Aksi Xavi Membuat Hantaran Tepat Ketika Mengendalikan Latihan Barcelona Membuat Ramai Orang Ternganga

Lagenda bola sepak dunia, Xavi Hernandez telah diketahui ramai bahawa dia telah kembali ke Nou Camp sebagai jurulatih menggantikan Ronald Koeman yang telah menjahanamkan pasukan yang pernah mendominasi Eropah suatu ketika dahulu.

Selaku pemain, Xavi telah memenangi kesemua piala yang disertai – La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab FIFA bersama kelab Catalan, dan menjulang Piala Dunia dan Kejohanan Eropah ketika menyarung jersi Sepanyol.

Selepas berminggu-minggu khabar angin bertiup tentangnya ketika masih menjadi jurulatih kela Al Sadd di Qatar, akhirnya produk akademi La Masia tersebut telah diumumkan memegang jawatan ketua jurulatih Barcelona, dua minggu selepas Koeman dipecat.

Menurut laporan dari Radio Cat, Barcelona sebenarnya sudah melakukan rundingan dengan Xavi terlebih dahulu sebelum mereka memulakan perbincangan dengan Al-Sadd.

Kepulangan Xavi ini telah menaikkan rasa yakin dan percaya di kalangan para penyokong Barcelona. Pada masa yang sama, mereka cukup sangat teruja melihat ketua jurulatih ini begitu terlibat dalam latihan dan tidak sekadar menjadi pemerhati dan bermain Ipad dari tepi padang.

Dalam satu video latihan yang dikongsi laman Twitter rasmi Barcelona, Xavi dilihat telah mencemarkan kasut Adidas Copa Mundial miliknya apabila dia berulang kali membuat hantaran tepat kepada para pemain ketika berlatih ketajaman di depan gol.

Selepas pemain menyambut hantaran yang dilakukan, Xavi dilihat begitu lantang memberikan arahan dan panduan kepada pemain dalam usahanya membangkitkan pasukan gergasi Sepanyol tersebut.

Xavi bukan seperti lagenda kelab lain yang kembali ke kelab demi nama semata-mata, sebaliknya dia kelihatan sangat tegas dan begitu demanding dalam menilai prestasi latihan anak buahnya.

Beberapa hari sahaja selepas sah menggalas tugas sebagai pengurus kelab, Xavi kini dilihat cuba memperkenalkan sistem baru di Nou Camp, bermula dengan menyenaraikan 10 peraturan yang wajib dipatuhi oleh para pemain dan staff.

Menurut laporan dari media Sepanyol, AS, bekas pengurus Al-Sadd itu memperkenalkan peraturan tersebut kemarin, dalam usahanya untuk mengubah Barca dari pasukan belasahan, kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Juara bertahan saingan Copa del Rey itu pada ketika ini sedang berada di kedudukan ke-10 dalam carta La Liga dengan mereka hanya mampu mencatatkan empat kemenangan sahaja dari 12 perlawanan terakhir.

Ia bermaksud, Xavi perlu melakukan perubahan yang drastik atas beberapa hal dalam usaha untuk memperbaiki kesilapan dan kekurangan kelab pada ketika ini.

Berikut merupakan senarai 10 peraturan yang Xavi tetapkan dan wajib dipatuhi oleh para pemain dan staff Barcelona.

1. Para pemain perlu sampai ke pusat latihan 90 minit sebelum latihan bermula

2. Staff perlu sampai ke pusat latihan dua jam sebelum sesi latihan dimulakan

3. Pemain perlu makan di pusat latihan kelab

4. Sistem denda

5. Denda akan digandakan andai kesalahan dilakukan berulang-ulang

6. Pemain mesti sampai di rumah sebelum lewat malam, dua hari sebelum perlawanan

7. Pemain perlu berikan segalanya dalam semua sesi latihan

8. Aktiviti luar padang pemain akan terus dipantau

9. Aktiviti berisiko sudah tidak lagi dibenarkan

10. Imej yang baik sangat diutamakan

Kesemua peraturan tersebut sebenarnya agak tegas dan pemain sepertinya tidak akan dapat kebebasan seperti apa yang mereka lalui bersama pengurus sebelum ini.

Jelas sekali, permintaan beliau untuk para pemain menepati masa untuk jalani sesi latihan dan sebagainya merupakan hal yang biasa dituntut oleh pengurus lain.

Namun ada beberapa peraturan lain yang beliau tetapkan dalam senarai itu, sebenarnya agak menarik untuk dibincangkan.

Beberapa peraturan lain yang dituntut oleh Xavi jelas sekali sangat berbeza berbanding apa yang telah dilalui oleh para pemain sebelum ini.

Peraturan seperti tidak membenarkan aktiviti berisiko, dan mengekalkan imej baik adalah dua peraturan yang paling banyak mencetuskan perdebatan di kalangan peminat.

Kedua-dua peraturan itu dikaitkan dengan berita yang mengatakan bahawa Xavi tidak gembira dengan bagaimana sikap para pemain Barcelona sebelum ketibaan beliau.

Memperkenalkan semula sistem denda juga sebenarnya turut menimbulkan pelbagai perdebatan memandangkan polisi yang sama sebelum ini telah mencetuskan perbalahan dalam bilik persalinan.

Sumber : SB

BACA:  Pemain Barca Menangis Dalam Bilik Persalinan Selepas Diaibkan Oleh Bayern Munich