Bekas Pemain Arsenal Percaya Chelsea Punyai Peluang Untuk Menang Kerana Memiliki Hazard

Bekas pemain pertahanan Arsenal, Lauren berkata perlawanan akhir Europa League musim ini tidak mempunyai pasukan pilihan kerana kedua-dua pasukan memiliki peluang yang seimbang.

Namun begitu, Lauren juga percaya kehadiran Eden Hazard dalam skuad The Blues membuatkan pasukan tersebut mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menjulang trofi tersebut.

Hazard membuatkan peluang Chelsea untuk menang meningkat

Arsenal akan berdepan Chelsea buat kali pertama dalam perlawanan akhir bagi pertandingan di peringkat Eropah dan mereka akan turun dengan lebih keyakinan selepas mencatat kemenangan selesa ke atas Valencia 7-3 secara aggregat di peringkat separuh akhir.

Chelsea pula memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan Eintracht Frankfurt sebelum menempah tiket untuk bertemu Arsenal di pentas final Europa League. Mereka juga hanya mampu meraih satu kemenangan dalam 6 perlawanan terdahulu dalam semua pertandingan.

Walaupun Chelsea berdepan dengan sedikit masalah prestasi, Lauren percaya Hazard akan bermain bersungguh-sungguh untuk memberi hadiah perpisahan paling bermakna kepada kelabnya sebelum menyertai Real Madrid musim panas nanti.

Adakah Europa League bakal menjadi hadiah perpisahan terakhir Hazard kepada The Blues ?

“Saya melihat pertembungan itu nanti sebagai 50-50, kedua-dua pasukan mampu menang. Saya memberikan Chelsea peluang kerana Hazard adalah simbol untuk pasukan tersebut dan beliau sudah tentu mahu memenanginya untuk Chelsea sebagai penutup kepada kariernya bersama kelab itu.”

“Hazard mampu menjadi faktor penentu dalam pentas final nanti selain faktor taktikal. Arsenal juga berada dalam situasi yang baik. Unai Emery begitu memahami pertandingan ini dan beliau telah memenanginya sebanyak 3 kali. Dan mereka juga memiliki gandingan yang baik di antara Pierre Emerick-Aubameyang dan Alexander Lacazette.”

“Saya rasa kedua-dua kelab ini adalah yang terbaik dalam pertandingan ini, mereka sangat memahami antara satu sama lain. Jadi saya rasa final adalah 50-50.”

Lauren turut berkata kepintaran dan fokus barisan pertahanan Arsenal perlu berada pada tahap terbaik untuk menangani ancaman yang dibawa Hazard, yang mana Lauren membandingkan pemain antarabangsa Belgium itu dengan lagenda Manchester United, Ryan Giggs.

“Barisan pertahanan Arsenal perlu bijak. Hazard adalah pemain yang sukar untuk diramal. Saya sentiasa membandingkan Hazard dengan Ryan Giggs. Ada sesetengah pemain selain memiliki skill, mereka juga pintar.”

Pemain hebat macam Henry dan Hazard memang susah untuk dihalang. Anda cuma perlu berharap mereka mempunyai bad day

“Pemain ini pandai bekerjasama dengan bahagian tengah, kadang-kadang mereka akan meminta bola di bahagian tengah dan tidak hanya menunggu di bahagian sayap.”

“Anda perlu bijak dan 100 peratus fokus, kerana walaupun anda fikir sudah mampu mengawal mereka, pemain ini tetap pemain bola sepak yang menakjubkan.”

“Hazard, Lacazette, [Dennis] Bergkamp dan [Thierry] Henry adalah pemain yang mampu melihat permainan lebih awal dari orang lain. Anda perlu fokus dan berharap mereka tidak berada pada tahap terbaik. Jikalau mereka bermain pada tahap terbaik, sukar untuk memberhentikan pemain macam ni.”

BACA:  RASMI: Eden Hazard Sertai Real Madrid Dengan Kontrak Selama 5 Tahun