Casemiro Luah Kekesalan Sertai Kelab Bermasalah Seperti Man Utd

Casemiro berpendapat dirinya telah melakukan kesilapan besar dalam kariernya apabila berhijrah untuk menyertai Manchester United.

Selepas menyerlah pada musim pertamanya di Old Trafford, pemain tengah dari Brazil itu melalui permulaan sukar pada musim keduanya di England.

Casemiro dilabel perlahan dan beberapa kesilapan yang dilakukannya turut menjadi punca prestasi tidak konsisten United pada musim ini.

Malah pemain itu dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang Galatasaray, dan turut dikeluarkan oleh pengurus pasukan Erik ten Hag selepas waktu rehat dalam perlawanan menentang Brentford dua minggu lalu.

Casemiro kemudiannya mengalami kecederaan ketika membantu Brazil seri 1-1 menentang Venezuela, namun kembali beraksi dalam kekalahan 2-0 kepada Uruguay.

Laporan Nacional mendedahkan United kurang gembira dengan prestasi ditampilkan Casemiro pada musim ini. Pemain itu pula meluahkan kekesalan kerana memilih untuk menyertai United setahun lalu.

Perkara paling dikesali Casemiro adalah kerana dia meninggalkan Real Madrid untuk menyertai sebuah pasukan yang menghadapi masalah dan tidak stabil di dalam dan di luar padang.

Sejak menyertai United, Casemiro hanya memenangi Piala Carabao – berbeza dengan deretan trofi yang dimenangi oleh pemain itu ketika bersama Los Blancos saban musim.

Dan terbaru United dilaporkan sudah mencari pengganti jangka masa panjang untuk pemain itu, iaitu pemain tengah Benfica Joao Neves.

Media Catalan itu melaporkan United telah menyatakan minat untuk mendapatkan Neves tetapi perlu membayar sebanyak £61 juta untuk mendapatkan tandatangan pemain itu.

Berusia 19 tahun, Nevez merekodkan 17 penampilan untuk membantu Benfica muncul juara liga pada musim lalu.

Musim ini Neves telah pun melakukan lapan penampilan dan membantu pasukannya tidak dibolosi dalam empat perlawanan.

Beberapa hari lalu Casemiro menjadi sasaran bakal pemilik baharu Man Utd, Sir Jim Ratcliffe yang menyifatkan pemain itu sebagai hasil kesilapan polisi perpindahan pemain di United.

Casemiro diikat oleh United pada usia 30 tahun dengan kontrak empat tahun dan menerima £350,000 seminggu yang dianggap sangat tidak munasabah.

Mesej yang cuba disampaikan oleh Ratcliffe mungkin mempunyai asas mengambil kira Casemiro sudah melalui tempoh terbaik dalam kariernya ketika masih bersama Real Madrid.

BACA:  Jadon Sancho Kembali Untuk Selamatkan Man Utd Dari Kekalahan