Bruno Fernandes Dedah Reaksi Maguire Apabila Dia Diumumkan Kapten Baharu MU

Diberikan peranan untuk memakai lilitan kapten sejak berhijrah dari Leicester City dengan nilai rekod dunia £80 juta untuk pemain pertahanan pada 2019, masa depan Harry Maguire di Old Trafford kini masih tidak jelas.

Semuanya kerana prestasi serba tidak menentu sehingga pemain itu kini bukan lagi pemain utama Setan Merah di bawah kendalian Erik ten Hag.

Bukan sahaja kini lilitan kapten Maguire telah dilucutkan oleh pengurus dari Belanda itu, malah Ten Hag turut dilaporkan sudah menyatakan niat untuk membenarkan pemain pertahanan England itu meninggalkan kelab tersebut demi kebaikkan semua pihak.

Maguire turut pernah meluahkan kekecewaan di media sosial apabila dimaklumkan oleh Ten Hag mengenai keputusan jurulatih itu.

Dan setiap kali Maguire tidak beraksi pada musim lalu, peranan sebagai kapten akan dipegang oleh Bruno Fernandes.

Maka tidak hairanlah mengapa Ten Hag menyerahkan lilitan kapten Setan Merah kepada pemain antarabangsa Portugal itu secara tetap untuk menghadapi saingan musim baharu.

Melalui satu temubual bersama media United, Fernandes mendedahkan bagaimana reaksi Maguire sejak beliau diumumkan sebagai kapten baharu kelab itu.

“Dia [Maguire] mengucapkan tahniah dan berkata dirinya gembira untuk saya. Saya faham situasinya kini bukan di posisi terbaik pada ketika ini.

“Ia pasti sukar untuk dia datang kepada saya dan mengucapkan tahniah. Tetapi saya gembira kerana kami sentiasa mempunyai hubungan yang baik,” kata Fernandes.

Ten Hag pula mempunyai pelbagai sebab untuk menyerahkan lilitan kapten kepada Fernandes.

“Saya memilih Bruni kerana dia adalah pemain yang menjadi inspirasi. Dia adalah contoh pemain yang sentiasa mahu menampilkan persembahan yang lebih baik sebagai pemain.

“Dia juga sentiasa bekerja keras dan dahaga untuk memaksimumkan prestasinya.

“Dia boleh menjadi rujukan kepada ramai pemain dan bijak di dalam bersosial. Dia juga mempunyai kualiti membaca permainan.

“Sebagai pengurus ia adalah kualiti yang saya mahukan di atas padang. Ada banyak perkara boleh berlaku di dalam padang, dan dia tidak akan mampu melakukannya seorang diri.

“Di dalam pasukan ini, kami memerlukan ramai pemimpin yang boleh memupuk perhubungan yang baik di dalam pasukan, berkeupayaan memimpin rakan sepasukan lain ke arah yang sepatutnya,” jelas Ten Hag.

BACA:  AC Milan Dakwa Fellaini Tidak Akan Sambung Kontrak Bersama Manchester United