Bekas Kelab Akmal Rizal Kini Milik Chelsea, Boehly Impi Bina Projek Empayar Bola Sepak Seperti Man City

Pemilik Chelsea, Todd Boehly dilaporkan telah membeli majoriti saham kelab Ligue 1, Strasbourg.

Boehly yang juga merupakan pengerusi The Blues sebelum ini pernah berkata mahu membangunkan projek seperti Man City yang memiliki beberapa buah kelab di bawah satu pengurusan besar.

Projek tersebut bertujuan untuk kelab-kelab tersebut menjadi platform untuk pemain-pemain muda mendapatkan pengalaman.

Laporan daripada media Britain berkata Chelsea telah mendapatkan pegangan 100% di dalam kelab Perancis itu dengan harga £65 juta.

Presiden Strasbourg, Marc Kelle menyifatkan perkara itu sebagai hari bersejarah dan penting untuk masa depan kelab.

“Ini adalah hari penting untuk Racing [Strasbourg], kata Keller yang juga merupakan bekas pemain tengah West Ham.

“Ia adalah perkara yang telah lama saya dan rakan kongsi lain fikirkan sejak dua tahun lalu.

“Kami telah membangunkan kelab ini secara berhemah dan menjadikan ia sebuah kelab yang memiliki potensi di setiap bahagian.”

RC Strasbourg bukan kelab asing bagi peminat bola sepak di Malaysia kerana ia merupakan kelab yang pernah menjadi destinasi bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakli.

Produk negeri Kedah itu menyertai Strasbourg pada 1999 dan pemain itu sempat melakukan 14 penampilan, selain menjaringkan 5 gol sepanjang dua tahun bersama kelab itu.

BlueCo, konsortium yang diketuai oleh Boehly mengambil alih Chelsea pada nilai £4.25 billion pada 2002 melalui satu kenyataan mengenai pengambilalihan kelab Perancis itu berkata:

“Ia adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini.

“Kami akan terus komited untuk meneruskan legasi di Racing dan fokus untuk bekerjasama dengan Marc dan pengurusan kelab demi memastikan kejayaan mampu dicapai hasil kerja keras selama ini.

“Pelaburan strategik ini diharap dapat mengukuhkan kehadiran kami di dalam bola sepak eropah, selain pemilikan kami di dalam Chelsea. Kami percaya ini adalah peluang untuk berkongsi kepakaran dan ilmu yang ada.”

Antara langkah awal selepas mengambil alih kelab itu, Blueco kini berjanji akan melabur untuk skuad utama lelaki dan perempuan selain membina akademi milik Strasbourg.

Musim pertama Chelsea dimiliki oleh Todd Boehly tidak lancar seperti yang diharapkan.

Pada musim lalu kelab London itu memecat dua pengurus dan menamatkan saingan Premier League di kedudukan ke-12 – kedudukan terburuk di dalam tempoh 30 tahun.

Strasbourg juga bergelut dengan prestasi sepanjang musim 2022-23 yang lalu dan menamatkan saingan di kedudukan ke-15 Ligue 1.

BACA:  Emery Yakin Aubameyang Akan Kembali Temui Sentuhan Di Depan Gol