Antony; Lahir Dari Neraka, Ajaib Di Ajax Dan Kontroversi Di Manchester United

Tiga wanita mendakwa mereka telah diserang secara seksual oleh seorang pemain Manchester United bernama Antony. Pemain sayap itu kini dalam siasatan oleh pihak berkuasa di Brazil dan Polis Greater Manchester.

Dalam minggu antarabangsa kali ini, nama Antony telah digugurkan dari skuad kebangsaan Brazil dan dia diberi cuti tambahan oleh kelab untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Antony menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dari 3 bekas teman wanitanya, Gabriela Cavallin, Rayssa de Freitas dan Ingrid Lana. Pada malam Jumaat minggu lepas dia tampil dalam satu temubual TV di Brazil untuk bercerita tentang kes tersebut.

Anda boleh membaca tentang dakwaan yang dihadapi Antony di dalam mana-mana artikel yang melaporkan kes itu tetapi artikel ini hanya mahu bercerita tentang siapakah pemain sayap Manchester United yang berusia 23 tahun itu?

…S…

Antony dibesarkan di Osasco, salah satu bandar yang terletak di dalam Sao Paulo. Osasco bukanlah satu bandar yang makmur. Antony tinggal di favela, satu tempat yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘Inferninho’ atau ‘Little Hell’. Seperti kebanyakkan tempat miskin lain, Osasco juga menjadi kawasan penagih dan pengedar dadah.

Antony pernah menulis di dalam buku ‘the Players Tribune’, dia menemui mayat ketika dalam perjalanan ke sekolah.

“Di favela, anda menjadi lali dengan perkara seperti ini. Tiada jalan lain untuk dilalui. Jadi saya hanya menutup mata dan melompat melepasi mayat itu.”

Di Brazil, bola sepak sentiasa memberi peluang kepada anak-anak muda dari Brazil untuk keluar dari kemiskinan dan lari dari kumpulan yang sentiasa menimbukan masalah sosial, Antony juga menggunakan cara itu.

Antony mula mengasah bakatnya di jalanan. Dia sering bermain bola dengan abangnya. Kemudian bakatnya dikesan oleh pengarah pasukan tempatan dan dia berpindah ke gelanggang futsal. Pada usia 14 tahun dia menyertai akademi di Sao Paulo FC.

Akademi Sao Paulo adalah salah satu akademi yang paling dihormati di Brazil. Akademi ini telah melahirkan ramai bintang dunia seperti Cafu, Kaka, Casemiro dan Eder Militao.

Pada awalnya penglibatannya dalam dunia bola sepak, ramai pihak melihat Antony tidak akan menjadi bintang besar pada masa hadapan. Beberapa jurulatih merasakan dia tidak mempunyai kekuatan fizikal. Walaupun perkembangan Antony perlahan namun dia perlahan-lahan mengukir namanya.

Menjelang tahun 2018, apabila dia membuat penampilan sulung bersama pasukan utama Sao Paulo, dia telah dijangka akan mengikut jejak rakannya Lucas Moura dan David Neres. Kedua-dua pemain itu telah membuat perpindahan berprofil tinggi ke Eropah.

Kembali kepada Antony,

“Kekuatan dia adalah teknik, keupayaan penyudah dan pemahamannya tentang permainan,” kata Junior Chavare iaitu bekas ketua akademi Sao Paulo.

“Kami banyak bekerja di bahagian fizikal permainannya tetapi saya yakin dia boleh meningkat dengan banyak (lagi).”

“Setiap kali dia masuk ke padang, dia menunjukkan personaliti yang besar. Dia menunjukkan tanggungjawab. Saya rasa dia mempunyai kualiti untuk bermain bersama pasukan handalan Eropah.”

Pada awal tahun 2019, Antony telah dinamakan sebagai pemain terbaik di kejohanan Copinha. Ia adalah satu kejohanan remaja paling berprestij di Brazil. Hampir seluruh penjejak bakat di dunia akan hadir ke kejohanan itu.

Antony meneruskan kecemerlangan ke kejohanan negeri Sao Paulo. Dia menampilkan beberapa siri persembahan menarik dan menjaringkan gol dalam perlawanan akhir menentang Corinthians.

Selepas dia mewakili negaranya di Kejohanan Toulon di Perancis, masa depannya mula berubah. Brazil menang kejohanan itu dan Antony menjaringkan gol pada perlawanan akhir.

