Zidane Kekal Dengan Keputusan Tiada ‘Guard of Honour’ Untuk Barcelona

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane mengesahkan pasukannya tidak akan memberikan penghormatan ‘Guard of Honour’ kepada Barcelona apabila kedua-dua pasukan bertembung minggu hadapan.

Barcelona sudah bergelar juara La Liga musim ini dalam aksi El-Clasico berikutnya tetapi Zidane berkata pasukannya tidak akan memberikan penghormatan tersebut kepada Barcelona.

Kami tidak akan berbaris untuk anda, Barcelona

Mengikut tradisi, mana-mana pasukan akan memberikan ‘Guard of Honour’ kepada pasukan yang telah mengesahkan status mereka sebagai juara. Ini bermakna Barcelona mungkin sudah bergelar juara La Liga apabila kedua-dua pasukan bertembung di Nou Camp pada 6 Mei yang akan datang.

Walaubagaimanapun, menurut Zidane, mereka tidak akan meneruskan tradisi tersebut kerana Barcelona telah memecahkan tradisi itu musim lalu apabila mereka enggan memberikan penghormatan kepada Los Blancos atas kejayaan mereka memenangi Piala Kelab Dunia hujung tahun lepas.

Dalam aksi La Liga pada 23 Disember 2017, Real Madrid yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Piala Kelab Dunia untuk dua tahun berturut-turut turun menentang Barcelona di gelanggang sendiri. Walaubagaimanapun, Real Madrid tidak menerima sebarang penghormatan daripada Barcelona dalam perlawanan tersebut.

Dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Atletico Madrid hujung minggu ini, Zidane mengesahkan kepada pemberita yang pasukannya tidak akan melakukan ‘Guard of Honour’ kepada Barcelona walaupun mereka sudah bergelar juara La Liga pada ketika itu.

Suatu ketika dahulu di zaman Puyol

“Saya tidak tahu berapa kali anda akan bertanya saya mengenai soalan tersebut tetapi jawapan saya adalah jelas, kami tidak akan melakukan ‘Guard of Honour’ untuk mereka.”

“Ia merupakan keputusan saya dan ianya adalah muktamad. Saya tidak faham mengenai ‘Guard of Honour’ dan ia tidak akan berlaku, walaupun musim ini masih lagi untuk berakhir.”

“Barcelona memecahkan tradisi tersebut tahun lepas.”

Zidane juga pernah berkata pada Disember lalu yang beliau tidak berminat untuk memberikan penghormatan tersebut kepada Barcelona, walaupun beliau menyedari Barcelona merupakan calon pilihan untuk muncul juara La Liga pada ketika itu.

Komen Zidane itu hadir berikutan kenyataan dari pengurus Barcleona, Ernesto Valverde yang mempertahankan tindakan pemainnya yang tidak memberikan ‘Guard of Honour’ kepada Real Madrid atas kejayaan memenangi Piala Kelab Dunia tahun lepas.

“Guard of Honor merupakan satu tradisi simbolik yang digunakan untuk memberikan penghargaan kepada pasukan lawan. Kami mengakui kejayaan yang diperolehi Real Madrid musim lepas.”

Barcelona pecah tradisi apabila mereka enggan beri Guard of Honor selepas Madrid muncul juara Piala Kelab Dunia Disember tahun lepas.

“Walaubagaimanapun dalam hal tersebut, saya tidak mahu melakukan ‘Guard of Honour’ untuk pasukan lain, dan saya juga tidak mahu pasukan lain melakukannya terhadap pasukan saya. Tradisi ini sudah hilang kepentingannya sejak beberapa tahun yang lepas.”

Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique turut memberikan respons atas kenyataan Zidane itu dengan berkata secara sinis beliau tidak akan dapat tidur memikirkan keputusan pengurus berasal dari Perancis.

“Saya tidak akan dapat tidur malam ini.” Ujar Pique.

Ramos: Real Madrid Tidak Akan Lakukan ‘Guard of Honour’ Untuk Barcelona

Kapten Real Madrid, Sergio Ramos berkata pasukannya tidak akan melakukan ‘Guard of Honour’ kepada Barcelona apabila kedua-dua pasukan bertembung di Nou Camp hujung minggu ini.

Barcelona mengesahkan kejuaraan La Liga musim ini dengan menewaskan Deportivo La Coruna 4-2 kelmarin. Ia merupakan kejuaraan La Liga ke-7 mereka dari 10 musim yang terdahulu.

Real Madrid tidak akan tunduk desakan Alba untuk lakukan guard of honour

Los Cules berpeluang cerah untuk menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan sekiranya mereka mengelak dari kalah dalam pertemuan El-Clasico hujung minggu ini dan 3 perlawanan La Liga seterusnya.

Seperti kebiasaan, pasukan yang menjuarai liga akan menerima penghormatan dalam bentuk ‘Guard of Honour’ dari pasukan lain sebagai menghargai pencapaian muncul juara. Tradisi tersebut turut disokong oleh bek kiri Barcelona, Jordi Alba yang mahu Real Madrid berbuat demikian apabila kedua-dua pasukan bertemu di Nou Camp Ahad nanti.

Walaubagaimanapun, perkara tersebut tidak berapa disambut baik kem Real Madrid dan kapten mereka, Sergio Ramos berkata mereka tidak akan melakukan ‘Guard of Honour’ kerana Zinedine Zidane tidak mahu anak buahnya berbuat demikian.

King Messi

Ketika bercakap kepada sidang media menjelang pertemuan menentang Bayern Munich awal pagi Rabu, Ramos mengesahkan perkara demikian sebagai menghormati arahan jurulatih mereka.

“Apa yang Zidane katakan sebelum ini mengenai ‘Guard of Honour’ adalah muktamad. Pihak media terlalu menggembar-gemburkan perkara ini. Barcelona berjaya memenangi La Liga, iaitu perkara yang mereka mahukan tetapi kami tidak akan membuat ‘Guard of Honour’ untuk mereka. Muktamad.”

“Barcelona mahu meraikan kejuaraan mereka dan perkara yang sama buat kami iaitu kami perlu menyingkirkan pasukan Jerman untuk mara ke perlawanan akhir.”

Real Madrid berada dalam landasan terbaik untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut dan pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkata beliau akan mengarahkan anak buahnya supaya menyerang kubu Bayern Munich awal pagi Rabu nanti.

“Kunci utama bagi kami adalah berfikir bagaimana untuk memenangi perlawanan dan turun ke padang dengan matlamat tersebut. Kami perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gol awal dan itu yang akan kami cuba lakukan nanti.”

Dalam landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Eropah yang dimenangi mereka musim lepas

“Ini merupakan perlawanan separuh akhir, kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan apa yang kami perlu lakukan untuk menang. Kami tidak perlu mengubah apa yang kami telah lakukan sebelum ini.”

“Fokus dan semangat juang akan kami pamerkan di padang nanti – kami tidak perlu melakukan perubahan terlalu banyak. Apa yang kami telah lakukan dalam perlawanan pertama sudah cukup baik.”

“Tetapi untuk perlawanan timbal balik ini, kami perlu menunjukkan persembahan yang menggambarkan matlamat kami untuk mara ke pentas final.”

BACA:  Bintang Muda Barca, Gavi Mencuri Tumpuan Peminat Ketika Beraksi Bertemu Girona