Badan Kecil, Dirompak di Tepi Jalan, Pernah Berniaga di Pasar Malam – Warna Warni Kisah Lorenzo Insigne

Bila berbicara tentang pemain berbadan kecil, pasti ramai yang akan bercerita tentang kelincahan gemulah Diego Maradona dan pemain terbaik dunia, Lionel Messi. Jarang sekali orang ramai berbicara tentang pemain yang berketinggian 163cm ini, Lorenzo Insigne.

Walaubagaimanapun, selepas bermulanya Euro 2020 pada pertengahan Jun lalu, nama pemain ini sering disebut-sebut dek kepantasan lariannya dan kemampuannya untuk mengubah keputusan perlawanan.

Dalam kempen Euro 2020 setakat ini, Insigne baru menjaringkan dua gol – satu dalam perlawanan pertama ketika menentang Turki dan satu lagi ketika melebarkan jarak kedudukan pasukannya ke atas Belgium dalam perlawanan di suku akhir.

Untuk sampai ke tahap yang tertinggi pada hari ini, pelbagai perkara telah dilalui oleh Lorenzo, terutamanya melibatkan saiz badannya yang kecil berbanding pemain lain.

Dilahirkan pada 4 Jun 1991 di Frattamaggiore, dia merupakan anak kedua kepada pasangan Patrizia dan Carmine Insigne. Walaupun lahir di daerah yang dikenali kerana menghasilkan bakat seperti Arturo Lupoli dan Francesco Lodi, Lorenzo berdepan jalan yang sukar dalam menzahirkan cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak.

Kedua ibu bapa Lorenzo bukanlah orang senang yang boleh naik kapal terbang menghantar anak mereka bersekolah di Paris sesuka hati, tetapi mereka cukup bergelut untuk membesarkan empat anak lelaki di sebuah rumah yang kecil.

Situasi menjadi lebih parah apabila bapanya, Carmine, dibuang kerja lantas menyebabkan Lorenzo terpaksa tinggal bersama datuk dan neneknya bagi meringankan beban keluarganya.

Kemiskinan tidak menghalang Lorenzo untuk menanamkan minat dalam bola sepak di mana dia mula bermain sukan ini bersama rakan-rakan sebaya di sekitar rumahnya. Baginya, bola sepak seolah-olah datang kepadanya dan akan membantu mengubah hidupnya pada masa depan.

“Masa dia kecil, Lorenzo selalu makan penuh mulut, lepas tu bola mesti ada di kaki dia,” ujar ibunya, mengenang kembali detik manis ketika pemain ini masih makan bersuap.

Menganjak usia remaja, Lorenzo bertekad untuk membantu menambahkan pendapatan ibu bapa dan datuk neneknya, Lorenzo telah mengambil upah bekerja di pasar dengan seorang peniaga pakaian. Daripada hasil kerjanya, dia berjaya mengumpul duit untuk membeli jersi pemain kegemarannya, Ronaldo Fenomenon, yang ketika itu bermain untuk Inter Milan.

Jersi Ronaldo yang dibeli Insgine

Walaupun sibuk bekerja, Lorenzo tidak pernah mengenepikan minatnya dalam bola sepak. Pada mulanya, sukar untuk dia mendapatkan tempat di mana-mana akademi kerana saiz badannya yang kecil.

“Di Itali, scout adalah sangat jujur. Diorang selalu cakap yang ‘kami nak dia, tapi dia pendek sangat.’.

“Aku kecewa banyak kali, pernah fikir untuk berhenti bermain dan bangun setiap pagi dengan harapan aku jadi tinggi tiba-tiba,” ujar Lorenzo ketika mengingati detik sukar tersebut.

Walaubagaimanapun, dia tetap tidak mengalah dan dengan aksi permainan yang bagus, Lorenzo telah diserap ke kelab remaja Olimpia Sant Arpino dan dari sinilah dia mula belajar erti bola sepak yang sebenar.

Bersama Olimpia, Lorenzo berusaha lebih keras berbanding orang lain dek saiz badannya yang kecil dan pada masa yang sama dia tidak menjadikan kekurangan tersebut sebagai alasan untuk tidak bersaing. Usaha kerasnya akhir menunjukkan hasil apabila dia dilamar kelab Serie A, Napoli, dan diserapkan ke pasukan remaja kelab berkenaan pada usianya 15 tahun.

Bersama Napoli, prestasi Lorenzo terus meningkat naik dan dia berjaya mencipta nama sebagai pemain yang tajam di depan gol dalam liga di peringkat Primavera [belia]. Untuk meningkatkan lagi pengalamannya beraksi di arena yang sebenar, Napoli telah meminjamkan Lorenzo kepada beberapa kelab sekitar seperti Cavese, Foggia dan Pescara – kelab yang dibantu Lorenzo untuk memenangi Serie B, sekaligus menamatkan fasa pinjaman dan pembelajaran pemain ini.

