Bintang Manchester United Bengang Urusan Perpindahan Beliau Dihalang Pihak Kelab

Pemain midfield Manchester United, Jesse Lingard bengang dengan kelab dan turut menganggap kelab tidak menghormati dirinya.

Perasaan itu timbul selepas pihak kelab dilaporkan telah menghalang usahanya untuk menyertai Newcastle United sebagai pemain pinjaman pada jendela perpindahan Januari ini.

Kontrak pemain berusia 29 tahun itu bersama setan merah akan tamat pada penghujung musim ini, dan beliau sepertinya tidak akan menandatangani kontrak baru.

Beliau pada ketika ini sedang dalam usahanya mahu meninggalkan kelab untuk sertai Newcastle United sebagai pemain pinjaman sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Lingard sangat terdesak mahu meninggalkan Old Trafford kerana beliau mahukan minit permainan, dan hal itu sukar untuk beliau dapatkan bersama Man United.

Pengurus interim kelab, Ralf Rangnick dikatakan merestui usaha Lingard untuk meninggalkan kelab, namun urusan perpindahan bintang England itu untuk sertai Newcastle sebagai pemain pinjaman masih belum boleh dimuktamadkan.

Pihak kelab tidak mahu melepaskan Lingard kerana merasakan tawaran dari Newcastle itu terlalu kecil untuk mereka.

The Telegraph melaporkan yang Lingard sangat kecewa dengan layanan yang beliau terima dari kelab yang sudah hampir dua dekad beliau sertai.

Pada suku kedua musim lalu, Jesse Lingard telah dipinjamkan ke West Ham United dan kecemerlangan beliau di London Stadium berjaya membantu The Hammers untuk layak ke saingan Europa League.

Melihat aksi hebat beliau bersama West Ham, pihak kelab kemudiannya memanggil beliau untuk sertai semula skuad pada musim ini.

Beliau turut dijanjikan minit permainan yang mencukupi oleh bekas pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer yang telah dipecat pada November tahun lalu.

Walau bagaimanapun, dari era Ole Gunnar Solskjaer, hingga kini di bawah kendalian Ralf Rangnick, janji kelab kepada Lingard masih belum ditunaikan.

Beliau masih lagi sering diketepikan dan masih lagi tidak mendapat minit permainan seperti yang diharapkan olehnya ketika bersetuju untuk kekal di Old Trafford musim ini.

Sementara West Ham United pula pada ketika ini sedang mencabar kedudukan empat teratas dalam carta saingan liga, dan turut sedang bersaing dengan Man Utd untuk merebut slot ke Champions League.

Melihat kepada situasi itu, sudah tentu Manchester United tidak akan melepaskan beliau untuk sertai West Ham kerana bimbang The Hammers akan merampas kedudukan empat teratas dalam carta saingan liga.

Tottenham Hotspur juga turut sama mencuba nasib untuk mendapatkan khidmat Jesse Lingard, namun atas alasan sama pihak kelab menolak tawaran tersebut.

Newcastle sememangnya sudah lama merancang mahu mendapatkan Lingard dan mereka dilaporkan sudah menawarkan £6 juta kepada Man United untuk meminjam bintang England itu.

The Magpies bahkan turut sanggup membayar penuh gaji Lingard sepanjang tempoh pinjaman tersebut, namun ia tetap ditolak oleh Manchester United.

Ejen Lingard sendiri turut percaya yang tindakan pihak kelab terhadap Lingard sebenarnya sekadar hukuman kerana beliau tidak mahu menandatangani kontrak jangka masa panjang.

Beliau pada musim ini hanya membuat 14 penampilan sahaja dalam semua pertandingan namun hanya dua kali sahaja tampil dalam kesebelasan utama.

Lingard juga sangat terdesak mahu menyertai skuad kebangsaan England untuk aksi Piala Dunia Qatar nanti, dan untuk memastikan hasratnya itu tercapai, beliau perlu dapat minit permainan yang mencukupi.

Selain Lingard, Donny Van de Beek juga turut dilaporkan sangat terdesak mahu meninggalkan kelab dalam masa terdekat ini.

Crystal Palace dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat bintang Belanda itu, namun belum ada sebarang kata putus dari pihak kelab.

Selain dari dua pemain yang mahu meninggalkan Old Trafford itu, Man Utd juga turut sudah mengesahkan yang Anthony Martial kini akan beraksi bersama Sevilla sebagai pemain pinjaman.

Urusan perpindahan Martial untuk sertai Sevilla telah dimuktamadkan dan diumumkan secara rasmi malam semalam dengan bintang Perancis itu akan beraksi dalam saingan La Liga hingga akhir musim ini.

Dalam satu temu bual pada awal bulan baru-baru ini, Ralf Rangnick telah mendedahkan kepada pihak wartawan yang skuad kendaliannya pada ketika ini tersangatlah besar.

“Ketika kamu ada skuad yang besar, dalam dua perlawanan terakhir, kami ada ramai pemain yang boleh bermain dan hanya 10 pemain padang boleh bermain dan tiga lagi sebagai pemain gantian.”

“Kemudian kamu ada ramai pemain yang langsung tak main dan ada yang langsung tak disenaraikan. Kesemua pemain itu tidak gembira dengan situasi ini, ia sangat jelas.”

“Kami ada skuad yang besar, mungkin skuad yang terlalu besar pada ketika ini.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aguero Anggap Semua Media England Penyokong Manchester United