Cristiano Ronaldo, Lewandowski, Bale, Depay Gagal Selamatkan Negara Mereka: Mampukah Mbappe?

Robert Lewandowski, Gareth Bale, Cristiano Ronaldo, Memphis Depay – antara nama-nama bintang yang diangkat tinggi sebelum bermulanya Euro 2020, dan selepas pusingan 16-pasukan, nama-nama tersebut gagal mengekalkan pasukan masing-masing daripada pulang awal.

Sekarang ini seluruh dunia pasti tertumpu kepada sorang pemain yang berbakat besar dan dijangka akan menakluk dunia – Kylian Mbappe.

Malam ini Mbappe akan turun bersama rakan sepasukan melayan pasukan kerdil, Switzerland. Persoalannya, mampukah dia?

Daripada nama-nama yang disebut di atas, sudah tentu Cristiano Ronaldo berprofil paling tinggi. Dia meninggalkan kempen Euro pada tahun ini dengan lima jaringan gol, dan juga menempa sejarah sebagai penjaring terbanyak kejohanan sepanjang zaman – tetapi dalam perlawanan menentang Belgium, gol yang diharapkan daripadanya tidak kunjung tiba.

Walaupun ada banyak sumbangan positif daripadanya buat pasukan, satu aspek yang mengejutkan ramai adalah ketumpulan pemain ini dalam mengambil tendangan percuma. Ketika menentang Belgium, tugas ini diambil alih oleh Bruno Fernandes, namun secara keseluruhannya dia telah mencuba sebanyak 28 kali tanpa berjaya sejak melakukan debut dalam Euro 2004 – sekurang-kurangnya empat kali ganda daripada orang lain.

Pun begitu, Ronaldo kelihatan cukup tajam ketika mengambil penalti di mana dia muncul pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan tersebut di Euro kali ini. Orang boleh kata, penalti je pun.

Tapi susah tau sebenarnya penalti ni!

Lagi pula, Euro kali ini mungkin edisi yang terakhir buat pemain Juventus ini dan selepas ini, kita mungkin tidak akan menyebut nama Cristiano Ronaldo di sepak mula Euro yang akan datang.

Mungkin tiada lagi Cristiano Ronaldo dalam Euro yang akan datang

Dalam kes Lewandowski dan Bale, mudah untuk kita fahami bahawa mereka tidak mendapat sokongan daripada pemain yang mempunyai tahap dan kemampuan setaraf dengan rakan sepasukan mereka di peringkat kelab.

Pasukan Poland contohnya, tidak ramai daripada mereka yang bermain di pasukan-pasukan utama di Eropah. Pasukan Wales juga begitu, di mana ramai pemain mereka bermain di kelab-kelab divisyen dua di England, dan kelab-kelab bawahan di Liga Perdana seperti Manchester United dan Sheffield United.

Satu pasukan terlalu bergantung kepada Bale

Memphis Depay dan Belanda memulakan kempen Euro dengan cemerlang dengan menewaskan pasukan Ukraine 3-2, dan diikuti dengan kemenangan selesa ke atas Austria dan Macedonia Utara. Namun ketika menentang Republik Czech, mereka terkial-kial untuk menembusi barisan pertahanan lawan, apatah lagi menghasilkan jaringan.

Depay pula bagaikan cicak berak kapur, diam sepanjang perlawanan. Entah dirasuk roh Bruno Fernandes ke apa kita tak tahu, tetapi, dia tidak beraksi sebagaimana dia beraksi di peringkat kumpulan.

Itali – telah berjaya menundukkan cabaran Austria di pusingan 16-pasukan dan layak ke suku akhir, tetapi mereka terpaksa menunggu sehingga masa tambahan dan gagal menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit. Dalam peringkat kumpulan, mereka dilihat akan mudah mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

Penyerang muda yang diuar-uarkan bakal menjadi pemain terbaik dunia, Erling Haaland, lagi lah. Layak ke Euro pun tidak.

Kini antara nama besar yang tinggal di dalam kempen Euro pada tahun ini adalah Mbappe. Pemain muda ini mula dikenali dunia dengan larian derasnya dan memecah kubu lawan dan menggegar gol ketika bersama Monaco, lantas membuka pintu kepada perpindahannya ke Paris Saint Germain, bergandingan dengan Neymar.

Di atas kertas, Perancis boleh dikatakan sebagai satu pasukan yang kuat dan stabil di mana mereka mempunyai squad depth yang bagus.

Mbappe biasanya diturunkan bersama Karim Benzema dan Antoine Griezmann, dan jika salah seorang daripada mereka mengalami kecederaaan, atau ketika keadaan memaksa, pengurus Didier Deschamps masih ada Olivier Giroud – penjaring terbanyak Perancis di kalangan penyerang yang ada pada hari ini.

Tiga serangkai Perancis di bahagian serangan

Bahagian tengah juga cukup sifatnya. Paul Pogba, N’Golo Kante dan Andrien Rabiot sering menjadi pilihan Deschamps dalam membentuk segitiga dinamik di tengah padang. Andai berlaku kecederaan atau penggantungan, masih ada pemain Bayern Munich, Corentin Tolisso dan juga bintang Tottenham Hotspur – Moussa Sissoko.

Itu belum cerita betapa kuatnya bahagian pertahanan yang selalunya dibarisi oleh Benjamin Pavard, Raphael Varane, Presnel Kimpembe dan Lucas Hernandez, dengan Clement Lenglet, Kurt Zouma dan Lucas Digne bersedia untuk dimasukkan pada bila-bila masa sahaja.

Persoalannya, adakah mereka mampu meredakan tekanan bermain di pusingan kalah mati ini? Berdepan Switzerland yang akan bermain tanpa tekanan pastinya akan menjadi sukar.

Ruang antara pemain tidak akan dibuka seluasnya, sebaliknya akan dikecilkan sekecil mungkin hingga pemain seperti Kante pun tak mungkin boleh menyelinap masuk, dan itu belum lagi cerita tentang bola sepak negatif dan berharap kepada serangan balas seperti mana yang dilakukan oleh Belgium dan Denmark serta Republik Czech.

Jadi persoalannya, adakah Mbappe mampu membawa pasukan Les Bleus ini ke pusingan suku akhir?

Sumber : MARCA

BACA:  Peminat Man Utd Bengang Martial Tidak Dipilih Sebagai Pengganti Nkunku