Courtois Pamer Aksi Penyelamatan Penalti Terhebat Dalam Sejarah Bola Sepak

Thibaut Courtois telah mempamerkan aksi menyelamatkan sepakan penalti yang sungguh luar biasa dasyat ketika aksi bertemu Athletic Bilbao awal pagi tadi.

Real Madrid turun bertemu Athletic Bilbao dalam aksi perlawanan akhir saingan Spanish Super Cup di King Fahd Stadium, Arab Saudi.

​Courtois berjaya mencatatkan clean sheet ketika aksi kemenangan 2-0 Real Madrid menewaskan Bilbao untuk menjulang kejuaraan Super Cup ke-12 dalam sejarah mereka.

Luka Modric terlebih dahulu membuka tirai jaringan untuk Real Madrid pada minit ke-34 permainan, sebelum Karim Benzema menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 untuk Real mendahului 2-0.

Skuad Real Madrid sepertinya perlu mengucapkan terima kasih kepada Courtois kerana kecemerlangan penjaga gol dari Belgium itu membantu mereka untuk mencatatkan clean sheet dalam perlawanan ini.

Pengadil perlawanan telah menghadiahkan sepakan penalti kepada Bilbao di akhir-akhir minit permainan, kerana Eder Militao menahan bola menggunakan tangan beliau.

Namun malang untuk Bilbao, kerana sepakan penalti yang diambil oleh Raul Garcia, berjaya diselamatkan oleh Courtois dengan aksi penyelamatan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Garcia melepaskan rembatan padu di tengah gawang gol, dengan bekas penjaga gol Chelsea itu awalnya seolah-olah sudah tertipu selepas beliau dilihat merebahkan badan ke sudut tepi.

Namun dek kerana matanya yang tajam beliau berjaya menghulur kaki untuk menghalang bola rembatan dari Garcia menerjah jaring gawang golnya.

Para peminat di media sosial telah memberikan pujian yang menggunung kepada Courtois atas aksi hebat yang beliau persembahkan, dan ramai yang percaya ia merupakan aksi penyelamatan penalti terhebat pernah mereka lihat.

“Thibaut Courtois sememangnya penjaga gol terhebat dalam dunia bola sepak. Aksi dia selamatkan sepakan penalti itu memang sungguh menakjubkan.”

“Aksi Courtois selamatkan sepakan penalti itu saya berani katakan sebagai yang terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.”

“Courtois menunjukkan aksi penyelamatan sepakan penalti terhebat yang pernah saya saksikan. Saya sungguh berpuas hati menyaksikan kehebatan dia.”

“Saya akan beritahu anak cucu saya nanti yang saya berjaya lihat sendiri aksi penyelamatan sepakan penalti terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.”

“25 tahun saya hidup, ini adalah aksi penyelamatan sepakan penalti paling hebat pernah saya saksikan. Memang sungguh menakjubkan.”

Courtois sendiri telah ditanya tentang kehebatan beliau menyelamatkan sepakan penalti itu dengan beliau menyatakan bahawa:

“Selamatkan penalti? Jika mereka jaringkan gol dari penalti itu, masih ada baki lagi tujuh ke lapan minit, masa yang mendebarkan kerana bermain menentang 10 orang pemain mereka boleh lebih bersemangat, dan jika mereka berjaya samakan kedudukan, dengan 10 pemain ia sukar untuk kami teruskan dalam aksi tambahan masa.”

“Tapi saya sangat gembira dengan kejuaraan ini.”

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu akan kembali beraksi dalam saingan Copa Del Rey minggu ini bertemu Elche.

Dua hari selepas bertemu Elche dalam aksi saingan Copa Del Rey, Real Madrid sekali lagi akan bertemu pasukan sama untuk aksi dalam saingan La Liga.

Los Blancos pada ketika ini sedang selesa mendahului saingan La Liga dengan mereka sudah berjaya mengumpul 49 mata dari 21 perlawanan.

Mereka kini lima mata mengatasi Sevilla yang sedang berada di kedudukan kedua dalam carta saingan La Liga, namun skuad kendalian Julen Lopetegui itu memiliki kelebihan satu perlawanan yang belum dimainkan.

Real Madrid dan Sevilla pada ketika ini jauh meninggalkan pasukan lain dalam carta saingan La Liga dengan di kedudukan ketiga pada ketika ini merupakan Real Betis yang hanya mengumpul 34 mata sahaja.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pique: Ramos Sepatutnya Kena Kad Merah