Data Buktikan Andre Onana Antara Penjaga Gol Paling Cemerlang Di Premier League Musim Ini

Andre Onana jelas berjaya membalas pengkritik dan mereka yang suka mencemuhnya apabila data terkini menunjukkan penjaga gol Cameroon itu kini adalah antara penjaga gol terbaik di Premier League pada musim ini.

Manchester United menandatangani penjaga gol itu daripada Inter Milan dengan nilai Β£47.2 pada musim panas lalu – harga yang dianggap sangat munasabah di pasaran pemain pada hari ini.

Walaupun demikian ia tidak mudah untuk Onana tampil sebagai pengganti David de Gea yang sudah bersama Manchester United sejak 12 tahun sebelum itu.

Malah Onana melalui situasi sukar pada awal kariernya di Old Trafford apabila dibocori 14 kali daripada enam perlawnan pertamanya sekali gus membuatkan ramai meragui kemampuan penjaga gol itu.

Namun selepas beberapa perlawanan di Premier League, Onana kini dianggap sebagai antara penjaga gol terbaik di pertandingan itu jika dibandingkan dengan penjaga gol lain.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu kini berkongsi dengan Sam Johnstone (Crystal Palace) dan Nick Pope (Newcastle) untuk jumlah clean sheets terbanyak sebanyak lima kali.

Peratusan kejayaan menyelamatkan percubaan adalah yang kedua tertinggi di Premier League dengan rekod 76.7%, sama dengan apa yang dicapai oleh Guglielmo Vicario di Tottenham dan hanya di belakang penjaga gol Liverpool Alisson yang merekodkan purata 78.7%.

Peratusan tersebut dianggap cukup bagus mengambil kira jumlah aksi menyelamat yang terpaksa dilakukan Onana di hadapan gawang United pada musim ini.

Setakat ini Onana telah melakukan 51 percubaan menyelamat, kedua tertinggi berbanding apa yang dilakukan penjaga gol Fulham Bernd Leno.

Hanya Wes Foderingham di Sheffield United yang melakukan jumlah aksi menyelamat lebih tinggi, dengan rekod 65 kali.

Ini bermakna Onana melakukan aksi menyelamat lebih kerap berbanding Thomas Kaminski di Luton, Neto di Bournemouth dan James Trafford di Burnley – 3 kelab yang dijangka akan bergelut di zon penyingkiran.

Tatkala aksi Premier League masih dianggap di peringkat awal, Onana sebenarnya masih mempunyai banyak masa untuk terus mengukuhkan tempatnya bersama United.

Namun jika statistik ini dinilai sepenuhnya, Onana bolehlah dianggap sebagai penhaga gol paling underated pada musim ini tetapi berpotensi menjadi antara penjaga gol terbaik Premier League pada masa hadapan.

BACA:Β  Fabrizio Romano: Here We Go! Onana Dijangka Tiba Di Old Trafford Minggu Ini