Belajar Bagaimana Taktik Buang Masa Itali Berjaya Hilangkan 12 Minit Daripada Perlawanan

“Satu persembahan yang baik daripada pasukan Itali,” ujar pundit BBC One, Gary Lineker, tidak lama selepas anak buah Roberto Mancini menewaskan Belgium untuk mara ke perlawanan separuh akhir Euro 2020.

“Mereka mampu mengecewakan di hujung-hujung permainan, berguling sana sini dengan banyak lagi ragam.

“Tapi mereka tahu macam mana nak buat bila mereka berada di depan.”

Yup. Memang Itali tahu.

Perlawanan baru masuk minit ke-76 apabila Leonardo Spinazzola memberi isyarat ke bangku simpanan Itali bahawa dia tidak mampu meneruskan permainan yang kemudiannya dia disahkan mengalami kecederaan di achilles tendon.

21 minit dan tiga saat kemudian, pengadil perlawanan dari Slovenia, Slavko Vincic membunyikan wisel penamat. Lima minit masa kecederaan dipanjangkan ke tujuh minit.

Belgium, dengan kata lainnya mempunyai banyak masa untuk mencari gol penyamaan, tapi sebenarnya daripada 21 minit tersebut, hanya 9 minit sahaja waktu bola betul-betul dimainkan.

Dalam perlawanan tersebut Itali memang boleh dikatakan berhak untuk menang selepas menampilkan aksi bola sepak yang mantap, termasuk gol yang boleh disenaraikan sebagai calon gol terbaik kejohanan daripada Lorenzo Insigne. Tetapi pada masa yang sama mereka juga menunjukkan bagaimana caranya untuk menutup tirai perlawanan lebih awal daripada tiupan wisel penamat.

Enam daripada 13 kekasaran daripada Itali telah dilakukan selepas minit ke-80 perlawanan dan apabila sepakan percuma ingin diambil, pasukan Azzuri melakukan pertukaran pemain yang mengambil masa yang lama untuk berjalan keluar padang.

Cara Itali menamatkan perlawanan ternyata mengundang perdebatan juga, berdasarkan komen-komen di media sosial. Sesetengah peminat bola sepak kecewa dengan aksi Itali di minit-minit akhir perlawanan dan mengganggap kecemerlangan pasukan tersebut dalam kempen Euro pada tahun ini dimusnahkan dalam perlawanan tersebut.

Perkataan seperti ‘memalukan’ dan ‘menipu’ digunakan mereka sebagai definisi taktik membuang masa tersebut.

Tetapi pada masa yang sama ada juga yang memuji tindakan pemain Itali kerana pasukan itu hanya ingin mengekalkan kedudukan dan kelebihan mereka.

Jika dan hanya jika Perancis menggunakan taktik yang sama ketika mendahului Switzerland 3-1 dengan perlawanan berbaki sembilan minit, mereka mungkin akan berada di separuh akhir dan kita mungkin masih boleh menonton aksi comel N’Golo Kante. Tapi tu lah, mereka memilih untuk menyerang dan membuka ruang antara pemain dan kesempatan ini diambil oleh Switzerland.

Sejak minit yang menyaksikan Spinazzola jatuh cedera, perlawanan telah terhenti sebanyak 22 kali sama ada untuk sepakan percuma, tendangan gol, lambungan ke dalam, pertukaran pemain dan sebagainya. Berikut adalah kiraan masa yang terhenti, dalam saat, untuk setiap kali pengadil perlawanan meniup wisel – 195, 18, four, 29, 14, 10, 34, 12, 10, 7, 32, 7, 61, 77, 102, 39, 7, 10, 5, 8, 15 dan 26.

Power tak?

Dengan kata lain, Itali langsung tidak membenarkan Belgium untuk mengekalkan momentum serangan mereka, sekaligus mempertahankan gol mereka daripada dibolosi.

Contohnnya ketika Domenico Berardi menjatuhkan Kevin De Bruyne kira-kira 25 meter dari gol. Apa yang berlaku selepas itu boleh menjadi satu kajian untuk ditiru oleh pasukan lain.

Jam menunjukkan perlawanan memasuki minit ke 88:24 ketika De Bruyne dikasari. Seminit penuh berlalu sebelum pengadil meniup wisel memebenarkan De Bruyne mengambil sepakan tersebut. Peliknya, pengadil telah menandakan garisan jarak 10 ela untuk menjauhkan pemain Itali dari bola, tapi tiba-tiba dia berhenti, lantas memberikan Berardi satu ruang untuk melakukan sesuatu.

