Badi Pemain Argentina Bersama Manchester United

Manchester United telah sah berjaya mendapatkan pertahanan Argentina, Lisandro Martinez dari Ajax Amsterdam pada harga yang dilaporkan sekitar GBP 48 juta, tak termasuk penambahan lain.

Pemain berusia 24 tahun itu dikhabarkan sangat gembira dapat sekali lagi bekerja di bawah pengurusnya di Ajax, Erik ten Hag, yang kini memegang jawatan panas tersebut di Manchester.

Kedua-dua mereka mula bekerja sama apabila Ajax membeli Martinez dari kelab Argentina, Defensa, pada tahun 2019 dan pemain ini sejak itu telah melakukan 119 penampilan buat gergasi Amsterdam tersebut.

Untuk rekod, Martinez merupakan pemain Argentina yang kelapan beraksi buat kelab Syaitan Merah tersebut dan secara ringkasnya, kesemua pemain dari negara tersebut gagal menempatkan diri sebagai pemain yang boleh dianggap cemerlang, apatah lagi legenda.

Berikut adalah kisah senarai pemain Argentina yang menyarung jersi Manchester United, kecuali Alejandro Garnacho – pemain muda yang baru berapa minit sahaja tampil bersama skuad senior.

Juan Sebastian Veron

Pemain pertama dari Argentina yang mewakili United dalam era Liga Perdana Inggeris adalah Juan Sebastian Veron yang dibeli dari Lazio pada tahun 2001 oleh pengurus legenda, Datuk Seri Alex Ferguson (kini Tun).

Veron juga dikenali sebagai The Little Witch kerana gelaran The Witch diberikan kepada bapanya yang juga penyerang utama Argentina suatu ketika dahulu.

Pemain tidak berambut ini tiba di eropah pada tahun 1996 dengan menyertai Sampdoria sebelum berhijrah ke Parma dan Inter Milan. Kecemerlangannnya di Inter membuka hati Pak Alex untuk membawanya ke Old Trafford.

Pemain tengah serba boleh ini dibeli untuk mencabar Paul Scholes dan Roy Keane di jentera tengah United namun selepas dua tahun, dia sekadar bermain sebanyak 57 perlawanan buat United.

Kalau dilihat jumlah perlawanan, 57 perlawanan selama dua musim merupakan nombor yang memuaskan tetapi bagi kelab yang bermain lebih 50 perlawanan semusim, jumlah itu dikira sedikit.

Demi mendapat lebih perlawanan, Veron dijual kepada Chelsea pada tahun 2003 dan lebih teruk, selepas dua musim Veron sekadar bermain 14 perlawanan dalam semua pertandingan, sebelum kembali ke Itali secara pinjaman.

Gabriel Heinze

Pemain pertahanan ini menyertai United pada tahun 2004 dari kelab Perancis, Paris Saint Germain. Mampu bermain di posisi pertahanan tengah dan kiri, Heinze tampil cemerlang dan diundi sebagai pemain terbaik kelab dalam musim pertamanya.

Walaubagaimanapun, kecederaan lutut dialaminya pada bulan September 2005 telah mengakibatkannya tidak dapat bermain sehingga tamat musim.

Menambah deritanya lagi, Tun Alex telah membeli pertahanan kiri Monaco, Patrice Evra, pada musim tersebut dan menyebabkan Heinze hilang tempatnya di dalam kesebelasan utama.

Pada musim panas 2007, Heinze melakukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia memaksa pengurusan menjualnya kepada Liverpool – satu perpindahan terlarang – dalam arena bola sepak England.

Sepatutnya Heinze berpindah ke Police Tero dulu, kemudian barulah dia pergi ke Liverpool. Tapi, bukan itu yang dilakukannya.

Kecewa dengan tindakannya, pihak pengurusan terus menjualnya kepada Real Madrid di mana dia bermain selama dua musim.

Carlos Tevez

Carlon Tevez mencipta sensasi di tajuk utama berita bola sepak England apabila dia menyertai West Ham United, bersama-sama Javier Mascherano.

Kalau ikutkan di atas kertas, perpindahan ini seperti perpindahan biasa tetapi hak pemilikan pemain ini sebenarnya bukan milik kelab, tetapi syarikat ejen yang dimiliki oleh Kia Joorabchian.

Dalam bahasa mudah, Kia bagi pinjam Tevez dan Mascherano ke West Ham.

Selepas menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir liga buat West Ham menewaskan Manchester United sekaligus menyelamatkan kelab London tersebut daripada turun liga, Tevez dibawa ke Old Trafford oleh Tun Alex secara pinjaman selama dua musim.

Pemain ini terus menjadi pemain kegemaran para penyokong dan mencipta trio serangan yang digeruni bersama Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo. Pada musim pertamanya, dia berjaya menjulang kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara UEFA.

Pada musim berikutnya, Tun Alex telah membeli Dimitar Berbatov dan menyebabkan pemain yang digelar Carlitos ini kehilangan tempat di dalam kesebelasan utama.

