Penyandang juara Liga Super, Johor Darul Takzim menghantar mesej jelas kepada pasukan pencabar yang lain yang mereka masih lagi bersemangat untuk memenangi saingan Liga Super walaupun telah memenangi 4 edisi berturut-turut sebelum ini.
Pada perlawanan yang berlangsung semalam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, JDT berjaya menewaskan pendatang baru Liga Super, PKNP FC dengan jaringan 3-0. Gol JDT disumbangkan oleh Jorge Pereyra Diaz, Fahdli Shas dan Ignacio ‘Natxo’ Insa.
Ini merupakan kemenangan kedua JDT musim ini selepas mengenepikan cabaran Kedah hujung minggu lalu dalam Piala Sumbangsih.
PKNP berjaya menampilkan persembahan yang berdisiplin untuk kebanyakan separuh masa pertama dan pemain JDT dilihat buntu untuk menembusi benteng pertahanan mereka.
Namun demikian, fokus PKNP semakin hilang pada penghujung separuh masa pertama dan mereka melepaskan gol pembukaan perlawanan dari sepakan percuma JDT. Dua gol JDT seterusnya menyusul pada separuh masa kedua.
Perlawanan ini menyaksikan jurulatih JDT, Ulisses Morais memberikan debut kepada bekas pemain Selangor, Adam Nor Azlin yang baru menyertai JDT musim ini. Selain itu, Morais turut memasukkan beberapa pemain muda seperti Haziq Nadzli dan Hazwan Bakri.
Persembahan cemerlang yang ditampilkan oleh kapten skuad bawah 23-Tahun Malaysia ini menerima pujian dari Morais walaupun baru kali pertama beraksi bersama skuad utama JDT.
“Kami mempunyai 2,3 peluang untuk menjaringkan gol. PKNP hadir dalam perlawanan ini dengan taktikal bertahan yang utuh dan membuatkan keadaan menjadi sukar buat kami. Jadi amat penting buat kami untuk mendapatkan satu gol pada penghujung babak pertama.”
“Adam adalah pemain muda yang mempunyai potensi yang banyak. Amat penting buat kelab JDT memberikan peluang kepada pemain-pemain muda ini. Adam bermain baik mengemudi bahagian pertahanan disamping Fadhli Shas dan saya sangat gembira dengan persembahan beliau, walaupun ini adalah perlawanan pertamanya sejak kembali dari China.”
“Saya akan terus menggilirkan pemain untuk perlawanan liga seterusnya bergantung kepada pasukan mana yang bakal dihadapi JDT. Pelan taktikal perlu dirangka bagi setiap perlawanan yang bakal kami hadapi kelak.”
Adam pastinya akan mendapat peluang bermain lebih kerap musim ini memandangkan pemain import pertahanan JDT, Marcos Antonio baru sahaja kembali pulih dari kecederaan serius yang dialaminya musim lepas.
JDT bakal bertandang ke Lembah Kelang Sabtu ini bagi pertemuan menentang Kuala Lumpur di Stadium Cheras.