Bruno Fernandes Beri Amaran, Jangan Petik Namanya Untuk Serang Ronaldo

Pemain perancang Manchester United, Bruno Fernandes telah memberi amaran kepada semua terutamanya media supaya jangan memetik namanya untuk menyerang Cristiano Ronaldo yang nun jauh di Timur Tengah.

Semua ini berlaku selepas kemenangan penuh bermakna 2-1 Manchester United ke atas jiran mereka, Manchester City yang pastinya mampu menghadirkan harapan dan boleh menjadi titik tolak kepada satu perubahan besar.

Bruno Fernandes telah menjaringkan gol penyamaan penuh kontroversi dalam Manchester Derby sebelum Marcus Rashford menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian.

Tiada yang lebih manis dalam derby apabila menang ke atas lawan sukar ditewaskan dan bertambah-tambah manis leting menang pula melalui aksi kebangkitan di lewat permainan.

Selepas perlawanan, Bruno Fernandes telah bercakap kepada BT Sport dan kenyataannya itu telah menjadi popular:

“Kami dulu lebih bermain secara individu, kini kami sebagai satu pasukan. Anda boleh lihat pasukan yang sesuai yang bekerja untuk satu sama lain.”

Ramai melihat perkara itu dan terus mengaitkan kenyataan Bruno Fernandes itu dengan Cristiano Ronaldo termasuklah media yang pastinya akan memanipulasi cerita untuk menjadikannya sensasi.

Asasnya wujud jika mahu dikaitkan dengan Ronaldo, kerana Manchester United bertambah baik dan bermain lebih berpasukan tanpa pemain bintang veteran itu yang sering mencetuskan kontroversi yang memudaratkan pasukan.

Namun semua itu andaian semua termasuklah kau, aku dan dia sahaja apabila Bruno Fernandes tampil menjelaskan kenyataannya itu tiada kaitan dengan Ronaldo yang telah meninggalkan United dengan cara yang buruk.

Bruno Fernandes tampil memberi kenyataan di story Instagramnya selepas melihat kenyataannya itu telah di manipulasi sesetengah pihak:

“Terima kasih kepada individu yang menulis kembali sebiji-biji perkataan yang aku cakap!”

“Aku tahu sukar untuk melihat Manchester United bermain dengan baik dan tiada apa untuk diperkatakan tentang kami dalam berita selain perkara yang baik!”

Bruno Fernandes meletakkan tanda seruan! di hampir setiap penghujung ayat dan bukannya noktah yang menyeru semua agar tidak menggunakan namanya untuk menyerang Cristiano Ronaldo.

“Jangan guna nama aku untuk menyerang Cristiano Ronaldo! Cristiano merupakan sebahagian dari pasukan kami untuk separuh musim.”

“Dan seperti aku cakap dalam banyak temuramah. Semua orang (pemain United) sejak perlawanan menentang Liverpool adalah menakjubkan.”

“Dan telah bertindak seperti sebuah pasukan yang baik dan anda boleh lihat keputusan selepas itu! Kami meneruskannya.”

Ini bukanlah kali pertama Bruno Fernandes mengatakan Manchester United bermain sebagai satu pasukan dan telah memuji langkah dibawa oleh Erik Ten Hag yang menghadirkan kembali apa yang hilang setelah sekian lama di Old Trafford.

Bruno Fernandes telah mendedahkan dua kekuatan utama yang teramat penting yang ada pada Erik Ten Hag namun tiada pada dua orang pengurus terdahulu iaitu Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick.

Dua perkara tersebut itulah yang membawa kepada kerjasama berpasukan iaitu:

1. Kestabilan
2. Disiplin

“Aku fikir perkara utama untuk kami, kerana kami telah berada dalam saat-saat sukar dengan pertukaran jurulatih. Jadi kami mendapati kini jurulatih yang memberikan kami kestabilan, yang sangat penting dan sesuatu yang hilang dan disiplin yang besar.”

“Bagi aku, adalah sesuatu yang besar dalam pasukan kami yang kami perlukan. Aku fikir dalam pasukan kami, kami kehilangan sedikit perkara itu dan aku fikir sekarang semua orang memahami bahawa anda melakukan apa sahaja yang anda perlu lakukan atau anda keluar.”

Sudah pasti dengan disiplin akan dapat membawa kestabilan dalam pasukan dan itu juga asas dalam karier pemain bola sepak profesional, tanpa disiplin walaupun berbakat besar karier mereka tidak lama.

BACA:  Hikmah Kewujudan Bruno Fernandes Di Manchester United