Bayern Munich Bersolidariti Bersama Manchester United

Bayern Munich bersolidariti bersama Manchester United selepas mereka juga turut mencatatkan kekalahan 5-0, walau menurunkan skuad utama mereka.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann berkunjung ke Borussia-Park untuk beraksi bertemu Monchengladbach dalam aksi saingan DFB-POKAL awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terbaik mereka dan jelas sekali kedua-dua mereka bertekad untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini.

Jika kebiasaannya peminat akan mendengar yang Bayern Munich membelasah pasukan lawan dengan jaringan besar, hari ini peminat seluruh dunia dikejutkan dengan kekalahan besar mereka di tangan Borussia Monchengladbach.

Seawal minit ke-2 permainan lagi gawang gol Bayern Munich sudah dibolosi oleh Kouadio Kone untuk gol pertama Borussia Monchengladbach.

Bolos gol awal, Bayern sepertinya hilang tumpuan dan aksi para pemain mereka serba serbi tidak menjadi, sementara skuad Monchengladbach semakin bernafsu untuk menyerang.

Hasilnya, pada minit ke-15 permainan, Ramy Bensebaini menambah duka Bayern Munich dengan beliau menggandakan kedudukan untuk Monchengladbach mendahului 2-0.

Enam minit selepas itu, Ramy Bensebaini sekali lagi meledak gol untuk Borussia Monchengladbach menerusi sepakan penalti untuk mereka mendahului perlawanan dengan keputusan 3-0.

Bayern Munich kemudiannya mendapat rentak permainan mereka dengan perlawanan dilihat kembali seimbang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Masuk aksi babak kedua, Bayern Munich semakin tertekan selepas Breel Embolo meledak gol keempat untuk Borussia Monchengladbach mendahului Bayern 4-0.

Beberapa minit selepas itu, Breel Embolo sekali lagi menjadi masalah kepada barisan pertahanan Bayern selepas beliau meledak gol kelima untuk Borussia Monchengladbach.

Wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan dengan Borussia Monchengladbach berjaya memalukan Bayern Munich dengan membelasah mereka 5-0.

Ia merupakan antara kekalahan terbesar Bayern Munich dalam saingan DFB-POKAL dengan mereka menurunkan skuad terbaik dalam perlawanan ini.

Para peminat terkejut dengan keputusan tersebut dan ada yang menganggap Bayern Munich sebenarnya bersolidariti bersama Manchester United.

Manchester United dibelasah teruk oleh Liverpool

Hujung minggu lalu, pasukan yang dianggap bakal menjadi calon Juara dalam saingan Premier League musim ini, Manchester United telah dikejutkan dengan kekalahan memalukan bertemu Liverpool.

Manchester United menurunkan skuad terbaik mereka dalam perlawanan itu dalam misi untuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri.

Selepas merekodkan tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam saingan Premier League, Manchester United turun untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka.

Bertemu Liverpool, aura perlawanan jelas sekali berbeza dek kerana perseteruan antara kedua-dua pasukan dianggap paling panas dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Mungkin terlalu yakin, Manchester United akhirnya diaibkan oleh Liverpool dengan mereka dibelasah 5-0 di halaman sendiri.

Naby Keita, Diogo Jota berjaya menjaringkan dua gol awal untuk Liverpool mendahului Manchester United.

Setan merah semakin tertekan selepas Mo Salah meledak dua lagi gol untuk Liverpool mendahului perlawanan 4-0 pada aksi babak pertama perlawanan.

Masuk aksi babak kedua, Mo Salah melengkapkan hat-trick untuk membantu Liverpool membelasah Manchester United 5-0.

Ia merupakan kekalahan paling memalukan Manchester United dalam sejarah saingan Premier League, dan lebih buruk lagi, mereka tewas di tangan musuh tradisi mereka.

Kekalahan mengejutkan kedua-dua gergasi bola sepak Eropah ini sememangnya bakal menjadi topik perbualan hangat para peminat.

Sememangnya minggu ini para peminat disajikan dengan keputusan-keputusan yang mengejutkan dan ada juga yang sudah diramal.

Barcelona mencatatkan kekalahan 1-0 di tangan Rayo Vallecano dan akibat dari itu, pengurus mereka, Ronald Koeman sah diceraikan oleh kelab.

Sumber gambar: Bleach Report

BACA:Β  Hojlund Adalah Haaland 'In The Making' - Neville