Bekas Jurulatih Dedah Punca Cristiano Ronaldo Hilang Sokongan Di Bilik Persalinan Man United

Bekas jurulatih Manchester United Mike Phelan mendedahkan standard tinggi yang diletakkan Cristiano Ronaldo menjadi punca bintang Portugal itu hilang sokongan sebahagian daripada rakan sepasukannya di Old Trafford.

Ronaldo menyertai United sebanyak dua kali. Pemain itu menyertai kelab itu dari Sporting pada 2003 dan beraksi selama enam musim di bawah kendalian Sir Alex Ferguson sebelum berpindah ke Real Madrid pada 2009.

Bersama Los Blancos pemain berusia 38 tahun itu terus mendominasi nama di dalam bola sepak apabila dinobatkan anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali, dan menjuarai empat kejuaraan Champions League sebelum berhijrah ke Juventus pada 2018.

Kepulangan Ronaldo ke Premier League ibarat sirih pulang ke gagang pada 2021 apabila pemain itu kembali ke Old Trafford.

Walaupun bermula dengan baik bersama kelab yang pernah menaikkan namanya di bola sepak Eropah itu, kepulangan kali kedua Ronaldo ke United berakhir dengan kekecewaan.

Bekas jurulatih Phelan, yang juga merupakan antara figura penting di kelab itu mendedahkan bagaimana situasi Ronaldo di Old Trafford berubah sehingga pemain itu nekad berpindah pada penghujung 2022.

“Kali kedua menyertai United, dia lebih berusia, mempunyai pandangan tersendiri dan kesungguhan tinggi,” kata Phelan.

“Dia adalah pemain yang memiliki standard tinggi dan sangat sempurna untuk bekerja bersama. Tetapi pada saya cara dia berfikir lebih kompleks [berbanding pertama kali menyertai United pada 2003]

“Ini kerana dia pernah berada di Man United, beraksi bersama Portugal bersama hari ini, dan pernah beraksi bersama Madrid.

“Saya sukakan sedemikian kerana dia tidak pernah membenarkan standard tinggi yang dimilikinya hilang. Dia juga mahu orang lain di sekelilingnya untuk berada di tahap sama.

“Dan dalam situasi tersebut adakalanya anda akan kehilangan [sokongan] beberapa orang yang lain.

“Saya masih ingat ketika dia melakukan desakan dan terus cuba mendesak [standard pemain lain], dan dia tidak mendapat reaksi yang diharapkan. Perkara begini akan membuatkan kekecewaan.

“Apabila anda bekerja bersama mereka yang berada di tahap tertinggi, ia sentiasa mengenai mereka, apa yang mereka mampu capai dan di manakah ia akan berakhir.

“Mereka sentiasa mahu melihat kembali apa yang mereka lakukan dan berkata “wow, inilah dia kejayaan”. Dan Ronaldo mungkin mulai menyedari [itu tidak akan berlaku].

“Saya tidak tahu dengan pasti kerana saya tidak pernah berbual dengannya bahawa dia tidak akan berjaya melakukannya di Manchester United. Tetapi kemudiannya dia pergi mencari cabaran baharu di tempat lain.

Rekod Ronaldo buat kali kedua bersama Manchester United masih boleh dianggap hebat setelah pemain itu menjaringkan 27 gol daripada 54 penampilan.

Namun cara pemain itu meninggalkan kelab tersebut selepas itu sedikit sebanyak menjejaskan legasinya.

Kapten Portugal itu turut mendedahkan kekecewaannya ketika ditemubual Piers Morgan menjelang Piala Dunia di Qatar.

Dalam temubual tersebut Ronaldo secara terbuka mengkritik kesungguhan pemain muda di Man United dan membandingkan ketika era dirinya baru tiba di Old Trafford.

Selain itu Ronaldo turut merasakan dirinya dikhianati oleh Erik ten Hag dan beberapa figura penting lain di Old Trafford.

BACA:  Europa League 2019/20: Manchester United 5-0 Club Brugge (Agg.6-1)