Barcelona Umumkan Pembelian Pemain Baru Bernilai €11.8 Juta

Barcelona meneruskan perbelanjaan besar pada jendela perpindahan Januari ini dengan mendapatkan khidmat pemain pertahanan Palmeiras, Yerry Mina.

Nilai perpindahan seperti dilaporkan media adalah sekitar €11.8 juta dengan pemain antarabangsa Colombia ini akan menyertai Barcelona serta merta.

Pembelian kedua Barcelona selepas Coutinho

Pada awalnya, Mina dijadualkan bakal menyertai Barcelona pada musim panas akan datang, tetapi masalah kecederaan yang melanda barisan pertahanan Los Cules ketika ini telah memaksa perpindahan diawalkan.

Mina telah bersetuju untuk menandatangani kontrak selama 5 tahun setengah dengan pasukan pendahulu La Liga ini. Perjanjian Mina ke Catalunya sepatutnya berlaku selepas Piala Dunia nanti, tetapi Barcelona mahu mendapatkan pemain ini lebih awal ditambah pemain itu sendiri sudah tidak sabar untuk berhijrah ke Barcelona.

Pengganti kepada Mascnherano yang dilaporkan bakal berhijrah ke China

Satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Barcelona berbunyi berikut:

“Yerry Mina tiba di Barcelona dengan peluang untuk mengembangkan karier bolasepaknya di Eropah. Kami tanpa ragu-ragu yakin pemain antarabangsa Colombia ini mempunyai potensi untuk berjaya.”

Ketibaan Mina bakal memperkuatkan barisan pertahanan Barcelona dengan Javier Mascherano dilaporkan akan meninggalkan Nou Camp bulan ini. Beliau hangat dikaitkan dengan sebuah pasukan yang bermain di Liga Super China iaitu Hebei China Fortune.

Pemain antarabangsa Argentina ini juga semakin disisihkan Ernesto Valverde kebelakangan ini dan hanya mampu melakukan 6 penampilan liga musim ini. Valverde yang kehilangan khidmat Samuel Umtiti lebih suka memilih Thomas Vermaelen untuk bergandingan dengan Gerard Pique dalam kesebelasan utama pasukan.

Umtiti juga telah dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Barcelona, dengan Manchester United dan Manchester City di antara kelab yang sangat berminat terhadap pemain ini. Umtiti mempunyai klausa pelepasan minimum berjumlah €60 juta, satu jumlah yang sangat mudah untuk dibayar kelab yang berminat.

Walaupun demikian, Pique menegaskan Umtiti akan terus kekal bersama Barcelona kerana pemain ini sangat gembira berada di Nou Camp.

BACA:  Barcelona Masih Menjual Jersi Messi Walau Bintang Argentina Itu Sudah Sertai PSG