65% Daripada 66,000 Tiket Korea Selatan VS Singapura Dibeli Penyokong Wanita

Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) mengesahkan 65% tiket perlawanan membabitkan pertemuan di antara Korea Selatan dan Singapura yang akan berlangsung di Stadium Piala Dunia Seoul pada malam ini adalah di kalangan peminat wanita.

Kedua-dua pasukan bertemu antara satu sama lain pada malam ini di dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026 di hadapan 66,000 penyokong dimana semua tiket perlawanan sudah habis terjual sejak beberapa hari yang lalu.

Bola sepak sememangnya antara sukan paling diminati di seluruh dunia terutama di kalangan kaum lelaki – walaupun bola sepak wanita semakin berkembang sejak sedekad yang lalu.

Namun demikian agak mengejutkan minat terhadap sukan bola sepak semakin digemari oleh kaum hawa di Korea Selatan, berdasarkan butiran yang diumumkan oleh KFA semalam.

Berdasarkan peratusan tiket yang terjual, 42,900 penyokong wanita dijangka membanjiri Stadium Piala Dunia Seoul untuk menyaksikan perlawanan di antara Taeguk Warriors dan Singapura.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 42,900 keping tiket perlawanan yang dijual kepada penyokong bola sepak lelaki.

Trend perubahan minat oleh kaum wanita untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di Korea Selatan sebenarnya boleh dilihat sejak beberapa perlawanan membabitkan pasukan negara itu sebelum ini.

Dalam perlawanan menentang Tunisia pada 13 Oktober lalu, perlawanan tersebut dihadiri oleh 59% wanita dan hanya 41% lelaki dan kesemua 59,000 tiket perlawanan turut habis terjual.

Selang beberapa hari kemudian untuk perlawanan menentang Vietnam, KFA turut merekodkan kehadiran 54% kehadiran penyokong wanita dan hanya merekodkan 46% kehadiran penyokong lelaki. Kesemua 46,000 tiket perlawanan turut habis dijual pada ketika itu.

Sebagai perbandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengalami kesukaran untuk menjual tiket perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Republik Kyrgrz pada malam ini.

Sehingga jam 9 malam tadi, hanya 10,000 tiket perlawanan telah terjual. Jumlah tersebut adalah amat rendah mengambil kira kapasiti 80,000 tempat duduk yang boleh ditampung oleh Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mungkinkah FAM harus mengikut jejak langkah KFA dengan melakukan kajian data terperinci untuk mengkaji trend penyokong bola sepak di negara ini?

BACA:  Son Heung-min Tak Pandang Tawaran Mewah Kelab Saudi Pro League