Chelsea Teruskan Perbincangan Tajaan Dengan Syarikat Judi Walaupun Ditentang Kelab Premier League Lain

Chelsea telah dinafikan peluang untuk menandatangani kontrak tajaan pada jersi pasukan bersama Paramount Plus oleh pihak Premier League kerana kebimbangan ia akan mengundang masalah dengan syarikat penyiar rasmi pertandingan itu pada musim hadapan.

Ini menyebabkan Chelsea kini berkeras untuk meneruskan perbincangan dengan syarikat judi, Stake.com walaupun kelab-kelab Premier League lain sebelum ini sepakat tidak lagi bekerjasama dengan syarikat judi.

Pada April lalu kelab-kelab Premier League secara sepakat mengundi untuk tidak membenarkan lagi penajaan oleh syarikat judi sebagai penaja utama pada jersi pasukan masing-masing.

Bagaimanapun penajaan ini tidak terhad kepada tajaan kecil yang akan tampil pada lengan jersi atau di papan iklan LED di dalam stadium.

Kelab-kelab yang masih memiliki kontrak bersama syarikat judi diminta untuk menamatkan kontrak masing-masing menjelang musim 2026/27 akan datang dan mencari penaja alternatif yang lain.

Paramount Plus pula adalah syarikat streaming dari Amerika Syarikat dan tidak menyiarkan bola sepak sebagai kandungan mereka di UK, namun menyiarkan perlawanan Champions League, Serie A, dan National Women’s Soccer League (NWSL) di Amerika Syarikat.

Chelsea sebelum ini berharap dapat mencapai persetujuan dengan Paramount Plus, namun ia dilihat sebagai pelanggaran kontrak dan lesen di antara kelab dan pihak Premier League yang mengendalikan perihal penyiaran dan perkara komersial pertandingan.

Pada masa ini Sky Sports, BT Sport (akan dikenali sebagai TNT Sports) dan Amazon Prime merupakan syarikat penyiar yang telah dilantik oleh pihak Premier League untuk siaran di UK.

Di Amerika Syarikat, Premier League telah melantik NBC Sports untuk menyiarkan perlawanan di pertandingan itu.

Penajaan pada jersi Chelsea bersama Three akan tamat pada musim panas akan datang. Syarikat komunikasi itu telah menaja jersi Chelsea sejak tiga musim lalu.

Stake.com pula adalah syarikat judi yang menggunakan matawang kripto di platoform mereka.

Sebelum ini Stake turut pernah bergelar penaja kepada Everton dan Watford, tetapi kedua-dua kelab kini turut bersetuju untuk tidak bekerjasama dengan syarikat judi seperti yang diarahkan mulai Ogos 2026.

Kurangnya usaha daripada Chelsea untuk mencari penaja alternatif dan bekeras meneruskan rundingan bersama Stake.com kini menjadi persoalan utama sekiranya kelab tersebut benar-benar komited untuk mengelak bekerjasama dengan syarikat perjudian sebagaimana telah dipersetujui majoriti kelab lain sebelum ini – walaupun tempoh diberikan sehingga 2026.

BACA:  10 Perpindahan Paling Gagal Dalam Sejarah Peradaban Bola Sepak