Chelsea Akan Lancar Jersi Kosong Tanpa Penaja

Chelsea akan melancarkan jersi baharu untuk musim hadapan pada Isnin akan datang tanpa penaja di bahagian depan.

Kelab berpengkalan di London itu sebelum ini melakukan perbincangan dengan Stake.com – sebuah agensi perjudian kripto – yang juga merupakan penaja Everton dan Watford.

Namun perjanjian dengan syarikat itu mendapat bantahan daripada penyokong The Blues di tengah usaha kelab-kelab Premier League yang lain menjauhkan diri daripada syarikat judi untuk tujuan penajaan di dalam bola sepak.

Chelsea sebelum ini turut berusaha menjadikan Paramount Plus sebagai penaja utama jersi mereka.

Namun demikian ia juga tidak dibenarkan oleh Premier League kerana ia berpotensi memberikan masalah kepada hak penyiar rasmi pertandingan tersebut.

Pada masa ini Sky Sports, BT Sport (akan dikenali sebagai TNT Sports) dan Amazon Prime merupakan syarikat penyiar yang telah dilantik oleh pihak Premier League untuk siaran di UK.

Di Amerika Syarikat, Premier League telah melantik NBC Sports untuk menyiarkan perlawanan di pertandingan itu.

Penajaan pada jersi Chelsea bersama Three akan tamat pada musim panas akan datang. Syarikat komunikasi itu telah menaja jersi Chelsea sejak tiga musim lalu.

Chelsea kini menjadi salah satu daripada pasukan Premier League yang belum memperkenalkan jersi baharu pasukan untuk saingan musim hadapan.

Pada masa ini belum ada pasukan yang mendapat promosi daripada saingan musim lalu, iaitu Luton Town, Sheffield United dan Burnley yang sudah memperkenalkan jersi musim baharu.

Dua kelab lain, Nottingham Forest dan West Ham juga belum berbuat demikian. Forest bagaimanapun sudah menjadulkan pelancaran jersi baharu pada minggu hadapan.

BACA:  Drogba Menganjing Arsenal Selepas Willian Meninggalkan Kelab Tercorot Liga Itu