Cristiano Ronaldo Berpotensi Untuk Sertai Atletico Madrid Pada Musim Panas Ini

Cristiano Ronaldo dijangka akan menyertai Atletico Madrid selepas meyakinkan Diego Simeone untuk menandatangani beliau pada musim panas ini.

Pemain berusia 37 tahun itu akan meninggalkan Manchester United pada musim panas ini kerana beliau merasakan kelab tidak mempunyai cita-cita yang tinggi.

Beliau juga mahu meninggalkan kelab kerana mahu menghabiskan sisa-sisa kariernya dengan bermain di pentas saingan Champions League.

Kini banyak sumber-sumber yang boleh dipercayai telah mengaitkan Cristiano Ronaldo dengan Atletico Madrid selepas Bayern Munich menolak untuk menandatangani pemain penyerang itu.

Media Sepanyol, Diario AS telah mendakwa yang Ronaldo sebenarnya sudah meyakinkan Simeone untuk menandatangani beliau pada musim panas ini.

Laporan sama turut mendakwa yang ejen pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu telah mengadakan perbincangan dengan Diego Simeone untuk membawa Ronaldo kembali ke saingan La Liga.

Seandaiya urusan perpindahan itu benar-benar berlaku pada musim panas ini, ia jelas sekali bakal mencetuskan kontroversi besar di bandar Madrid.

Hal ini kerana Cristiano Ronaldo sudah dianggap seperti dewa dan antara legenda terhebat sepanjang zaman musuh tradisi Atletico, Real Madrid.

Ronaldo berjaya menjaringkan 450 gol sepanjang karier gemilangnya bersama Real Madrid sebelum ini dan turut dua kali membantu Los Blancos menewaskan Atletico Madrid di pentas perlawanan akhir saingan Champions League.

Jelas sekali beliau antara tokoh paling disayangi di Santiago Bernabeu dan antara pemain paling dibenci oleh penyokong Atletico Madrid.

Walau bagaimanapun, beliau kini sepertinya bakal mengubah situasi tersebut dengan Ronaldo mungkin akan menjadi pemain paling disayangi di Wanda Metropolitano.

Laporan tentang Ronaldo bakal sertai Atletico mula disebut-sebut selepas beliau dikaitkan dengan bakal melengkapkan perpindahan semula menyertai Sporting CP.

Walau bagaimanapun, bekas bintang Real Madrid dan Juventus itu mendedahkan yang berita tentang kepulangan semula beliau ke kampung halamannya itu hanyalah berita palsu semata-mata.

Cristiano Ronaldo masih mempunyai baki setahun kontraknya bersama Manchester United, namun beliau pada ketika ini dilaporkan masih belum kembali menyertai skuad setan merah.

Beliau sama sekali tidak melibatkan diri untuk sesi jelajah Asia dan tidak turun berlatih bersama para pemain.

Ronaldo tidak bermain dalam perlawanan bertemu Liverpool dan Melbourne Victory dalam aksi perlawanan persahabatan United pada musim panas ini.

Walau tanpa kelibat Ronaldo, Manchester United tetap berjaya mencatatkan kemenangan dari kedua-dua perlawanan tersebut dengan anak-anak buah Erik ten Hag itu berjaya menjaringkan lapan gol dan hanya merekodkan satu bolos sahaja dari kedua-dua perlawanan tersebut.

Manchester United juga pada ketika ini sudah berjaya melengkapkan pembelian Tyrell Malacia, Christian Eriksen dan Lisandro Martinez pada musim panas ini.

Melihat kepada perkembangan positif skuad, ia sepertinya bakal mampu untuk mengubah hati dan fikiran Ronaldo untuk kekal sahaja bersama kelab.

Memandangkan kelab kini sudah membuktikan yang mereka mempunyai cita-cita yang tinggi, maka tidak akan mengejutkan andai Ronaldo juga akan memilih untuk kekal sahaja bersama Man United pada musim baharu ini.

Erik ten Hag sendiri sudah menegaskan yang Cristiano Ronaldo bukan untuk dijual dan bintang Portugal itu ada dalam perancangan beliau untuk menghadapi kempen musim baharu nanti.

Tidak pasti apa pengakhiran drama melibatkan Cristiano Ronaldo, satu hal yang pasti beliau pada ketika ini sedang gigih mencuba untuk mencari jalan keluar dari Old Trafford.

Walau bagaimanapun, memandangkan tiada kelab yang berminat, maka kerana itu beliau masih kekal dan andai sampai jendela perpindahan ditutup masih tiada kelab berminat, maka jelas sekali Ronaldo akan kekal di Old Trafford.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ronaldo Dedahkan 3 Pemain Yang Membuatkan Beliau Sedar Akan Kehebatan Diri