“Kelab lain sentiasa bertanya tentang dia,” kata Alexandre Passaro pada tahun lepas, Passaro ialah bekas pengarah bola sepak Sao Paulo. “Kami dihadiri begitu ramai penjejak bakat untuk menonton dia bermain.

“Tetapi pada peringkat awal sukar untuk menyatukan minat anda dengan minat kelab dari luar negara. Pada kebiasaannya, mereka tahu potensi pemain tetapi mereka tidak mahu membayarnya.”

Kelab dari Eropah hanya mahu membayar dengan nilai pemain ketika itu iaitu ketika mereka mahu dibeli sedangkan kelab penjual mahu menjual dengan harga potensi masa hadapan pemain tersebut.

Di Sao Paulo, wujud keyakinan bahawa Antony mempunyai bakat tulen. “Dia mempunyai potensi yang besar,” penilaian jurulatihnya ketika itu, Fernando Diniz. Diniz berkata Antony mempunyai “segala-galanya untuk menjadi salah seorang penyerang hebat dalam bola sepak dunia”.

Seorang rakan sepasukan Antony yang bernama Pablo pula memanggilnya “fenomena”. Seorang lagi, bekas penyerang AC Milan dan Brazil, Alexandre Pato juga begitu yakin dengan Antony. “Jika dia pergi ke Eropah, saya pasti dia akan meletup, dia memiliki bakat yang luar biasa.”

Pada akhir tahun 2019, Antony dilabelkan sebagai salah seorang pemain terbaik di Brazil. Ketika itu Antony telah bergelar seorang bapa, isterinya telah melahirkan seorang bayi lelaki.

“Pada mulanya ia sangat sukar,” Antony kemudian menjelaskan. “Saya tidak mahu menjadi seorang ayah. Saya masih muda dan perkara-perkara mula berlaku dalam kerjaya saya. Ia adalah rumit.”

“(Tetapi) saya mula akur dengannya. Saya tahu bahawa saya akan mempunyai lebih banyak tanggungjawab. Saya berubah daripada remaja kepada lelaki dewasa. Tanggungjawab menjadi lebih tinggi apabila anda mempunyai anak untuk dibesarkan.”

…S…

Pada Februari 2020, Antony menyertai Ajax dengan yuran perpindahan sebanyak £13.7 juta. Dia muncul dalam perlawanan terakhirnya untuk Sao Paulo pada bulan Mac dan tiba di Amsterdam pada bulan Julai.

Antony menyesuaikan diri dengan pantas di Eredivisie. Dia menjaringkan 7 gol dalam 14 perlawanan pertamanya bersama Ajax. Jaringan itu termasuk gol kemenangan menentang Vitesse dan Sparta Rotterdam.

Sebelum itu Antony tidak pernah prolifik, peningkatanya banyak dipacu oleh taktikal Erik ten Hag. Sistem pengurus itu membolehkannya menerima bola lebih dekat dengan gawang. Antony juga malalui transformasi fizikal, menambah 7 kilogram otot ketika musim berhenti kerana Covid-19.

Tidak semua pemain Amerika Selatan boleh menyesuaikan diri di Eropah dengan pantas namun Antony berjaya melakukannya.

“Tekanan? Tekanan adalah apabila anda tinggal di favela, apabila anda pergi ke sekolah pada jam 9 pagi dan hanya makan pada pukul 10 malam,” kata Antony kepada Globo. “Selain itu, kami cepat menyesuaikan diri.”

Pada penghujung musim pertamanya di Belanda, Antony menyertai pasukan B23 tahun Brazil untuk bermain di Sukan Olimpik Tokyo. Dia tampil dalam semua perlawanan dan pada perlawanan akhir dia mencipta gol kemenangan yang dijaringkan oleh Malcom untuk menewaskan Sepanyol.

2 bulan kemudian, Antony mengikut jejak Pele, Mario Zagallo dan Neymar apabila menjaringkan gol pada penampilan sulung bersama pasukan senior Brazil.

Persembahan Antony di Liga Juara-Juara 2021-22 terus mengukir namanya. Ajax memenangi kesemua 6 perlawanan peringkat kumpulan. Antony menjaringkan dua gol dan mencipta 4 bantuan. Apabila dia menyatakan hasratnya untuk bermain di Liga Perdana, idea itu bukan lah angan-angan.

Tidak semua peminat di Belanda menyukai Antony. Terdapat pihak yang tidak yakin dengan decision making dan kekerapan dia memberikan bola. Ada yang mempersoalkan kematangannya.

