5 Pemain Di Euro 2020 Yang Boleh Cetus Perpindahan Mengejutkan Selepas Ini

Euro 2020 adalah salah satu kejohanan terbesar di dunia di mana sejarah dicipta dan hero baharu mencipta nama. Kejohanan sebegini biasanya menjadi medan pemain muda dan veteran mencipta nama sekaligus menaikkan saham masing-masing di pasaran pemain.

Berikut pula adalah lima pemain paling menyinar setakat ini, dan hampir pasti akan mencetuskan perebutan di kalangan kelab-kelab besar eropah untuk mendapatkan khidmat mereka selepas kejohanan Euro 2020 berakhir.

Domenico Berardi – Italy

Sassuolo menamatkan saingan Serie A Itali di kedudukan ke-8 sejak dua musim terakhir. Tiada siapa boleh menafikan Domenico Berardi adalah antara tunjang kelab kerdil itu dengan sumbangannya yang cukup penting.

Pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan 17 gol dan menghasilkan lapan assists dalam 30 penampilan untuk Sassuolo sepanjang musim 2020/21. Pemain ini sudah lama menyerlah apabila penampilan di Serie A pada musim 2013/14 dan 2014/15 sebagai pemain muda mulai mencuri perhatian. Namun prestasi beliau selepas itu merudum teruk sehingga ramai yang lupa potensi sebenar pemain ini.

Berardi kini dilihat seperti sudah bangkit dan mulai diberi kepercayaan untuk menyarung jersi Itali di Euro 2020. Corak permainan dinamik telah membantu Itali merekodkan dua kemenangan, dan beliau turut terlibat dalam semua tiga gol yang dijaringkan ketika menentang Itali.

Pemain ini juga beraksi dengan cemerlang ketika Itali menewaskan Switzerland 3-0. Larian beliau dari sebelah sayap kanan diikuti satu hantaran cut-back membenarkan Locatello menjaringkan gol pertama perlawanan.

Denzel Dumfries – Netherlands

Bek kanan PSV Eindhoven, Denzel Dumfries antara yang menampilkan aksi cemerlang di Euro 2020 setakat ini. Dumfries memainkan peranan cukup penting ketika Belanda mengukir kemenangan 3-2 ke atas Ukraine. Beraksi di posisi bek sayap di sisi sebelah kanan, ancamam beliau di bahagian serangan cukup menonjol.

Larian diikuti hantaran lintang dari Dumfries membuka laluan untuk gol pertama Belanda dalam perlawanan tersebut. Aksi di babak kedua juga konsisten, sebelum pemain ini menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 perlawanan untuk memberikan tiga mata penting kepada skuad kendalian Frank de Boer.

Dufries adalah pemain yang versatile dan boleh beraksi di kedua-dua belah sayap. Senjata utamanya ialah kemampuan untuk membantu pasukan melakukan serangan. Larian pemain ini sering membuatkan pemain bek lawan sentiasa sibuk.

Sudah oun dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich, ia tidak menghairankan Dumfries akan menjadi antara pemain yang menjadi sebuta di jendela perpindahan pemain sebaik komitmen beliau di Euro 2020 nanti tamat.

Patrik Schick – Czech Republic

Patrik Schick sudah pun menjadi antara pemain bintang di peringkat awal kejohanan ini. Schick menjaringkan dua gol ketika membantu Republik Czech menewaskan Scotland 2-0. Gol kedua dari jarak hampir 50 meter yang menjadi rekod gol paling jauh pernah dijaringkan turut boleh menjadi gol terbaik kejohanan kali ini.

Ia perkembangan menakjubkan buat Schick secara individu. Penyerang berusia 25 tahun itu sebelum ini dilayangkan kad merah ketika Republi Czech berhadapan dengan Wales di pusingan kelayakan Piala Dunia tiga bulan lalu selepas memukul Tyler Roberts di muka.

Reputasi Schick sebagai penyerang yang memiliki penyudah berbahaya semakin meningkat sejak kebelakangan ini, terutama selepas menonjol bersama Bayer Leverkusen.

Pada musim lalu, beliau menghasilkan 13 gol dan dua assist dari 36 penampilan di peringkat kelab. Bersama pasukan negaranya, Schick setakat ini telah mengjasilkan 13 gol dari 27 penampilan. Euro 2020 seperti pentas milik Schick untuk menyinar.

Kalvin Phillips – England

Siapa yang menjangkakan pemain tengah Leeds United, Kalvin Phillips akan menjadi hero dalam perlawanan pembukaan untuk England menentang Croatia. Phillips sebelum itu menyerlah bersama Leeds dan merupakan salah seorang pemain pertahanan tengah terbaik di Premier League.

Phillips adalah salah seorang pemain paling meningkat naik di Leeds di bawah bimbingan Marcelo Bielsa.

Tetapi di bawah Southgate, Phillips diberikan peranan yang berbeza. Bukan sahaja beraksi seperti seorang sweeper, Phillips juga bertindak sebagai pemain tengah box-to-box.

Dari kalangan pemain yang diturunkan menentang Croatia tempoh hari, nama Phillips paling menjadi sebutan. Ia pasti sukar untuk Leeds mengekakan pemain itu pada musim hadapan.

Manuel Locatelli – Italy

Manuel Locatelli mempamerkan aksi luar biasa apabila menjaringkan dua gol untuk membantu Itali menewaskan Switzerland 3-0 dalam aksi peringkat kumpulan kejohanan Euro 2020.

Kemenangan itu sekaligus menjadikan skuad Azzurri pasukan pertama layak ke pusingan 16 terakhir selepas mengumpul enam mata hasil dari dua kemenangan.

Pada usia 23 tahun dan 159 hari, Locatelli merupakan penjaring gol termuda untuk kempen Euro 2020 setakat ini.

Aksinya mengawal permainan di bahagian tengah ternyata begitu memukau sehingga menenggelamkan nama-nama pemain lain seperti Jorginho dan Granit Xhaka yang lebih dikenali.

Sehingga kini nama Locatelli telah menarik perhatian beberapa kelab ternama Eropah. Arsenal, Tottenham Hotspur, Manchester City dan Juventus adalah diantara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Penutup

Siapakah lagi pemain yang bakal menyerlah selepas ini? Kejohanan Euro 2020 masih lagi panjang.

Ia pasti menarik untuk melihat ramai pemain terutama dari kalangan pemain muda cuba tampil untuk memikat pemantau-pemantau bakat dari liga-liga utama eropah.

BACA:  'Bromance' White Dan Phillips Mengingatkan Peminat Terhadap Aksi Romantis Reus Dan Lewandowski