Kecewa dengan tindakan Tun Alex yang enggan membelinya secara tetap pada harga GBP 30 juta, Tevez mengambil keputusan menyertai seteru setempat, Manchester City.

Marcos Rojo

Selepas beraksi cemerlang dalam Piala Dunia 2014 buat Argentina, Marcos Rojo muncul pemain pertama dibeli oleh pengurus baru ketika itu, Louis van Gaal, pada harga GBP 16 juta dari Sporting Lisdon.

Pembelian pemain ini pada mulanya dilihat bakal memperkuatkan cabaran United di dalam liga namun sebaliknya yang berlaku.

Secara totalnya, Rojo tidaklah seteruk pertahanan lain, tetapi pada masa yang sama juga dia tidaklah begitu cemerlang.

Selepas van Gaal dipecat dan digantikan dengan Jose Mourinho, Rojo menjadi nadi utama di bahagian pertahanan tetapi selepas mengalami kecederaan lutut yang serius ketika menentang Anderlecht dalam perlawanan Liga Europa, dia gagal merebut kembali tempatnya di dalam pasukan.

Pada tahun 2020, dia dipinjamkan ke Estudiantes sebelum dijual kepada Boca Juniors pada bulan February 2021.

Angel di Maria

Dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA 2014, Angel di Maria telah dipilih sebagai pemain tebaik perlawanan, sekaligus membuatkan para pemerhati bola sepak berasakan bahawa pemain ini akan menjadi pemain penting setaraf Cristiano Ronaldo pada tahun-tahun selepas itu.

Akan tetapi Florentino Perez ni gila, tuan-tuan.

Dia mudah terpengaruh dengan aksi cemerlang dalam Piala Dunia dan selepas terpukau melihat kehebatan James Rodriguez bersama Colombia, Perez meletakkan Di Maria dalam senarai untuk dijual demi memberi ruang kepada perancang Colombia tersebut.

Pada waktu itu Di Maria jelas sekali tidak ingin menyertai United, namun kebijaksanaan Ed Woodward telah ‘memaksa’ Real Madrid menerima tawaran GBP 59.7 juta.

Beberapa perlawanan pertamanya di Manchester menyaksikan dia menepati ciri-ciri pemain jersi nombor 7 di kelab tersebut.

Namun selepas rumahnya dirompak, Di Maria gagal untuk fokus di atas padang dan mula membenci Manchester.

Pada musim berikutnya, dia telah dijual kepada kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain, dan menjaringan 92 gol serta menyumbang 118 assist dalam 294 perlawanan buat pasukan ibu negara Perancis itu.

Sergio Romero

Penjaga gol ini dibeli dari Sampdoria oleh Louis Van Gaal selepas mereka berdua pernah bekerja bersama di AZ Alkmaar.

Sebenarnya Romero dibeli untuk dijadikan penjaga gol nombor satu pasukan kerana pada waktu itu David De Gea sedang dalam urusan untuk berpindah ke Real Madrid.

Tetapi entah apa jadi, mesin faks rosak pada minit-minit akhir jendela perpindahan, De Gea kekal di kelab.

Walaupun begitu, Romero tetap diturunkan sebagai penjaga gol nombor satu pasukan sebelum diambil semula oleh De Gea, lalu menyebabkan pemain ini diturunkan dalam perlawanan piala sahaja.

Selepas Jose Mourinho mengambil alih pasukan, situasinya tetap sama – Romero adalah pemain untuk pertandingan piala.

Ketika United memenangi Liga Europa pada tahun 2017, Romero bermain hampir kesemua perlawanan termasuk perlawanan akhir.

Walaubagaimanapun, dia tidak mendapat layanan yang serupa di bawah Ole Gunnnar Solskjaer.

Romero diturunkan dalam kesemua perlawanan – kecuali dua perlawanan peringkat kumpulan – dalam Liga Europa 2020 sehingga membawa pasukannya layak ke peringkat separuh akhir.

Namun Ole si genius telah menamakan De Gea sebagai sebagai penjaga gol dalam perlawanan yang melihatkan United disingkir oleh Sevilla.

Begitu juga dalam kempen Piala FA 2020. Romero telah bermain dalam kesemua lima perlawanan dari peringkat awal sehingga separuh akhir, akan tetapi dalam perlawanan akhir, Ole sekali lagi menukar penjaga gol kepada De Gea lalu menyebabkan pasukannya tewas kepada Chelsea.

Romero ini boleh dianggap sebagai penjaga gol yang tersakiti. Kesian dia.

Kesimpulan

Akhirul kalam, selepas melihat kesemua kisah pemain Argentina di United, satu persoalan timbul.

Mampukah Lisandro Martinez menamatkan badi Argentina di dalam pasukan ini dan muncul pemain dari negara ini yang pertama berjaya mencapai status legenda di kelab ini?

Kalau dilihat kepada statistiknya di Eredivise, dia adalah pemain yang sangat cemerlang tapi perlu diingat, rentak EPL sangat mencabar berbanding liga lain.

Rujukan : wikipedia, united in focus

BACA:  Rory Curtis: Kisah Tragis Penyerang Remaja Man United Yang Akhirnya Menjadi Tukang Gunting