Bekas Direktor Liverpool Yakin Klopp Tidak Akan Tergoda Dengan Tawaran Real Madrid

Bekas Pengarah Urusan Liverpool, Christian Purslow percaya Jurgen Klopp tidak mempunyai sebarang minat untuk mengambil alih jawatan pengurus Real Madrid yang kini kosong selepas Zinedine Zidane meletakkan jawatan secara mengejut beberapa hari lepas.

Zinedine Zidane memanggil para pemberita dalam satu sidang media tergempar Rabu lalu bagi mengumumkan niatnya untuk meletakkan jawatan.

Klopp tidak akan tergugat dengan tawaran Real Madrid, Imannya masih kuat

Keputusan mengejut ini hadir kurang seminggu selepas mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut dengan menewaskan Liverpool 3-1 dalam aksi final.

Ia merupakan kali ke-13 Real Madrid muncul juara Eropah dan Zidane turut muncul jurulatih pertama memenangi pertandingan tersebut buat kali ke-3 berturut-turut.

Zidane berkata Real Madrid memerlukan ‘suara baru’ dalam bilik persalinan tetapi menafikan tindakan yang beliau ambil ini dipengaruhi oleh mana-mana pemain dalam pasukan.

Beberapa nama telah dikaitkan untuk mengisi kerusi panas tersebut seperti Mauricio Pochettino, Arsene Wenger dan Jurgen Klopp.

Walaubagaimanapun, Purslow sangat yakin Klopp tidak akan meninggalkan projeknya di Liverpool begitu sahaja selepas mengambil masa beberapa tahun untuk membina pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan teratas.

Christian Purslow, individu yang bertanggungjawab menguruskan penjualan Liverpool

“Perkara paling utama yang membezakan sekarang dengan 10, 15, atau 20 tahun yang lepas adalah Liga Perdana Inggeris memiliki sumber kekayaan sekarang. Jadi jika dilihat dari sudut ekonomi, tiada sebab bagi pengurus di England untuk berhijrah ke Real Madrid.”

“Tetapi Real Madrid mempunyai nilai tarikan seperti kelab berprestij, trofi, dan potensi yang mereka bakal raih selepas menyertai kelab tersebut.”

“Pada pendapat saya, tiada sebarang sebab Jurgen Klopp akan tertarik dengan tawaran Real Madrid selepas beliau mengharungi musim yang cemerlang bersama Liverpool.”

Purslow merupakan pengarah urusan Liverpool dari tahun 2009 sehingga 2011 dan merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan penjualan kelab berkenaan kepada pemilik dari Amerika Syarikat, Fenway Sports Group.

Tidak lama kemudian, beliau berpindah ke Chelsea bagi mengisi peranan sebagai ketua aktiviti komersial pada tahun 2014.

Ketika berkhidmat di Stamford Bridge, Purslow berasa kagum dan hormat bagaimana Tottenham Hotspurs diuruskan oleh pengerusi mereka iaitu Daniel Levy.

Selain Klopp, pengurus Spurs Mauricio Pochettino juga hangat dikaitkan untuk menggantikan tempat Zidane. Purslow berkata Levy telah mengambil tindakan yang bijak dengan menawarkan kontrak jangka panjang kepada Pochettino bulan lalu, tetapi beliau tidak pasti sama ada Pochettino akan kekal di White Hart Lane atau tida.

Real Madrid perlu membayar harga yang tinggi sekiranya mahu khidmat Pokettino

“Saya kurang pasti mengenai Mauricio. Saya ada baca komen beliau semalam dan beliau seperti tidak menafikan minat Real Madrid terhadapnya.”

“Pochettino baru sahaja menandatangani kontrak jangka panjang – tahniah saya ucapkan kepada Daniel Levy. Real Madrid mungkin perlu mengeluarkan duit yang banyak untuk menandatangani Pochettino.”

“Saya rasa jika Real Madrid menawarkan £50 juta kepada Spurs dan Pochettino sendiri mahu berpindah, ia mungkin akan berlaku.”

BACA:  Premier League 2022/23: Gol Tak Masuk Akal Salah & Assist Kelas Dunia Nunez Bantu Kemenangan Liverpool