Bekas pengendali Manchester City, Roberto Mancini dilaporkan telah bersetuju untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan Itali, menurut sumber Sky di Itali.
Mancini yang kini sedang menguruskan pasukan dari Russia, Zenit Saint Petersburg telah berjumpa dengan pegawai atasan Persekutuan Bolasepak Itali, Alessandro Costacurta dan Direktor Pasukan, Gabriele Oriali di Rome petang semalam bagi memuktamadkan perjanjian.
Mancini dijangka akan mengambil alih tampuk pengurusan pasukan kebangsaan Itali selepas berakhirnya musim bolasepak Rusia pada 13 Mei. Pihak FA Itali turut meletakkan 20 Mei sebagai deadline untuk Mancini menerima tawaran tersebut.
Itali memecat jurulatih mereka, Gian Piero Ventura selepas gagal membimbing Itali layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung di Russia musim panas ini. Tugas jurulatih kebangsaaan kini dipikul secara sementara oleh jurulatih bawah 21-Tahun Itali, Luigi Di Biagio.
Sebelum ini, Sky melaporkan Carlo Ancelotti telah ditawarkan untuk mengisi kekosongan tersebut tetapi menolaknya kerana lebih berminat untuk menggantikan tempat Arsene Wenger di Arsenal. Selain itu, bekas kapten Itali, Paolo Maldini telah menyatakan minatnya untuk menjadi jurulatih Itali.
Mancini sebelum ini menafikan beliau ada berbincang untuk mengisi jawatan tersebut tetapi menurut sumber terbaru, beliau telah ditugaskan untuk mengambil alih hal ehwal pasukan bagi menghadapi pusingan kelayakan Euro 2020 yang bakal bermula tidak lama lagi.
Selain Ancelotti dan Maldini, nama lain yang dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah pengurus Chelsea, Antonio Conte dan bekas jurulatih Leicester, Claudio Ranieri. Kesemua nama yang dikaitkan berasal dari Itali.
Mancini berjaya membimbing Manchester City memenanangi satu kejuaraan Liga Perdana Inggeris sepanjang bergelar pengurus dari tahun 2009 sehingga 2013. Beliau juga berjaya merangkul 3 trofi Serie A bersama Inter Milan.
Selain itu, beliau juga memenangi piala ketika menguruskan Lazio, Fiorentina, dan Galasataray.
Pengurus berusia 53 tahun ini dijangka bakal diumumkan sebagai jurulatih Itali secara rasmi sebelum berlangsungnya perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi pada 28 Mei ini.