AFC Champions League 2022: JDT 2-1 Ulsan Hyundai

Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah baru selepas kejayaan mereka untuk layak ke peringkat kalah mati saingan AFC Champions League.

Ia merupakan kejayaan pertama mereka untuk layak ke peringkat kalah mati di pertandingan terbesar benua Asia itu dan ia jelas sekali satu pencapaian yang sungguh luar biasa membanggakan.

Gol sendiri jaringan Park Yong-uh pada minit ke-94 permainan sudah cukup untuk membawa JDT ke peringkat kalah mati, seterusnya menyebabkan Ulsan Hyundai tersingkir di peringkat kumpulan.

Lebih indah lagi, kemenangan 2-1 menewaskan gergasi Korea Selatan itu membantu JDT untuk layak ke peringkat kalah mati sebagai Juara kumpulan.

Ulsan Hyundai terpaksa akur tersingkir di peringkat kumpulan selepas mereka sekadar mampu mengakhiri saingan di kedudukan ketiga sahaja.

Kawasaki Frontale sementara itu turut layak ke peringkat kalah mati selepas kejayaan mereka menewaskan Guangzhou FC membantu mereka untuk muncul Naib Juara kumpulan I.

Stadium Sultan Ibrahim gegak gempita sebaik wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Nawaf Shukralla dengan para penyokong JDT jelas sekali berpuas hati melihat kejayaan pasukan kesayang mereka itu mencipta sejarah baru dalam dunia bola sepak negara.

JDT yang jelas sekali merupakan pasukan gergasi Malaysia selepas kejayaan mereka muncul Juara Liga Super sebanyak lapan kali berturut-turut itu muncul pasukan pertama dari negara ini yang mampu layak ke peringkat kalah mati saingan AFC Champions League.

Kedua-dua pasukan turun dalam perlawanan ini dengan misi wajib menang dengan mereka sudah tentu menurunkan skuad terbaik mereka untuk mengutip tiga mata penuh.

JDT sudah mula memberi tekanan sejak awal perlawanan dengan mereka turut berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-5 permainan.

Leandro Velasquez meledak gol yang sungguh cantik dan menakjubkan menerusi sudut sepakan percuma menewaskan penjaga gol Ulsan Hyundai.

Ulsan Hyundai walau bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali bangkit dengan mereka berjaya memperoleh gol penyamaan satu minit sahaja selepas itu.

Rembatan deras dari Jun Amano berjaya menewaskan penjaga gol utama JDT, Farizal Marlias untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan seri 1-1 dengan para pemain kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan sepanjang 45 minit pertama permainan.

JDT sepertinya sedikit dominan pada aksi babak kedua permainan dengan anak-anak buah Benjamin Mora itu dilihat tak henti-henti melancarkan serangan.

Pasukan Harimau Selatan itu sebenarnya sudah berjaya memperoleh gol tambahan mereka menerusi Fernando Forestieri, namun sayangnya gol itu dibatalkan kerana beliau didakwa berada di kedudukan offside.

Keputusan dari pengadil perlawanan itu sepertinya agak kontroversi kerana gol tersebut sebenarnya dilihat tidak ada sebarang masalah dan tak sepatutnya dibatalkan.

Perlawanan penentu siapa juara kumpulan I itu berakhir dengan sangat dramatik selepas JDT memperoleh gol kemenangan mereka di minit-minit akhir perlawanan menerusi gol sendiri dari Park Yong-uh.

Park Yong-uh secara tak sengaja telah tertampan bola hantaran cantik dari Arif Aiman masuk ke gawang golnya sendiri seterusnya gol itu menjadi gol kemenangan untuk skuad JDT.

Perlawanan tamat dengan JDT berjaya menewaskan Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1 seterusnya melayakkan diri mereka ke peringkat kalah mati.

Satu lagi sejarah yang berjaya dicipta oleh JDT dengan mereka terus menerus membuktikan kepada semua yang mereka sedang berada di landasan tepat untuk menjadi pasukan terbaik Asia.

Kejayaan ini secara tak langsung mengukuhkan kedudukan JDT sebagai pasukan terhebat yang pernah ada dalam sejarah bola sepak Malaysia.

BACA:  Fernando Torres Sah Tinggalkan Atletico Madrid Hujung Musim Nanti