Antony Setuju MU Beri CRK, Elak Ganggu Fokus Rakan Lain

Manchester United dan Antony bersetuju untuk pemain itu diberikan cuti rehat khas (CRK) setelah tiga dakwaan mencederakan dan bertindak ganas terhadap wanita.

United mengeluarkan satu kenyataan pada Ahad untuk memaklumkan pemain berusia 23 tahun itu tidak akan kembali menyertai latihan skuad kendalian Erik ten Hag berikutan dakwaan tersebut.

Keputusan itu diambil oleh United selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Richard Arnold berbincang dengan Ten Hag.

Tiga wanita termasuk bekas kekasihnya Gabriela Cavallin sebelum ini didakwa dicederakan pemain itu dalam beberapa siri insiden berasingan.

Antony yang digugurkan oleh skuad kebangsaan Brazil atas sebab yang sama setakat ini konsisten menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.

“Manchester United ambil maklum mengenai dakwaan terhadap Antony.

“Pemain yang tidak mengambil bahagian dalam tugasan antarabangsa dijadualkan kembali menjalani latihan pada Isnin.

“Namun demkian kelab mencapai persetujuan untuk Antony menangguhkan kepulangannya sehingga notis baru dikeluarkan untuk membenarkannya menyelesaikan isu dakwaan tersebut.

“Sebagai sebuah kelab kami mengutuk semua kelakuan berunsur keganasan dan penderaan. Kami sedar kepentingan untuk melindungi mereka yang terkesan dengan situasi ini, dan memahami betapa seriusnya dakwaan tersebut dan impak kepada mangsa.”

Sumber kepada ESPN mengesahkan setakat ini Antony belum lagi ditahan atau menerima pendakwaan berhubung kes ini.

Pemain itu juga tidak digantung oleh kelabnya dan ketiadaan pemain itu dianggap sebagai cuti rehat khas untuk membenarkan dirinya mempertahankan diri berhadapan tuduhan tersebut.

Ini bermakna Antony masih lagi menerima bayaran penuh daripada United walaupun tarikh kepulangannya tidak ditetapkan.

Kes yang mensabitkan bekas pemain Ajax itu kini sedang disiasat oleh pihak polis Brazil dan juga Manchester.

Melalui satu kenyataan, pemain itu berkata: “Saya telah bersetuju dengan keputusan Manchester United untuk mengambil cuti rehat khas untuk berhadapan dakwaan terhadap saya.

“Ia adalah persetujuan secara bersama dan dilakukan untuk mengelak rakan-rakan sepasukan yang lain terganggu berikutan kontroversi ini.

“Saya mahu menegaskan bahawa saya tidak bersalah atas dakwaan yang dilemparkan, dan akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis untuk membantu mereka mendedahkan kebenaran.

“Saya juga tidak sabar untuk kembali bermain bola sepak selepas ini.”

BACA:  Masalah Utama Pogba Andai Beliau Mahu Kembali Sertai Juventus