Sebaik kembali dari Pescara, Lorenzo terus dinaikkan ke dalam pasukan utama. Pada tahun 2012, impian Lorenzo sejak kecil akhirnya tercapai apabila dia melakukan debut dalam saingan Serie A. Pada 12 September tahun yang sama, Lorenzo mula membuka akaun golnya dalam Serie A selepas menjaringkan gol ketika menentang Parma, di mana dia masuk ke padang menggantikan penyerang sensasi, Edinson Cavani.

Empat hari kemudian, Lorenzo melakukan debut dalam pertandingan UEFA selepas dia diturunkan di kesebelasan utama ketika Napoli menentang kelab Sweden, AIK Fotboll, dalam kempen Liga Europa.

Musim tersebut menyaksikan Napoli berjaya menamatkan saingan liga di tangga kedua di belakang Juventus, sekaligus melayakkan pasukan tersebut untuk bertanding di Liga Juara-Juara UEFA pada musim 2012-13, dan Lorenzo melakukan debut dalam pertandingan paling masyhur di Eropah tersebut ketika menewaskan gergasi Jerman, Borussia Dortmund di laman sendiri pada bulan September 2013.

Kecemerlangannya di barisan serangan Napoli membolehkan pemain ini dipanggil oleh Cesare Prandelli untuk menyarung jersi Itali dalam kempen Piala Dunia 2014, dan melakukan debut dan satu-satunya penampilan pemain ini, dalam perlawanan kedua Azzuri di peringkat kumpulan, menentang Costa Rica.

Rezekinya dalam kempen Piala Dunia tahun tersebut tidak panjang apabila Itali tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Walaupun mirip namanya, gula-gula ini bukan dikeluarkan Lorenzo Insigne

Kempen liga pada musim 2015-16 menyaksikan kebangkitan pemain yang memakai jersi dengan nama Insigne ini apabila dia berjaya menjaringkan 12 gol dan menghasilkan 9 assist dalam 37 perlawanan, dan membantu Napoli sekali lagi menamatkan liga di belakang Juventus yang muncul juara.

Pada Euro 2016, Lorenzo turut dipilih oleh jurulatih Itali, Antonio Conte bagi membawa cabaran pasukannya dalam saingan Euro 2016. Walaubagaimanapun, Lorenzo hanya mula diturunkan oleh Conte dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan, ketika mereka tewas 0-1 kepada Republik Ireland.

Dalam pusingan 16-pasukan, Lorenzo berjaya menyumbangkan satu assist kepada Graziano Pelle, pada minit ke-91 perlawanan ketika mereka menewaskan juara bertahan, Sepanyol, 2-0.

Lorenzo juga turut diturunkan sebagai pemain gantian pada peringkat suku akhir menentanag Jerman, di mana perlawanan berkesudahan seri dan dibawa ke penentuan sepakan penalti. Lorenzo tenang menyempurnakan sepakan pertama buat negaranya, namun terpaksa pulang hampa selepas tewas 5-6.

Pada tahun 2019, selepas Marek Hamsik meninggalkan pasukan Napoli, Lorenzo diangkat sebagai kapten pasukan – sekaligus menjadi ikon kepada penduduk Frattamaggiore.

Walaupun sudah mampu hidup senang hasil daripada bola sepak, Lorenzo memilih gaya hidup yang sederhana.

Dalam kisah cinta pemain ini pula, dia tetap setia dengan gadis yang ditemuinya ketika dia masih terkial-kial mencipta nama, Genoveffa Darone. Dek penangan cinta jugalah sebenarnya membuatkan Lorenzo berusaha keras di Pescara demi memastikan dia dapat kembali dekat dengan buah hatinya yang tinggal di Naples selepas terpisah sejauh 250km ketika dipinjamkan di kelab Serie B itu.

Pada tangga 31 Disember 2012, pasangan comel ini berkahwin dan dikurniakan dua anak lelaki – Carmine [sempena nama bapanya] dan juga Christian Insgine.

Pada bulan Februari 2016, pasangan ini berdepan detik cemas apabila mereka telah dirompak dengan menggunakan senjata api. Kejadian berlaku ketika Lorenzo sedang memandu bersama isteri dan dua kawan mereka di bandar Naples, pada hari Sabtu.

Ketika mereka berhenti di lampu isyarat, tiba-tiba sebuah motosikal berhenti di sebelah keretanya dan mengacukan pistol ke cermin kereta. Selepas mengambil wang tunai €800,  seutas jam tangan Rolex dan juga barang kemas, perompak durjana tersebut telah berpesan kepada Lorenzo supaya menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Fiorentina pada hari Isnin nanti, dan hadiahkan gol tersebut kepadanya.

Mungkin masih terkejut dan bengang dengan kejadian yang berlaku, Lorenzo tidak menjaringkan gol dalam perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 tersebut.

Sumber :

Wikipedia
Guardian
LifeBlog

BACA:  FINAL EURO 2020: AET Itali 1-1 England (Pen. 3-2)