Zidane Tidak Akan Lepaskan Isco, Mahu Beliau Kekal Sehingga Bersara

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkata spekulasi yang mengatakan Isco bakal dilepaskan musim panas nanti adalah salah, sambil menambah beliau mahu pemain ini kekal sehingga bersara dari bolasepak.

Pemain tengah antarabangsa Speanyol ini telah dikaitkan dengan beberapa kelab besar di Liga Perdana Inggeris tetapi Zidane bertegas beliau tidak akan sekali-kali melepaskan Isco selagi beliau menjadi pengurus di Santiago Bernabeu.

Kelab Liga Perdana Inggeris boleh terus berangan untuk memiliki Isco menurut Zidane

Isco berjaya menampilkan prestasi yang cemerlang musim lalu dimana beliau memainkan peranan penting membantu Real Madrid merangkul La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.

Walaubagaimanapun, prestasi Real Madrid musim ini merudum dengan teruk dan Isco antara pemain yang terkesan dengan penurunan ini. Isco sering dipinggirkan dalam kesebelasan utama musim ini dan situasi ini telah menarik minat kelab-kelab luar untuk memancingnya keluar.

Dalam perlawanan El-Clasico sebelum cuti musim sejuk lalu, Isco hanya diletakkan di bangku simpanan sepanjang perlawanan. Beliau juga hanya bermula dari bangku simpanan ketika Real Madrid mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Levante minggu lalu.

Kelab besar seperti Chelsea, Manchester City dan Liverpool telah dikaitkan dengan bekas pemain Malaga ini. Walaubagaimanapun, Zidane ketika berucap dalam sidang media menjelang pertemuan menentang Real Sociedad minggu ini berkata spekulasi yang mengaitkan perpindahan Isco ke England adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya gembira kamu bertanya mengenai Isco. Saya telah ditanya sebelum tirai perpindahan Januari lalu mengapa kami tidak menandatangani pemain.”

“Saya pernah berkata yang saya mempercayai pasukan ini, dan pendirian saya kekal sehingga berakhir musim ini. Isco adalah sebahagian dari skuad kami. Beliau adalah pemain bolasepak yang amat bagus, dan telah membuktikan keupayaannya pada masa lalu dan masa yang akan datang.”

“Saya mahu Isco terus kekal dalam skuad ini dan saya berharap beliau menghabiskan kariernya bersama Real Madrid. Spekulasi yang mengatakan saya mahu menjual Isco musim panas ini adalah palsu. Diharap saya tidak akan dengar lagi perkara ini selepas ini.”

Bakal memainkan peranan yang penting buat Sepanyol musim panas ini

Walaupun menerima sokongan daripada Zidane sendiri, itu tidak bermakna Isco akan diturunkan dalam setiap perlawanan kerana persaingan yang sengit dalam skuad Real Madrid.

“Skuad ini mempunyai 25 orang pemain. Semua pemain adalah penting. Hari ini saya ditanya mengapa Isco tidak diturunkan. Selepas ini, pihak media akan bertanya mengenai Asensio pula.”

“Perkara yang paling penting buat saya adalah pasukan. Isco tidak akan bermain setiap perlawanan sehingga tamat musim ini tetapi beliau adalah sebahagian daripada skuad ini. Saya perlu memilih pasukan. Terdapat banyak lagi perlawanan selepas ini.”

“Segala soalan mengenai isu ini adalah sukar untuk dijawab. Tetapi saya yang paling tersepit kerana saya perlu membuat keputusan yang amat sukar.”

Isco hanya melakukan 14 penampilan dalam kesebelasan utama Los Blancos musim ini dan berjaya menjaringkan 5 gol. Dalam peringkat Eropah pula, beliau diturunkan dalam 5 dari 6 perlawanan yang diharungi Real Madrid dalam peringkat kumpulan.

BACA:  Bagaimana Karier Eden Hazard Dimusnahkan Oleh Rakan Senegaranya Sehingga Bersara