Zlatan Buli Lucas Dengan Pemain Lazio Lain Goyang Nak Campur

Zlatan Ibrahimovic buli Lucas Leiva dengan tiada seorang pun pemain Lazio yang berani masuk campur atau berdepan dengan bintang handalan Sweden itu.

Dewa bola sepak Sweden itu membuat kemunculan semula bersama AC Milan dengan beliau telah mencetuskan insiden hangat ketika beraksi bertemu Lazio malam semalam.

Bintang berusia 39 tahun itu dengan segera menunjukkan impak sebaik diturunkan beraksi dalam perlawanan yang dilangsungkan di San Siro itu.

Beliau dimasukkan pada minit ke-60 permainan dan berjaya menjaringkan gol tujuh minit sahaja selepas beraksi untuk memastikan Milan mencatatkan kemenangan 2-0 menewaskan Lazio.

Ante Rebic berjaya menghantar bola cantik mencari bintang Sweden itu, yang dengan mudah menjaringkan gol pertama beliau sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, ketika perlawanan sudah hampir tamat dengan mereka hanya menanti wisel penamat dibunyikan, bekas pemain Manchester United itu telah terlibat dengan insiden pergaduhan dengan bekas bintang Liverpool, Lucas.

Pemain kebangsaan Brazil itu cuba mengasak Zlatan yang kemudiannya mencekik leher Lucas dari belakang sebelum menolaknya ke belakang.

Lucas seolah seperti seorang kanak-kanak tadika yang dibuli oleh remaja sekolah menengah dengan beliau hanya mampu mencarut dari jauh sahaja ke atas Zlatan.

Ibrahimovic turut mengeluarkan kata-kata panas, namun tidak ada seorang pemain pun dari kem Lazio yang berani mendekat.

Maurizio Sarri bahkan dilayangkan kad merah kerana memaki pengadil perlawanan kerana mengabaikan insiden yang melibatkan Zlatan dan Lucas.

Sementara Zlatan santai di tengah padang memaki hamun sesiapa yang beliau mahu, dengan pemain Lazio sekadar datang beramai-ramai untuk memeriahkan suasana.

Dari kesemua pemain Lazio yang berkerumun ke kawasan tersebut, tidak ada sesiapa antara mereka yang berani berdepan dengan Zlatan.

Walau bagaimanapun, Pedro dengan tiba-tiba menghampiri Zlatan namun bukan untuk berkonfrontasi, tetapi mereka sekadar berpeluk sambil membawang berdua.

Keadaan ketika itu huru-hara namun Zlatan sekadar membebel seorang diri sambil beberapa pegawai Milan berada di sebelahnya sebelum Pedro mendekat.

Pemain Lazio lain sekadar membantah ke arah pengadil, dan sesekali menunjukkan isyarat tidak puas hati pada Zlatan, tetapi dari jauh sahaja dan terus berlalu pergi.

Kemenangan tersebut membawa AC Milan ke kedudukan kedua dalam carta liga, selepas mereka mengumpul sembilan mata dari tiga perlawanan.

AC Milan, Napoli dan AS Roma berada di kedudukan tiga teratas dengan mereka menang dalam semua tiga perlawanan awal liga musim ini.

Juara saingan Serie A musim lalu, Inter Milan pula berada di kedudukan keempat dengan mengumpul tujuh mata, sementara Lazio di kedudukan keenam dengan mengumpul enam mata.

AC Milan selepas ini bakal beraksi bertemu Liverpool dalam aksi saingan Champions League pada 16 September nanti di Anfield.

Milan mungkin bakal turun tanpa kehadiran penandatanganan terbaru mereka, Olivier Giroud, sementara Liverpool bakal kehilangan khidmat bintang muda, Harvey Elliott yang mengalami kecederaan ngeri ketika beraksi bertemu Leeds malam semalam.

Kecederaan yang dialami oleh bintang muda Liverpool itu berkemungkinan bakal memakan masa yang lama untuk kembali sembuh sepenuhnya.

Namun skuad Liverpool sepertinya tiada masalah untuk berdepan dengan AC Milan nanti dengan mereka juga pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaik kelab.

Barisan pertahanan yang semakin mantap, gandingan Fabinho dan Thiago Alcantara di posisi midfield dan ketajaman jentera serangan yang dibarisi oleh Mane, Salah dan Jota sepertinya cukup untuk memberi cabaran pada AC Milan.

Kedua-dua pasukan tentunya bakal mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menarik untuk ditonton dalam perlawanan pembukaan mereka dalam saingan Champions League nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Berbanding Mengamuk, Zlatan Lebih Memilih Untuk Memujuk Pengadil Yang Rompak Kemenangan Milan