Anugerah Pemain Terbaik Mo Salah Dirompak Ronaldo

Sangat sukar untuk melihat seorang pemain yang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dalam satu bulan itu, namun gagal untuk memenangi anugerah pemain terbaik bulanan.

Namun hal itu berlaku pada bintang handalan Liverpool, Mohamed Salah yang menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, namun tidak dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan.

Cristiano Ronaldo berjaya memenangi anugerah pemain terbaik bulanan dalam saingan Premier League untuk bulan September.

Baru sebulan kembali ke kancah saingan Premier League selepas beliau melengkapkan perpindahan semula ke Old Trafford, Ronaldo sudah berjaya untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan.

Ronaldo berjaya menjaringkan gol yang sama dengan bintang Mesir itu, dengan beliau cemerlang meledak tiga gol dari tiga penampilan.

Walau bagaimanapun, pemain terbaik sepanjang zaman Portugal itu gagal untuk menjaringkan gol ketika aksi kekalahan 1-0 bertemu Aston Villa di Old Trafford sebelum ini.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu menyertai semula setan merah dari Juventus, selepas 12 tahun beliau pergi meninggalkan Old Trafford.

Kali terakhir Cristiano Ronaldo memenangi anugerah pemain terbaik bulanan dalam saingan Premier League adalah pada bulan Mac 2008, dan kini beliau sekali lagi berjaya memenangi anugerah tersebut.

Pada Mac 2008, Ronaldo berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan liga, dan beliau hanya memerlukan 14 hari sahaja untuk sah dinobatkan sebagai pemain terbaik pada bulan tersebut.

Bulan ini, kejayaan beliau memenangi anugerah tersebut telah mencetuskan kontroversi di kalangan peminat, dengan ramai yang percaya Salah lebih layak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Seteru utama beliau dalam perebutan untuk memenangi kasut emas, Mo Salah berjaya menjaringkan gol ketika aksi bertemu Leeds United, Crystal Palace dan Brentford pada bulan lalu.

Tambahan pula, Salah berjaya membantu skuadnya untuk mencatatkan rekod bersih tanpa kalah dari awal musim sehingga ke hari ini.

Ronaldo dalam pada itu, berjaya menjaringkan dua gol bertemu Newcastle ketika aksi debutnya, dan turut menjaringkan satu gol ketika bertemu West Ham.

Ramai peminat yang mempertikaikan tentang keputusan tersebut dengan merasakan Salah sepatutnya lebih berhak untuk memenangi anugerah itu kerana beliau menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

Salah juga mempunyai kelebihan dengan beliau berjaya membantu kelabnya untuk mencatatkan keputusan bersih tanpa kalah berbanding Ronaldo yang gagal menjaringkan gol dalam satu perlawanan, dan turut tewas satu perlawanan.

Terdapat juga segelintir peminat yang merasakan Gol tap-in Ronaldo terlalu mudah untuk dijaringkan dan tiada yang istimewa tentang gol tersebut untuk melayakkan beliau memenangi anugerah pemain terbaik.

Dakwaan tersebut kemudiannya dibalas oleh penyokong Ronaldo yang mendakwa ketiga-tiga gol jaringan Mo Salah pada bulan September juga gol tap-in.

Selain dari dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan Premier League, bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu turut dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan Manchester United.

Hal itu turut mengundang kemarahan segelintir penyokong, yang merasakan David De Gea lebih berhak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan Manchester United.

Gol padu jaringan Andros Townsend pula dinobatkan sebagai pemenang gol tercantik bulanan, sementara pengurus Arsenal, Mikel Arteta dinobatkan sebagai pengurus terbaik bulanan.

Arteta berjaya membawa Arsenal untuk bangkit kembali selepas mencatatkan tiga kekalahan secara berturut-turut sebelum ini, dan kini mereka memegang rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terakhir.

Tidak dinafikan lagi, gol Townsend dan Mikel Arteta selayaknya dinobatkan dengan anugerah terbaik bulanan, namun ia tidak untuk Cristiano Ronaldo di mata segelintir peminat.

Adakah Ronaldo layak untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan berbanding Mo Salah? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Aksi Mo Salah Bertemu City Membuktikan Beliau Yang Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini