho lakukan musim lepas ! 

Walaupun secara matematik Arsenal masih lagi mempunyai peluang untuk mengakhiri musim di kedudukan 4 teratas, Wenger sudah mengangkat bendera putih dan mahu fokus untuk memenangi Europa League bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Juara Europa League bakal mendapat satu slot automatik untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah dan Wenger mahu anak buahnya meniru apa yang telah dilakukan Manchester United musim lepas.

Sebelum ini, Wenger pernah mengeluarkan kenyataan masih terlalu awal untuk Arsenal mengalihkan tumpuan mereka terhadap kejohanan tersebut. Tetapi dengan perlawanan berbaki 5 sahaja lagi, hati Wenger sudah tergerak untuk mengalihkan sasarannya sebelum musim ini berakhir.

“Europa League sangat penting buat kami – semua orang mengetahuinya dan kami kini berada di peringkat dimana kami perlu fokus terhadap satu perkara sahaja. Ini kerana kami mempunyai peluang yang sangat, sangat tipis untuk mendaki naik carta Liga Perdana Inggeris.”

Tiada Miki kali ni tetapi Ramsey masih ada

“Europa League merupakan salah satu sasaran utama kami musim ini.”

Arsenal bakal bertemu CSKA Moscow awal pagi esok dalam perlawanan timbal balik suku akhir Europa League dan mereka memiliki kelebihan selesa selepas mencatatkan kemenangan 4-1 dalam pertemuan pertama di Emirates tempoh hari.

Selepas melihat Barcelona kecundang di tangan AS Roma walaupun mencatatkan kemenangan 4-1 dalam perlawanan pertama, Wenger telah memberi amaran kepada pemainnya supaya berjaga-jaga bagi mengelakkan malapetaka dari berlaku.

“Kami sedar Arsenal perlu mara sejauh yang mungkin dalam pertandingan ini. Apa yang berlaku ke atas Barcelona malam kelmarin adalah amaran awal kepada kami mengenai apa yang mungkin berlaku sekiranya kami tidak berhati-hati.”

“Kami mempunyai tugas besar yang perlu diselesaikan tetapi kami berada dalam kedudukan yang baik untuk melakukannya. Kami memiliki kelebihan dan cara terbaik untuk bermain dengan kelebihan adalah memenangi perlawanan tersebut.”

Xhaka dibiarkan di London kerana risau selesamanya berjangkit kepada pemain lain

“Saya akan menurunkan pasukan yang terbaik untuk menghadapi CSKA Moscow dan memastikan sikap pasukan kekal positif. Saya mahu Arsenal menang perlawanan itu nanti.”

Arsenal akan turun tanpa beberapa khidmat pemain utama seperti Granit Xhaka yang terpaksa ditinggalkan di London kerana mengalami selesama.

Selain itu, pemain lain yang masih lagi menerima rawatan akibat kecederaan adalah David Ospina (pergelangan kaki), Henrikh Mkhitaryan (lutut), dan Santi Cazorla (Achilles).

Pembelian rekod kelab, Pierre Emerick-Aubameyang tidak boleh didaftarkan untuk bermain dalam Europa League musim ini kerana kelab lamanya, Borussia Dortmund turut beraksi dalam kejohanan yang sama.

BACA:  Frimpong Dedah Kisah Silam Bersama Arsenal, Berdendam Dengan Nasri