Aksi Klopp Menari Bersama Abang Diaz Lepas Kalah Perlawanan Akhir UCL Mencuri Perhatian Peminat

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dilihat berpesta dan turut menari sakan bersama abang kepada Luis Diaz selepas skuadnya tewas dalam aksi perlawanan akhir saingan Champions League.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu sebenarnya mendominasi permainan dalam perlawanan tersebut, dan mereka juga turut memiliki lebih banyak percubaan berbanding Real Madrid.

Walau menguasai bola, namun barisan pemain Liverpool gagal untuk menewaskan barisan pertahanan Real Madrid termasuk penjaga gol mereka, Thibaut Courtois yang sedang berada di tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan tersebut.

Gol jaringan Vinicius Jr pada minit ke-59 perlawanan sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan berpihak kepada Real Madrid, seterusnya membantu gergasi La Liga itu untuk merangkul gelaran Eropah ke-14 kelab.

Walaupun skuad Liverpool mengakhiri saingan musim ini dengan agak mengecewakan, Klopp dan anak-anak buahnya tetap tenang serta masih mampu untuk meraikan dua piala yang mereka menangi musim ini.

Liverpool musim ini berjaya layak ke tiga perlawanan akhir dari tiga pertandingan yang mereka sertai, namun mereka gagal untuk memenangi kesemua tiga selepas tewas di tangan Real Madrid dalam saingan Champions League.

Mereka juga turut berjaya bersaing dengan Man City dalam saingan Premier League hingga ke hari terakhir musim ini, sebelum The Citizens akhirnya menjulang piala liga dengan kelebihan satu mata sahaja.

Kem Liverpool tetap mengadakan parade pada tahun ini untuk meraikan kejayaan mereka menjuarai saingan Carabao Cup dan FA Cup.

Klopp sememangnya terkenal dengan sikap beliau yang tak mahu berduka terlalu lama dan ia terbukti ketika Liverpool berdepan kekalahan pada aksi perlawanan akhir saingan Champions League 2018.

Beliau bersama barisan kejurulatihannya bersama-sama berpesta sambil bernyanyi sakan beberapa jam sahaja selepas kekalahan 3-1 mereka di tangan Real Madrid.

Hal yang sama sekali lagi berlaku pada tahun ini, dengan Jurgen Klopp tenang menerima kekalahan dan berusaha sehabis mampu beliau untuk menaikkan semangat anak-anak buahnya.

Tular sebuah video yang menunjukkan bagaimana pengurus Liverpool itu menari-nari bersama abang kepada penandatanganan Januari beliau, Luis Diaz.

Tidak pasti sama ada rakaman itu dirakam pada malam selepas Liverpool kalah atau malam selepas mereka melakukan parade di Anfield.

Walau bagaimanapun, satu hal yang pasti, Jurgen Klopp jelas sekali benar-benar terhibur dengan keadaan pada ketika itu.

Dalam video itu, Klopp dilihat menari dan menikmati lagu Uptown Funk dari Bruno Mars, dan beliau pada ketika itu masih memakai pakaian sukan.

Ia juga bukanlah kali pertama peminat dapat melihat Jurgen Klopp menari-nari dengan beliau sebelum ini turut pernah tular menari selepas kejayaan Liverpool menjuarai saingan Premier League pada musim 2019/20 yang lalu.

Klopp turut menghamburkan pujian menggunung kepada para penyokong Liverpool ketika parade kemarin dan beliau benar-benar kagum dengan mentaliti yang ditunjukkan oleh penyokong.

“Dengan tidak ragu-ragu, tidak ada kelab di dunia ini, dunia ni, yang mana mereka tewas perlawanan akhir Champions League malam semalam, dan hari ini orang semua berada di sini dengan mood seperti ini.”

“Sungguh luar biasa. Ini merupakan kelab terhebat di dunia. Saya tak peduli apa orang lain nak fikir.”

“Ia merupakan musim yang menakjubkan. Apa yang pemain lakukan sungguh menakjubkan, apa yang jurulatih lakukan memang dasyat. Konsentrasi yang kami kekalkan, tahap yang kami kekalkan, menakjubkan. Semuanya bagus. Sekarang saya dapat cuti.”

“Saya sayang kamu semua dan saya tak mabuk, langsung tak, cuma beremosi.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Klopp: Beli Pemain Bukan Seperti Main Monopoly