De Bruyne Alami Kecederaan Serius Ketika Latihan, Terpaksa Berehat Selama 3 Bulan

Manchester City mengesahkan Kevin De Bruyne tidak akan dapat diturunkan selama 3 bulan berikutan kecederaan pada lututnya ketika sesi latihan kelmarin.

Walau bagaimanapun, De Bruyne sedikit bernasib baik kerana beliau mungkin tidak perlu menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan tersebut. Manchester City akan menjalankan pemeriksaan lebih terperinci sebelum mengumumkan langkah seterusnya, antaranya menghantar beliau berjumpa specialist, Dr Ramon Cugat di Barcelona bagi mendapatkan pendapat kedua.

De Bruyne terpaksa berehat panjang

Pemain tengah itu mengalami kecederaan ‘Lateral Collateral Ligament’ pada bahagian kaki kanannya ketika sesi latihan pasukan menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield pada Ahad ini.

Dalam perlawanan terdahulu menentang Arsenal, De Bruyne diletakkan di bangku simpanan dengan Pep Guardiola memilih Raheem Sterling, Bernardo Silva, Riyad Mahrez untuk bermain di belakang Sergio Aguero. De Bruyne hanya dimasukkan pada minit ke-60 ketika Manchester City selesa mendahului Arsenal 1-0.

De Bruyne memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Manchester City musim lepas dimana beliau memainkan peranan penting untuk membantu City menamatkan musim selaku juara liga, dengan mengutip 100 mata, satu rekod baru dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Pernah mengalami kecederaan serius pada tahun 2016, ketika beliau baru menyertai City

Bekas pemain Chelsea dan Wolfsburg ini diberikan kebenaran untuk bercuti lebih lama berikutan penglibatan beliau di Piala Dunia 2018 bersama Belgium. Belgium mengharungi kempen Piala Dunia yang cemerlang dimana mereka berjaya menduduki tangga ke-3 keseluruhan, pencapaian terbaik Belgium setakat ini.

De Bruyne pernah mengalami kecederaan serius pada musim 2015/2016 ketika beraksi untuk City dalam Piala Liga menentang Everton dan menyebabkan beliau tidak dapat beraksi selama dua bulan.

Manchester City akan menyambung kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan melayan kunjungan Huddersfield hujung minggu ini dan anak buah Guardiola dijangka tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan pasukan yang tumpas 3-0 di tempat sendiri minggu lalu di tangan Chelsea.

Guardiola gagal dalam usaha beliau untuk menambah seorang lagi pemain tengah dalam skuad The Citizens berikutan keputusan pemain Napoli, Jorginho memilih untuk menyertai Chelsea. Walaupun demikian, pemain seperti David Silva, Bernardo Silva, Ilkay Gundogan, dan Phil Foden lebih dari mampu untuk memangku tugas De Bruyne sepanjang ketiadaannya.

Bekas pemain England dan Southampton, Matt Le Tissier percaya ketiadaa De Bryune mungkin memberi peluang kepada pemain muda City, Phil Foden untuk menyerlah dalam pasukan yang dipenuhi bintang ternama.

Phil Foden (kanan) mungkin mendapat peluang lebih banyak dalam kesebelasan utama berikutan kecederaan De Bruyne

“Saya tidak rasa Pep Guardiola mempunyai masalah untuk meletakkan Phil Foden dalam kesebelasan utama menentang Huddersfield memandangkan sukar untuk kita lihat City tewas dalam perlawanan tersebut.”

“Persaingan untuk berada dalam kesebelasan utama Manchester City amat sengit dan Foden perlu berusaha keras untuk merebut peluang tersebut. Untuk jangka masa panjang, persaingan sebegini akan memberi kelebihan kepada Foden dan England.”

“Jika Foden berjaya menembusi skuad utama pada ketika ini, beliau akan mempunyai pengalaman bermain bersama pemain terbaik dunia pada tahap yang tertinggi.”

BACA:  Pep Guardiola Dikecam Kerana Mempertikaikan Kerusi Kosong Di Etihad