Conte Pertahan Taktik ‘Parking Bas’ Chelsea Ketika Tewas Tipis Kepada Manchester City

Pengurus Chelsea, Antonio Conte percaya taktik pasukannya bukan penyebab utama mereka tewas 0-1 kepada Manchester City dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang berlangsung awal pagi tadi.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat ke arah gol Manchester City yang dikawal dengan baik oleh Ederson. Walaupun demikian, Conte enggan mengaku kesalahan beliau dan mendakwa pemilihan pemain yang dibuatnya adalah tepat bagi menghadapi pasukan kuat seperti City.

Parking bas berjaya mengekang City dari menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama

Dua penyerang tengah Chelsea, Alvaro Morata dan Olivier Giroud sekadar memulakan perlawanan di bangku simpanan dengan Conte memilih Eden Hazard untuk bermain sebagai ‘false 9’ sambil dibantu Willian dan Pedro pada bahagian sayap.

Malang buat Chelsea kerana mereka gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat ke arah gol The Citizens pada separuh masa pertama. Chelsea akhirnya melepaskan gol sebaik sahaja babak kedua bersambung dengan Bernardo Silva meledak gol buat City selepas menerima hantaran daripada David Silva.

Walaubagaimanapun, bekas pengurus Itali dan Juventus ini percaya pendekatan yang diambil beliau dalam perlawanan ini bukan penyebab utama Chelsea gagal bermain dengan baik.

“Taktik saya adalah untuk tidak melepaskan sebarang gol kepada pihak lawan di antara garisan dan untuk tidak memberikan ruang kepada pemain Manchester City. Jika anda memberikan dua perkara tersebut kepada mereka, anda berdepan risiko melepaskan gol yang banyak.” Ujar Conte kepada Skysports selepas tamat perlawanan tersebut.

Saat yang meruntun jiwa peminat Chelsea. Alonso tido

“Manchester City mempunyai mentaliti yang sangat baik ketika mereka tidak memiliki penguasaan bola. Mereka akan berterusan berlari dan menekan anda. Mereka adalah pasukan yang sangat kuat ketika ini, mempunyai mentaliti yang cemerlang dan kualiti yang tinggi.”

“Jika anda berikan ruang kepada Manchester City, perlawanan tadi tidak akan berakhir dengan 1-0. Ya, kami tidak bermain dengan baik kerana gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat tetapi ia adalah perkara yang sebenar. Saya tidak rasa punca kami gagal bermain dengan baik kerana taktik pasukan. Kami telah cuba memberikan yang terbaik.”

Beli Morata mahal2, tapi letak Hazard sebagai penyerang

“Bukan mudah untuk bermain menentang Manchester City pada waktu sekarang. Anda perlu bermain dengan intensiti yang tinggi pada setiap masa. Kami cuba melakukan perkara tersebut, bertahan dengan baik, tetapi kami melepaskan gol 30 saat selepas separuh masa kedua bermula. Gol tersebut menjadikan keadaan bertambah sukar buat kami.”

Chelsea turun menentang anak buah Pep Guardiola tanpa khidmat pemain tengah berpengaruh mereka, N’golo Kante yang jatuh sakit. Conte percaya kehilangan khidmat pemain tengah antarabangsa Perancis itu memainkan peranan penting dalam kekalahan mereka di Etihad Stadium semalam.

“Jangan lupa kami hilang khidmat N’golo Kante dalam perlawanan tadi. Beliau merupakan pemain yang sangat penting buat kami dan juga untuk keseimbangan pasukan.”

BACA:  Kai Havertz Puji Mentaliti Luar Biasa Di Arsenal Dan Mahu Menang Banyak Trofi Bersama