Barca Bakal Tamatkan Kontrak Pemain Yang Tak Mahu Meninggalkan Kelab Pada Musim Panas Ini

Barcelona dilaporkan sedang bersedia untuk membatalkan kontrak Samuel Umtiti, seandainya beliau tidak mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Gergasi Catalan itu sedang bergelut dengan krisis ekonomi yang sangat teruk, dengan mereka terpaksa melepaskan beberapa pemain yang menyebabkan kelab terpaksa mengeluarkan kos gaji yang tinggi.

Beberapa nama pemain dari skuad utama telah diletakkan sebagai pemain yang hendak dijual dan salah seorang darinya adalah Samuel Umtiti.

Walau bagaimanapun, pemain yang sering dibelenggu dengan masalah kecederaan itu telah memutuskan yang beliau tidak mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Media penerbitan Sepanyol, SPORT telah mendakwa yang Barcelona sangat kecewa dengan pemain kebangsaan Perancis itu, dan bersedia untuk mengambil tindakan tegas ke atasnya.

Umtiti dikatakan telah diberi satu kesempatan terakhir untuk mempamerkan aksi persembahan terbaiknya di bawah kendalian pengurus, Ronald Koeman ketika aksi pra musim sebelum ini.

Umtiti sendiri turut pernah mengatakan yang beliau akan meninggalkan kelab andai dirinya gagal untuk memenangi hati Koeman.

Dan Ronald Koeman jelas sekali tidak gembira melihat aksi yang beliau pamerkan ketika diturunkan untuk beraksi dalam dua perlawanan pra musim sebelum ini.

Salah sebuah pasukan dari saingan Ligue 1 telah menyatakan minat mereka untuk menandatangani Samuel Umtiti yang sebelum ini pernah dianggap sebagai prospek masa hadapan yang menakjubkan.

Walau bagaimanapun, masalah kecederaan telah mencacatkan karier Umtiti di Nou Camp dan menyebabkan pihak kelab hilang kepercayaan padanya.

Pemergian legenda terhebat sepanjang zaman kelab, Lionel Messi telah menyebabkan Umtiti berusaha untuk bangkit dan mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad.

Beliau yang kononnya mahu membuktikan sesuatu ketika aksi bertemu Juventus dalam saingan Joan Gamper Trophy sebelum ini, tetap gagal untuk memenangi hati peminat, bahkan Umtiti pada ketika itu telah melalui pengalaman yang perit dalam kariernya.

Umtiti ‘diboo’ teruk oleh para penyokong ketika pengenalan pemain Barcelona, dan beliau turut mengalami nasib yang sama setiap kali menyentuh bola ketika sedang beraksi di atas padang.

Umtiti setakat ini menolak untuk menerima cadangan pemotongan gaji dan turut tidak mahu meninggalkan kelab

Wartawan La Sexta, Josep Gomez telah mendakwa yang tindakan para penyokong terhadap Umtiti menyebabkan bekas bintang Lyon itu bersedih dan berasa sangat kecewa dengan apa yang berlaku.

Umtiti dikatakan terus kembali ke bilik persalinan selepas perlawanan tersebut tamat, dengan beliau tidak berada bersama skuad Barcelona ketika sesi menjulang Piala.

Barcelona telah berjaya melepaskan Matheus Fernandes pada musim panas ini, dengan pemain midfield itu terus meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan Barca ke atasnya.

“Saya tidak tahu, dan ketika mereka memberitahu saya, saya rasa seolah-olah sukar untuk percaya.”

Jelas Matheus Fernandes kepada Globo Esporte.

“Saya berada di rumah, kemudian saya keluar bersama isteri saya dan saya terima mesej dari kelab yang bertanya adakah saya menerima email dari mereka. Saya sahkan dan terima email itu.”

“Saya tak faham tentangnya, saya kirim kepada peguam dan pengurus saya. Mereka kata itu surat pemecatan saya. Masa berjalan dan nama saya keluar di media. Tiada perbincangan, tiada apa, mereka bahkan langsung tidak menghubungi saya untuk kata hello atau ucap selamat tinggal.”

“Saya selalu ada impian ketika kanak-kanak untuk bermain bersama Barcelona. Ketika saya tiba di sana, mereka tak layan saya seperti saya pemain bola sepak. Saya beritahu lembaga pengarah yang mereka tak melayan saya seperti seorang pemain Barcelona.”

“Saya pernah jadi pemain Barcelona, dan saya mahu dilayan seperti saya pemain Barca. Penandatanganan lain semuanya ada persembahan tapi saya tidak. Saya sangat kecewa. Melihat dan mendengar semua kisah ini, saya ada terfikir sesuatu, tapi ternyata layanan mereka sangat berbeza.”

Selepas Matheus Fernandes, Barca ketika ini benar-benar sudah memberi amaran keras pada Umtiti dengan mereka akan membatalkan kontraknya andai beliau tetap berdegil.

Sumber: SB

BACA:  Lihat Aksi Dungu Jules Kounde Yang Dilayangkan Kad Merah Paling Sia-Sia Dalam Sejarah