Bintang Premier League Ditangkap Atas Pertuduhan Merogol

Salah seorang bintang besar dalam saingan Premier League, telah ditangkap atas pertuduhan merogol dan beliau pada ketika ini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

The Telegraph melaporkan yang pemain tersebut pada ketika ini berusia 20 an dengan beliau telah ditangkap ketika berada di Timur London.

Pemain yang namanya masih dirahsiakan itu masih sedang disoal siasat atas pertuduhan tersebut yang dikatakan berlaku pada bulan lalu.

Scotland Yard mengesahkan dalam satu kenyataan kepada The Telegraph yang pemain dimaksudkan itu telah ditangkap pada Isnin lalu.

“Pada 4 Julai, pihak polis telah menerima satu laporan berkait kes rogol seorang wanita berusia 20 an.”

Jelas kenyataan dari pihak polis.

“Dilaporkan yang kejadian rogol itu berlaku pada Jun 2022.”

Pihak polis kemudiannya menambah lagi yang individu tersebut telah ditangkap di kediaman beliau di Barnet atas pertuduhan merogol dan beliau ketika ini terpaksa ditahan untuk disoal siasat.

“Siasatan secara terperinci sedang dijalankan pada ketika ini.”

The Telegraph telah menghubungi kelab pemain tersebut, namun wakil kelab tersebut menolak untuk menjawab sebarang pertanyaan berkait hal tersebut.

Masih tidak jelas adakah pemain itu akan menyertai kelab beliau untuk aksi pra musim pada 5 Ogos ini atau tidak kerana beliau masih lagi di bawah tahanan polis.

Laporan sama turut mendedahkan yang pemain tersebut juga akan terlibat bersama skuad kebangsaannya untuk aksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Melihat kepada hal itu, jelas sekali pemain yang dimaksudkan itu merupakan pemain bintang besar dan yang kerap bermain untuk kelabnya.

Nama Thomas Partey dikaitkan sebagai pemain yang ditangkap, namun beliau dikatakan turun menjalani sesi latihan bersama skuad Arsenal hari ini.

Oleh yang demikian, beliau mungkin tidak boleh dikaitkan dengan kes tersebut kerana beliau sendiri pada ketika ini tidak berada di dalam tahanan polis.

Sejak beberapa musim kebelakangan ini, sudah ramai sebenarnya pemain yang ditangkap atas kesalahan yang sama.

Pemain berbakat seperti Benjamin Mendy, Sigurdson dan Mason Greenwood antara yang terpalit dengan isu melibatkan pihak polis.

Walau bagaimanapun, harus diakui yang ramai juga pemain-pemain yang menjadi mangsa fitnah oleh wanita-wanita tak bertanggungjawab yang menuduh mereka melakukan hal terkutuk itu.

Jelas sekali pemain-pemain bola sepak memiliki kehidupan yang sangat luar biasa mewah, dan kerana itulah para wanita tidak bertanggungjawab itu mencuba untuk mendapatkan sesuatu dari mereka.

Ketika artikel ini ditulis, masih tidak jelas siapa pemain yang ditangkap itu, dan mungkin saja ia akan didedahkan dalam masa terdekat ini.

Seandainya beliau bersalah, jelas sekali beliau tidak akan didaftarkan untuk berada dalam skuadnya bagi menghadapi saingan musim baru nanti.

Beliau juga berpotensi untuk disingkirkan dari senarai skuad kebangsaannya untuk aksi di pentas Piala Dunia Qatar nanti.

Walau bagaimanapun, seandainya beliau tidak bersalah, maka beliau tentunya akan dibebaskan dalam masa terdekat ini dan akan kembali menyertai skuadnya.

Satu hal yang pasti, ramai wartawan dari pelbagai media yang sedang cuba mencari tahu tentang kes ini, terutama menjejak siapa pemain yang ditangkap itu.

Para peminat di media sosial juga tidak henti-henti mengaitkan pelbagai pemain dengan kes ini dan hal itu tentunya akan terus berlanjutan sehingga pesalah sebenar didedahkan.

Beberapa nama pada ketika ini hangat dikaitkan dengan kes tersebut, terutama pemain-pemain dari skuad Arsenal, Tottenham Hotspur dan Chelsea.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester United 1-0 West Ham