Detik Beremosi Ketika Ramos Melihat Armband Namun Tersedar Beliau Bukan Lagi Ketua Pasukan

Sergio Ramos jelas memerlukan sedikit lagi masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di Parc des Princes.

Bekas pertahanan Real Madrid itu bakal memulakan kehidupan baru sebagai salah seorang pemain Paris Saint Germain dan bukan lagi sebagai ketua pasukan Los Blancos.

Pemain pertahanan veteran itu menyertai PSG menerusi perjanjian perpindahan secara percuma pada musim panas ini.

Beliau sebelum ini telah menikmati karier panjang yang sungguh luar biasa gemilang sebagai ketua pasukan Real Madrid.

Dan beliau sepertinya masih belum membiasakan diri untuk tidak bergelar ketua pasukan dan tidak memakai Armband di lengan kirinya.

Dalam satu video promosi yang dikongsikan oleh PSG, Ramos dilihat sedang mencuba mengenakan kit terbaru kelab.

Beliau ketika itu dilihat menyemak lengan kirinya berkali-kali dan sempat seolah-olah memperbetulkan jersi di bahagian itu.

Beliau seolah-olah mencari di mana Armband kapten miliknya dan masih tidak biasa untuk tidak memakai armband itu.

Sayang sekali untuk Ramos, armband itu kini menjadi milik Marquinhos yang telah lama menggalas tugas sebagai ketua pasukan untuk skuad kendalian Mauricio Pochettino itu.

Ramos mengakhiri karier selama 16 tahun bersama Real Madrid dengan memenangi lima gelaran La Liga dan empat gelaran Champions League.

Selepas kontraknya tamat, Ramos telah dikaitkan dengan pelbagai pasukan namun beliau akhirnya memilih untuk menandatangani perjanjian bersama Paris Saint Germain.

“Tempat terbaik untuk terus bermimpi, kelab terbaik untuk terus menang.”

Tulis beliau di media sosial.

“Kita akan berjuang dengan segala apa yang kita ada untuk segalanya. Allez.”

“Paris Saint Germain merupakan kelab yang telah membuktikan sendiri bahawa mereka berada di tahap yang tinggi. Saya mahu terus berkembang di sini dan menambah baik kekurangan di sini dan membantu pasukan untuk menang sebanyak Piala yang kami mampu.”

Neymar dan Ramos ketika aksi PSG bertemu Madrid

Ramos sebelum ini telah dikaitkan dengan bakal menyertai beberapa pasukan Premier League seperti, Manchester United, Chelsea dan Manchester City.

Namun PSG lebih pantas untuk meyakinkan Ramos dengan Presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi, Sporting director, Leonardo dan Neymar sendiri memainkan peranan masing-masing dengan cukup cemerlang.

“Neymar meyakinkan saya sebelum saya menandatangani perjanjian bersama PSG.”

Jelas Ramos kepada L’Equipe.

“Sebelum menandatangani perjanjian dengan kelab baru, ia sangatlah membantu andai dapat berbual bersama beberapa pemain, atau bersama Leonardo atau Al-Khelaifi. Mereka semua meyakinkan saya dengan cara mereka.”

“Saya sudah berbual dengan Neymar sejak enam ke tujuh tahun. Bahkan waktu itu dia bermain bersama Barca dan saya bermain bersama Madrid, kami tetap ada hubungan persahabatan yang luar biasa.”

Video perkenalan Ramos sambil memakai jersi PSG benar-benar membuatkan segelintir peminat Real Madrid menangis.

“Saya macam tak bersedia untuk lihat semua ini, saya rasa dia masih kapten Real Madrid.”

“Harapan saya untuk melihat Ramos bersara di Santiago Bernaneu terkubur selepas melihat dia memakai jersi pasukan lain.”

“Kami belum bersedia untuk ucap selamat tinggal dan kami tak sanggup melihat dia memakai jersi pasukan lain.”

“Gagal bercinta pun tak buat saya menangis seperti ini, kami masih mahukan kamu Ramos.”

Begitulah antara komen-komen dari para peminat yang masih belum move on dan menerima hakikat bahawa Ramos bukan lagi ketua pasukan Real Madrid.

PSG pada musim panas ini sahaja, mereka telah berjaya menandatangani Gini Wijnaldum, Aschraff Hakimi, Gianluigi Donnarumma dan Sergio Ramos.

Dengan pemain sedia ada, ditambah dengan penambahan pemain-pemain handalan dunia, tak mustahil impian penyokong PSG untuk melihat gergasi Ligue 1 itu menjulang kejuaraan Champions League akan jadi kenyataan.

Sumber: SB

BACA:  Liverpool Berminat Mendapatkan Sergio Ramos?