Lelaki Ini Bakal Kehilangan RM32 Juta Jika Itali Muncul Juara Euro 2020

Walaupun Itali adalah pasukan pilihan setiap kali menyertai pertandingan utama, mereka jauh ketinggalan kepada pasukan seperti Perancis, Jerman, England, Belgium, Portugal dan Sepanyol dalam ranking pasukan pilihan di mata penganjur perjudian sukan dalam kempen Euro pada tahun ini.

Jika pasukan Azzuri berjaya menjulang piala pada 11 Julai nanti, ada seorang lelaki yang pasti tidak akan gembira.

Ross Garvey adalah ketua di Airton Risk Management, sebuah anak syarikat di syarikat perjudian terkemuka, Flutter Entertainment – syarikat yang memiliki dua ejen judi yang terkenal, Betfair dan Paddy Power. Jabatan yang dipimpin Garvey ditugaskan untuk mengira kebarangkalian sesuatu acara dalam sukan itu terjadi dan menyediakan kontrak membantu pelanggan mereka untuk mengatasi risiko kewangan.

Ross Garvey – insan yang membantu syarikat judi daripada kerugian. Gambar : The Athletic

Dalam bahasa mudah, Airton Risk Management (ARM) akan membuat kajian bagaimana sesuatu kejadian dalam sukan tu akan berlaku berdasarkan data, statistik dan rekod di masa lampau, dan serahkan kepada pelanggannya satu kesimpulan tentang acara tersebut.

Kita ambil satu contoh mudah.

ARM diminta oleh pelanggan – selalunya syarikat judi – untuk mengira kebarangkalian Hungary memenangi edisi Euro pada kali ini. Maka selepas mendapat tugasan tersebut, ARM akan memasukkan data pemain, prestasi pemain, jurulatih, rekod perlawanan Hungary dan juga data-data lain ke dalam satu algoritma yang akhirnya akan memberikan satu kesimpulan – Hungary tidak akan berjaya memenangi Euro.

Jika syarikat judi tersebut setuju dengan kesimpulan yang dibuat ARM, maka syarikat tersebut akan mengeluarkan satu kemungkinan ataupun dipanggil odds dalam bentuk nombor melambangkan peluang pasukan Hungary tersebut, contohnya 100-1.

Jika seorang penjudi mempertaruhkan RM1 untuk Hungary muncul juara Euro dan peristiwa tersebut benar-benar terjadi, maka penjudi tersebut akan menang RM100 selepas Euro berakhir.

Itu baru seorang penjudi dan nilai taruhan RM1. Kalau ada 100,000 penjudi yang meletakkan nilai taruhan RM1 setiap seorang, syarikat judi perlu membayar pulangan hadiah RM 10,000,000! Satu risiko yang boleh membuatkan syarikat judi tersebut jatuh bankrap.

Maka daripada mereka mengambil risiko kerugian ini, maka syarikat judi ini akan membayar sejumlah wang kepada ARM untuk melakukan kajian dan sekiranya kajian tersebut ternyata salah, maka ARM yang perlu membayar ganti rugi tersebut.

Contohnya dalam cerita penjaring terbanyak Euro.

Satu pelanggan telah membayar ARM sebanyak £550,000 untuk mengkaji sama ada Romelu Lukaku bakal menjadi penjaring terbanyak atau tidak. Tup tap tup tap, ARM datangkan satu kesimpulan bahawa Lukaku tidak akan menjadi penjaring terbanyak.

Jika kesimpulan tersebut benar, maka ARM akan dapat nilai penuh £550,000 tersebut, namun jika Lukaku muncul sebagai penjaring terbanyak, ARM dikehendaki membayar ganti rugi kepada pelanggannya sebanyak £4 juta!

Begitu juga dalam situasi Itali memenangi Euro. Sekiranya Giorgio Chiellini yang menjulang Piala Henri Delaunay ini nanti, dan bukan Simon Kjaer, maka ARM perlu membayar ganti rugi sebanyak £5.5 juta kepada pelanggannya.

Setakat ini, ARM sudahpun terselamat dalam cerita Lukaku, namun perlawanan separuh akhir pertama semalam ternyata membuatkan Garvey berpeluh lencun. Itali sudah sah melayakkan diri perlawanan akhir dan hanya selangkah lagi untuk memenangi piala termasyhur di Eropah tersebut.

Walaubagaimanapun, untuk mengatasi risiko kerugian ini, Garvey menerangkan bahawa dia akan cuba mendapatkan untung tidak kira apa juga yang terjadi dalam acara yang diambilnya.

“Cara nak bermain permainan ini adalah jumlah,” ujar Garvey kepada The Athletic.

“Lagi banyak pasukan yang kau cover, buatkan kau tidak berada di antara hidup atau mati, dan kau tak kan risau di atas satu pasukan sahaja.”

Untuk melakukan tugas-tugas mengkaji ini, ARM telah mengambil quants  – pakar data yang akan menilai kebarangkalian peristiwa akan terjadi dan meletakkan nilai kepada peristiwa tersebut. Cara ini adalah cukup berbeza dengan cara tradisional yang diamalkan oleh syarikat judi biasa.

Selain menyediakan khidmat kepada syarikat judi, ARM juga membantu mengambil risiko pasukan atau syarikat dalam mengira bonus yang akan dibayar nanti. Contohnya Manchester United ingin memberikan bonus kepada pemain mereka sekiranya mereka memenangi Liga Perdana Inggeris pada musim 2021-22.

Sebelum mengumumkan nilai bonus, Manchester United pergi kepada ARM dan meminta ARM mengira kebarangkalian dan peluang pasukan mereka memenangi liga. Dengan menggunakan data daripada ARM, maka Manchester United boleh membuat anggaran berapa nilai bonus yang boleh dibayar kepada pemain mereka.

Jika pemain mereka berjaya melebihi jangkaan, mereka masih ada ARM untuk membayar ganti rugi dan dengan cara ini, Manchester United dapat mengawal kewangan mereka dengan lebih selamat memandangkan mereka tidak ada orang politik atau anak raja yang boleh tolong sedut duit syarikat lain untuk diberikan kepada pasukan.

Tapi, itu contohhhh. Bukan betul-betul pun.

Sumber : The Athletic

BACA:  Bintang Newcastle Sandro Tonali Pemain Terbaru Premier League Disiasat Terlibat Pertaruhan