6 Pengadil VAR Dipecat Selepas Insiden Perkauman Babitkan Vinicius Jr

Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) dan Komiti Teknikal Pengadilan Sepanyol telah memecat enam pengadil VAR selepas insiden memalukan berkenaan isu perkauman membabitkan bintang Real Madrid, Vinicius Jr.

Vinicius menjadi perhatian utama komiti bola sepak dunia selepas kekalahan 1-0 Real Madrid kepada Valencia pada hujung minggu lalu atas pelbagai sebab.

Pemain sayap dari Brazil itu berkonfrontasi dengan penyokong Valencia yang memaki hamun pemain itu dengan kata-kata berbaur perkauman.

Pemain berusia 22 tahun itu kemudiannya dilayangkan kad merah kerana didakwa menampar Hugo Duro, sekali lagi mencetuskan respon daripada kalangan penyokong Valencia.

Vinicius selepas itu tidak berdiam diri apabila mengutuk sikap perkauman penyokong lawan dan kurangnya tindakan daripada pihak La Liga untuk membendung isu tersebut.

Tetapi kini ia telah menjadi isu utama untuk ditangani oleh badan bola sepak negara itu apabila enam pengadil La Liga termasuk Iglesia Villanueva yang bertanggungjawab mengetuai pengendalian VAR dalam perlawanan tersebut telah dipecat.

Menjelaskan perkara tersebut, laporan yang dikeluarkan mendakwa imej VAR yang diserahkan kepada pengadil utama perlawanan De Burgos Bengoechea sebenarnya tidak lengkap.

“Mereka tidak dapat menemui sebab mengapa rentetan insiden yang menyebabkan kad merah dilayangkan kepada Vinicius selepas insiden dengan Hugo Duro tidak

dimainkan,” ujar laporan tersebut.

Real Madrid turut tidak berdiam diri dengan insiden tersebut apabila mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk kejadian membabitkan pemain mereka itu dalam perlawanan tersebut.

“Insiden sebegini adalah serangan secara terus terhadap sosial dan model demokratik yang diwujudkan di negara ini secara perundangan.

“Real Madrid percaya serangan/insiden sedemikian secara perundangan adalah jenayah kebencian. Maka tindakan akan diambil dengan memfaikan dakwaan kepada pejabat pendakwaraya untuk menentang jenayah kebencian dan diskriminasi untuk membenarkannya disiasat secara menyeluruh.

“Artikel 124 Perlembagaan Sepanyol berkata secara jelas peranan pejabat pendakwaraya untuk mempromosi keadilan secara perundangan demi keadilan rakyatnya dan kepentingan umum.

“Mengambil kira betapa seriusnya insiden ini, Real Madrid akan merayu kepada pihak pejabat pendakwaraya untuk melakukan prosiding tanpa prejudis.”

Pengurus Real Madrid Carlo Ancelotti turut lantang mengkritik La Liga dan mengutuk penyokong Valencia yang mencemuh Vinicius.

“Saya tetap tenang, tetapi apa yang berlaku pada hari ini tidak sepatutnya terjadi,” kata beliau selepas perlawanan.

“Untuk seluruh stadium menjerit ‘monyet’ kepada pemain dan sebagai jurulatih saya memikirkan untuk mengeluarkan pemain tersebut disebabkan hal sebegitu, maknanya liga bola sepak ini ada masalah.

“Ia harus dihentikan. Dan saya tetap akan berkata perkara yang sama jika kami menang 3-0.”

BACA:  Zidane Mahu Menjual Lima Pemain Real Madrid Musim Panas Ini