“Budak jenis ini tidak boleh dijinakkan oleh jurulatih,” kata bekas penyerang Belanda, Wim Kieft selepas Antony dilayangkan kad merah ketika menentang Feyenoord pada Mac 2022.

Ikon Ajax iaitu Marco van Basten juga salah seorang yang lantang mengkritik Antony. Dia menggelar Antony sebagai pemain bola sepak “kebudak-budakan” dan mempersoalkan konsistensinya.

“Antony mempunyai kemahirannya tetapi dia keliru dengan benda yang dia cuba lakukan,” katanya.

…S…

Namun Ten Hag mempunyai pandangan yang berbeza. Selepas dilantik menjadi pengurus Manchester United, Ten Hag menjadikan Antony sebagai sasaran utamanya.

Antony kemudiannya dibeli pada harga €95 juta, yang boleh meningkat sehingga €100 juta. Dengan harga setinggi itu, ia telah meletakkan Antony antara 20 pemain paling mahal sepanjang masa di United.

Bekas penjaga gol United, Edwin van der Sar, individu bertanggunjawab menjual Antony berkata United telah mendapatkan seorang bintang dunia yang berpotensi besar.

Pada awal ketibaan Antony di United, dia telah menunjukkan tanda-tanda bakal menjadi bintang besar seperti yang didakwa oleh Van Der Sar. Antony menjaringkan gol dalam kesemua 3 perlawanan pertamanya disana.

Tetapi Antony terlalu bergantung pada kekuatan kaki kirinya dan ia telah ditegur oleh bekas pemain tengah United, Paul Scholes. Scholes berkata Antony hanya mempunyai satu helah.

Antony menjaringkan gol kemenangan dramatik di Liga Europa ketika menentang Barcelona. Dia juga tampil dalam 39 perlawanan di semua pertandingan musim lalu dan menjadi bukti Ten Hag sangat mempercayainya.

“Dia seorang pahlawan dan dia sukakan cabaran,” kata Ten Hag pada April lepas.

Namun bagi pihak lain mereka masih kurang yakin dan merasakan bahawa Antony telah dipuji lebih dari sepatutnya.

Ketika United menentang Sheriff Tiraspol, Antony telah melakukan satu aksi spinning dan bola itu tersangkut pada kakinya sebelum melakukan hantaran merapu. Ia menjadi titik kemarahan ramai pemerhati termasuk Scholes.

“Saya tidak rasa itu adalah kemahiran atau hiburan,” katanya. “Itu hanya menjadi badut, kan? Jika itu trademarknya dia perlu lakukan dengan lebih baik.”

Antony tidak mendapat pengalaman yang mengembirakan di Piala Dunia. Dia hanya tampil 1 kali dalam barisan utama. Antony memberitahu kepada ESPN Brazil, sistem penghawa dingin di dalam stadium telah menyebabkannya jatuh sakit.

Mungkin ada yang menganggap Antony masih dalam proses penyesuaian di United tetapi yuran pemindahan yang tinggi telah meningkatkan jangkaan.

Namun Ten Hag terus menyokong, percaya dan memilihnya untuk berada dalam kesebelasan utama. Antony telah bermain dalam 4 perlawanan Liga Perdana Manchester United setakat ini.

Pada 25 Ogos lepas Ten Hag telah ditanya tentang situasi Antony yang didakwa amat membimbangkan, Ten Hag berkata, “Tidak. Keputusan di Brazil adalah jelas. Dia menjalani pramusim yang baik, dia juga menjaringkan beberapa gol.”

“Dia lebih kerap berada dalam situasi di mana dia menjadi ancaman kepada pasukan lawan. Pada saat-saat penting, dia berada di mana dia sepatutnya berada. Sekarang dia perlu menyelesaikannya.”

“Dalam pramusim dia menjaringkan dua gol, mencipta satu bantuan. Dia (dalam) halatuju yang baik, dia cuma perlu mempercepatkan, kerana bagi kami bagus adalah tidak cukup bagus. Jangan terganggu, fokus pada bola sepak dan permainan.”

Namun isu luar padang telah menghalangnya, Antony tidak akan turun bermain menentang Brighton pada hujung minggu ini.

Sumber: TA

BACA:  Solskjaer Akan Melarang Pemain Yang Tidak Cergas Dari Menyertai Jelajah Pra-Musim