Bintang PSG Terpaksa Tutup Komen Semata-mata Kerana Tak Sengaja Mengasari Mbappe

Kylian Mbappe berkemungkinan akan terpaksa diketepikan dari aksi bertemu Real Madrid dalam saingan Champions League nanti, dan ia berpunca dari kesilapan rakan sepasukannya sendiri.

Dek kerana terlalu kasar ketika menjalani sesi latihan, salah seorang pemain Paris Saint Germain secara tak sengaja telah mengasari Kylian Mbappe.

Kylian Mbappe merupakan pemain terbaik Paris Saint Germain ketika aksi kemenangan 1-0 mereka menewaskan Real Madrid dalam aksi leg pertama, pusingan 16 terbaik saingan Champions League dua minggu lalu.

Gol minit-minit akhir dari pemain muda Perancis itu berjaya mengesahkan kemenangan 1-0 Paris Saint Germain menewaskan Real Madrid di Parc des Princes.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu pada minggu ini, dengan masa depan PSG, Real Madrid, Kylian Mbappe, Carlo Ancelotti dan Mauricio Pochettino sendiri turut terkait dengan keputusan dalam perlawanan tersebut.

Walau bagaimanapun, pemain penyerang Perancis itu berkemungkinan tidak akan diturunkan dalam aksi yang akan dilangsungkan di Santiago Bernabeu nanti.

Hal ini kerana pemain berusia 23 tahun itu telah dibelenggu masalah kecederaan ketika sedang menjalani sesi latihan petang kemarin.

Terdapat kebimbangan yang kaki Mbappe bakal retak selepas melihat beliau benar-benar menjerit kesakitan sambil memegang kakinya.

Laporan terbaru bagaimanapun mendedahkan yang tiada keretakan berlaku selepas menjalani ujian x-ray, namun masih ada keraguan adakah beliau bakal mampu diturunkan atau tidak.

PSG mengesahkan yang Sergio Ramos juga tidak akan bermain bertemu bekas kelabnya itu, namun keadaan beliau akan sekali lagi disahkan menjelang pertemuan mereka nanti.

Idrissa Gana Gueye merupakan individu yang bertanggungjawab menyebabkan Kylian Mbappe mengalami kecederaan ketika mereka sedang menjalani sesi latihan itu.

Bekas bintang Everton itu walau bagaimanapun teruk diganggu oleh para peminat di media sosial, selepas insiden tersebut.

Gueye dan isterinya terpaksa menutup ruangan komen di laman media sosial mereka, dek kerana terlalu banyak komen negatif terhadap mereka.

Walaupun ramai peminat yang menyalahkan Gueye sebagai punca kecederaan itu berlaku, namun Kylian Mbappe tidak sama sekali menyalahkan rakan sepasukannya itu.

Beliau jelas sekali menerima hal tersebut sebagai insiden yang tak disengajakan dan insiden yang sememangnya berpotensi untuk berlaku ketika sesi latihan.

Bekas bintang Monaco itu memuat naik status di laman media sosial miliknya dengan menulis:

“Semua bersama, inilah Paris.”

Menjelang aksi leg pertama, semua mata jelas sekali tertumpu kepada Kylian Mbappe, memandangkan beliau hangat dikaitkan bakal menyertai Real Madrid.

Beliau dikatakan akan terus ke ibu kota Sepanyol itu selepas kontraknya tamat pada penghujung musim ini nanti.

Bahkan ketika sedang berada di dalam terowong sebelum aksi sepak mula perlawanan, para peminat turut mengesan “Agent Benzema” sering bersembang dengan Mbappe dan hubungan mereka nampak sangat rapat.

Gol jaringan beliau, kemahiran beliau, skill, kelajuan, teknik dan kebijaksanaan beliau menjadi kunci mengapa Kylian Mbappe lebih bagus dan dianggap antara yang terhebat di dunia.

Pochettino akan sangat terdesak untuk mendapatkan khidmatnya, terutama selepas skuadnya tewas kepada Nice pada hujung minggu lalu kerana ketiadaan Kylian Mbappe.

Tidak dinafikan juga yang Kylian Mbappe merupakan nadi penting PSG ketika menewaskan Real Madrid sebelum ini, dan sudah tentu beliau diharapkan untuk bantu skuad mara ke peringkat suku akhir.

Real Madrid juga sepertinya bakal berusaha sehabis daya mereka untuk menewaskan Paris Saint Germain di Santiago Bernabeu, untuk melayakkan diri mereka ke pusingan seterusnya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mbappe Mungkin Perlu Duduk Dibangku Simpanan PSG Jika Tidak Mahu Tandatangani Kontrak Baru