3 Pemain Cerdik Indonesia Yang Bisa Mendatangkan Huru-Hara Kepada Malaysia

Pertemuan antara dua pasukan jaguh Nusantara, Indonesia dan Malaysia, seringkali menjadi perlawanan yang mendapat perhatian meluas rakyat kedua-dua buah negara dek perseteruan yang panjang dan lama di antara dua timnas ini dan tidak keterlaluan untuk kita mengangkat perlawanan ini sebagai El Classico versi Asia Tenggara.

Jika pasukan Malaysia menang, maka bertaburanlah komen para warganet Malaysia di laman sosial Indonesia dan sebaliknya berlaku jika Indonesia menang nanti.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia tampak selesa dan sering berjaya menewaskan pasukan jirannya. Namun dalam aksi Piala AFF 2020 pada kali ini, pasukan Harimau Malaya dilihat agak tempang dan kurang menyengat manakala Sang Garuda pula dilihat agak garang atau galak ngomongnya wong Jowo.

Manakan tidak, Malaysia kehilangan dua pertahanan utama – Aidil Zafuan dan Shahrul Saad – terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan yang mengambil masa agak lama untuk sembuh.

Mungkin Dion Cools akan diletakkan di dalam kesebelasan utama Malaysia, tetapi tidak dapat dijangka lagi sama ada keserasian pemain yang berpangkalan di Denmark ini dengan pemain yang sedia ada di dalam kem.

Indonesia pula mempunyai pemain di bahagian serangan yang tidak kurang hebatnya. Media atas talian Indonesia, bola.com, telah menyenaraikan tiga pemain Garuda yang bisa bikin Malaysia puyeng pada malam ini.

Puyeng ni maksud dia pening lah kot.

Witan Sulaeman

Sebagai pemain yang boleh bermain di posisi tengah serangan (attacking midfielder) dan juga penyerang sayap, kualiti yang ada pada Witan pasti menjadi pertaruhan utama Indonesia ketika melakukan serangan.

Pemain ini mempunyai naluri serangan, gelecekan yang bagus dan juga mampu meletakkan dirinya di dalam posisi yang tepat, menjadikan dia sebagai ancaman utama kepada pasukan Harimau Malaya.

Dalam perlawanan awal pasukan Indonesia di Kumpulan B, Witan diturunkan di dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang Kemboja dan Vietnam. Menentang Laos, dia dimasukkan ke padang menggantikan Kushedya Hari Yudo pada permulaan separuh masa kedua.

Tiga perlawanan menyaksikan Witan menjaringkan satu gol, ketika menentang Laos menerusi rembatan leret yang tidak berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

Witan menyertai kelab Lechia yang bermain di divisyen satu Poland pada bulan September 2021. Memandangkan usianya masih muda dan memerlukan banyak pendedahan, Witan telah diletakkan bersama skuad pembangunan, Lechia Gdansk II.

Walaupun usianya masih mentah, 20 tahun, kelibat Witan tidak boleh dipandang sepi oleh pemain pasukan Malaysia.

Evan Dimas

Dalam perlawanan menentang Vietnam ketika perlawanan ketiga Kumpulan B, Evan Dimas disimpan terlebih dahulu oleh ketua jurulatih, Shin Tae-Yong di bangku simpanan pada separuh masa pertama. dan hanya dimasukkan selepas waktu rehat minum air menggantikan pemain tengah bertahan, Rachmat Irianto.

Dari segi posisi di atas padang, Evan dilihat sering bermain sebagai pemain tengah jenis box to box dan menjadi watak utama dalam menjana serangan pasukan Indonesia. Menentang Malaysia, Evan Dimas dijangka sekali lagi bakal menjadi pemain yang bakal memacu serangan pasukan Garuda ke kubu Harimau Malaya.

Setakat ini, kapten Indonesia tersebut telah menjaringkan dua gol dalam Piala AFF Suzuki 2020 – ketika menentang Kemboja dan Laos.

Ricky Kambuaya

Pemain tengah pasukan Persebaya Surabaya ini dilihat mempunyai keupayaan sebagai pemain serangan yang baik. Dengan kreativiti yang tinggi dan naluri serangan yang besar, kelibat Rikcy Kambuaya ini perlu diawasi oleh para pemain Malaysia.

Dalam tiga perlawanan awal pasukan Indonesia dalam aksi Kumpulan B, Rikcy Kambuaya diturunkan di dalam kesebelasan utama oleh Shin Tae-Yong dan bermain penuh selama 90 menit.

Ini membuktikan bahawa Ricky Kambuaya merupakan pemain yang sangat dipercayai oleh ketua jurulatih timnas Indonesia tersebut dan dijangka akan diturunkan sekali lagi ketika menentang Malaysia.

Rikcy Kambuaya (tengah) dijangka diturunkan lagi menentang Malaysia nanti. Gambar : bola.com

Setakat ini, pemain berusia 25 tahun ini telah menyumbangkan satu assist  buat pasukannya, dan aksi lincahnya di tengah padang telah menyaksikan dia ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan ketika menentang Kemboja.

sekaligus membolehkannya membawa pula sebiji telefon pintar jenama Oppo model A95 yang amat sesuai untuk digunakan jika ingin mengambil gambar selfie.

BACA:  Faisal Halim BerSIU Dan Aksi Heroic Syihan Beri Kemenangan Pertama Harimau Malaya Di Piala AFF 2022