Dengan Berardi sudahpun berada dekat dengan De Bruyne, dia berlari ke arah De Bruyne sebaik sahaja pemain Belgium itu memulakan langkah untuk menendang bola dengan tujuan untuk melakukan halangan. Ketika bola terkena Berardi, jaraknya dengan De Bruyne hanyalah empat ke lima ela sahaja daripada pemain tersebut.

Detik sepakan De Bruyne dihalang

Pengadil kemudiannya melayangkan kad kuning buat pemain Itali tersebut, namun dia hanya tersenyum – menandakan dia sudah berjaya membeli sedikit masa perlawanan.

Tidak lama kemudian, pengadil beralih posisinya ke tepi kotak penalti dan meletakkan wisel ke mulut untuk ditiup bagi membenarkan De Bruyne melakukan sepakan. Tetapi ada perkara lain pula yang berlaku dan menghalang sepakan tersebut.

Perlawanan dihentikan pula untuk memberikan laluan kepada pertukaran pemain daripada pihak Itali, membawa masuk Rafael Toloi menggantikan Federico Chiesa.

Secara keseluruhannya, masa yang diambil dari detik De Bruyne dikasari sehingga sepakan diambil adalah selama dua minit setengah dan dalam dimensi bola sepak, dua minit setengah adalah satu tempoh yang lama apabila berada di 10 minit terakhir perlawanan.

Selepas akhirnya bola dapat disepak ke dalam kotak penalti Itali, penjaga gol Itali Gianluigi Donnarumma pula terjatuh ketika mencabar bola di udara antara rakannya Giogio Chiellini dan pemain Belgium, Axel Witsel.

Tangan Witsel terjulang tinggi tetapi siku Chiellini telah terkena penjaga gol tersebut.

Pengadil kemudiannya menganugerahkan sepakan percuma kepada Itali dan pada masa yang sama, Donnarumma masih lagi bergolek-golek di atas padang. Dia bangun duduk seketika, namun bagaikan dihempap makhluk halus dia terbaring semula dengan tangannya menutup bahagian muka.

Pasukan perubatan Itali masuk ke padang dan mengerumuni Donnarumma yang kemudiannya menanggalkan sarung tangan dan air dituang ke tangan kirinya dan spray turut digunakan.

Ketika detik ini berlaku, perlawanan sudah masuk ke minit 92:40.

Bola kemudiannya dimainkan semula selama 18 saat sebelum dihentikan. Chiellini melakukan clearance dan Giovannni Di Lorenzo telah melakukan terjahan ke atas Jeremy Doku.

Sebelum tendangan percuma diambil, Jan Vertonghen cuba merampas bola daripada Nicolo Barella. Vertonghen kemudiannya bertindak sangat marah selepas pemain Itali tersebut membaling bola ke lantai.

Pada masa yang sama, Di Lorenzo terbaring di padang dalam posisi yang pelik, memegang kaki pengadil dengan tangan kirinya sambil tangan kanan memegang perut.

Mesti Di Lorenzo terlalu sakit waktu ni.

Vertonghen kemudian terlibat dalam percakaran dengan Toloi, Jorginho dan Barella, sebelum berjalan meninggalkan pemain Itali itu dengan mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah.

Pemain Belgium di bangku simpana pada waktu kelihatan sudah bengang. Dalam tempoh lima minit waktu sebenar, bola hanya dimainkan dalam masa kurang daripada 30 saat – dan itu sudah termasuk enam saat yang berlalu antara detik De Bruyne mengambil sepakan percuma yang pertama dan pengadil menghukum Berardi kerana menghalang sepakan tersebut.

Itu baru detik yang berlaku dalam masa lima minit, belum 21 minit penuh sejak detik Spinazzola mengalami kecederaan. Pasukan Sepanyol perlu berhati-hati dengan taktik membuang masa seperti ini dan penting untuk mereka mendahului Itali sebanyak yang mungkin bagi mengelakkan terganggunya emosi di minit-minit akhir oleh pelakon opera Itali ini.

Sumber : The Athletic

BACA:  Lima Perkara Terpenting Sebalik Kejayaan Itali Menundukkan Turki