Detik ‘Romantik’ Cristiano Ronaldo an Karim Benzema, Mengingatkan Peminat Kepada Reus dan Lewandoswki

Karim Benzema dan Cristano Ronaldo telah beraksi bersama selama sembilan tahun di Real Madrid, sejak 2009 sehingga 2018. Serasi bersama, kedua-dua pemain ini telah membawa pelbagai kejuaraan kepada pasukan gergasi Sepanyol tersebut, termasuklah kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam kempen Kejohanan Eropah (Euro 2020), pasukan kedua-dua pemain ini diletakkan dalam kumpulan yang sama, kumpulan F, dan semalam kedua-dua pemain ini bertemu buat kali pertama di atas padang sejak Ronaldo berpindah ke Juventus, meninggalkan Benzema terkontang-kanting keseorangan di Madrid.

Sebelum sepak mula, kamera seperti biasa akan merakam wajah-wajah pemain di atas padang, namun apa yang mencuri perhatian peminat adalah detik ‘romantik’ dan manis antara Ronaldo dan Benzema.

Kedua-dua pemain ini dilihat berbalas senyuman yang sangat manis antara satu sama lain, bagaikan senyuman bahagia sepasang kekasih yang kegembiraan di atas pelamin dan tak ubah seperti manisnya senyuman Rahul kepada Anjali dalam filem Kuch Kuch Hota Hai.

Detik manis ini mengingatkan peminat kepada peristiwa yang hampir sama berlaku kepada pemain Borussia Dortmund, Marco Reus bersama bekas rakan sepasukannya yang berpindah ke Bayern Munich, Robert Lewandowski.

Dalam perlawanan Piala Jerman pada tahun 2015 tersebut, mereka bertemu buat kali pertama di atas padang selepas perpindahan Lewandowski dan sebelum sepak mula, Reus tidak dapat menahan kegembiraan dan melontarkan senyuman kepada Lewandoswki yang kemudiannya tersipu-sipu menahan senyuman yang lebar.

Selepas melihat aksi manis Ronaldo dan Benzema, seperti biasa pengguna Twitter akan memberikan reaksi mereka.

“Carilah seseorang yang melihat kamu seperti mana Ronaldo dan Benzema melihat antara satu sama lain,” ciap seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna pula menciap,”Benzema dan Ronaldo melemparkan senyuman kepada satu sama lain sebelum sepak mula. Bestnya!”

Sebaik sepak mula, kedua-dua Ronaldo dan Benzema ini bagaikan tidak mengenali pula antara satu sama lain dan menariknya, mereka sama-sama menjaringkan dua gol buat pasukan masing-masing.

Ronaldo terlebih dahulu memecah kebuntuan perlawanan selepas setengah jam perlawanan berlangsung apabila dia menyudahkan sepakan penalti akibat daripada kekasaran Hugo Lloris yang menumbuk muka Danilo dan membuatkan pemain Portugal itu hampir pengsan.

Pada minit-minit akhir separuh masa pertama, Kylian Mbappe ditolak oleh Nelson Semedo di dalam kotak penalti Portugal dan pengadil tanpa membuang masa menganugerahkan sepakan penalti buat Perancis.

Pemain Portugal cuba membuat bantahan namun tidak dilayan pengadil yang berwajah tegas dan garang tersebut. Benzema dengan tenang mengambil dan menyudahkan tendangan penalti tersebut sekaligus meletakkan kedua-dua pasukan terikat sebelum masuk ke bilik persalinan.

Dua minit selepas separuh masa kedua, pemain tengah Manchester United, Paul Pogba telah melorongkan bola yang sempurna buat Benzema yang berlari di celah-celah pertahanan Portugal.

Dengan ketenangan tahap tinggi dan menggunakan pengalaman yang ada, Benzema selamba sahaja menolak bola leret ke bahagian kanan Rui Patricio untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Gol tersebut awalnya dibantah pemain Portugal kerana mereka mendakwa Benzema telah berada dalam kedudukan ofsaid, tetapi selepas semakan daripada VAR dilakukan, pengadil mengesahkan gol tersebut dan Benzema kelihatan bersorak di hadapan Ronaldo.

Pada minit ke-60, Portugal sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti dan kali ini berpunca daripada bola yang terkena tangan Jules Kounde yang cuba menahan hantaran daripada Ronaldo.

Ronaldo sekali lagi mengambil tugas sepakan penalti ini dan dengan tenang menewaskan Hugo Lloris buat kali kedua.

Gol tersebut menyaksikan Ronaldo telah menyamakan jumlah rekod jaringan terbanyak di peringkat antarabangsa oleh bekas penyerang Iran, Ali Daei dengan 109 gol. Ronaldo juga sebelum ini telah memecahkan rekod jaringan gol terbanyak dalam Kejohanan Eropah milik Michel Platini.

Berita : SB

BACA:  Mane Bakal Jadi Gandingan Baru Ronaldo Di Al Nassr