West Ham Leburkan Rekod Lima Tahun Tanpa Kalah Man City Dalam Saingan EFL

West Ham United berjaya menjadi pasukan pertama yang menewaskan Manchester City dalam aksi saingan Carabao Cup sejak lima tahun lalu.

The Hammers berjaya menewaskan Juara bertahan saingan Premier League itu menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Anak-anak buah Moyes berjaya mengakhiri era dominasi Manchester City dalam pertandingan ini, dengan mereka telah berjaya muncul sebagai Juara sebanyak empat kali berturut-turut.

Sebelum kekalahan bertemu West Ham, kali terakhir The Citizens tewas dalam aksi saingan Carabao Cup adalah pada 26 Oktober tahun 2016, yang mana kira-kira lima tahun yang lalu.

Phil Foden gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti untuk City, sementara West Ham berjaya menyempurnakan kesemua lima sepakan mereka.

Ketua pasukan, Mark Noble yang jarang diturunkan pada musim terakhirnya pada musim ini, telah diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan ini.

Beliau beraksi dengan sangat baik sepanjang perlawanan dan turut cemerlang menyempurnakan sepakan penalti pertama West Ham.

Jarrod Bowen, Craig Dawson dan Aaron Cresswell juga turut berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, sebelum Said Benrahma muncul sebagai wira menjaringkan gol kemenangan.

Joao Cancelo, Gabriel Jesus dan Jack Grealish tampil sebagai pengambil sepakan penalti untuk City, dengan mereka berjaya untuk menyempurnakan tugasan masing-masing.

Ketika perlawanan berlangsung, Noble sebenarnya berpeluang untuk meledak gol, namun percubaan cantik beliau berjaya dinafikan oleh penjaga gol City, Zack Steffen.

Pemain muda City, Cole Palmer yang kini berusia 19 tahun telah dipertanggungjawabkan untuk turun sebagai penyerang utama The Citizens dalam perlawanan ini.

Manchester City membuat sembilan pertukaran dari skuad utama mereka untuk beraksi dalam perlawanan ini, namun kesemua yang dimasukkan juga merupakan pemain berkelas dunia.

Palmer sebelum ini pernah menjaringkan gol ketika beraksi bertemu Wycombe dalam pertandingan ini, dan turut meledak gol ketika bertemu Club Brugge dalam saingan Champions League.

Beliau berkesempatan untuk menambah jaringan peribadinya untuk Manchester City, namun percubaan beliau ketika menerima umpanan dari Riyad Mahrez berjaya diselamatkan oleh Alphonse Areola.

West Ham turut berkesempatan untuk memperoleh gol dalam perlawanan ini, namun sekali lagi Steffan berjaya menjadi wira selepas beliau menyelamatkan percubaan dari Masuaku.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan mempamerkan aksi serang menyerang sepanjang perlawanan dalam usaha masing-masing untuk mencari gol kemenangan.

Walau berkesudahan dengan keputusan 0-0, namun tidak dinafikan lagi yang para pemain kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang cukup menakjubkan sepanjang perlawanan ini.

Pengurus West Ham, David Moyes sudah dapat merasakan yang skuadnya akan sekali lagi membuat kejutan selepas mereka sebelum ini menundukkan Manchester United.

Dengan menurunkan pemain seperti Bowen, Benrahma dan Pablo Fornals, West Ham United jelas sekali The Hammers turun dengan visi untuk memperoleh kemenangan.

Manchester City sebenarnya lebih berpeluang untuk menang dengan Palmer dikelilingi deretan peluang namun beliau gagal untuk menyudahkannya dengan jaringan.

Sterling, Gundogan dan Zinchenko juga berpeluang untuk menjaringkan gol namun kesemuanya berjaya dinafikan oleh Areola dan barisan pertahanan West Ham.

Kejayaan West Ham menewaskan Manchester City sepertinya menambah lagi semangat mereka untuk beraksi di peringkat suku akhir nanti.

Sunderland, Liverpool, Brentford, Chelsea, Arsenal, Tottenham Hotspur, Leicester City dan West Ham merupakan pasukan yang masih tinggal untuk beraksi di pentas suku akhir saingan Carabao Cup musim ini.

Memandangkan masing-masing sudah mara sehingga ke peringkat ini, sudah tentu mereka mahu mara lebih jauh dan mengelak untuk tersingkir.

Sumber: talkSPORT

BACA:Β  West Ham 'Reject' Tawaran Dan Syarat Bonus Mengarut Arsenal Untuk Declan Rice