“Dia Tipu Messi Dan Saya Sendiri” – Pique Hentam Bekas Presiden Barcelona

Gerard Pique sekali lagi tampil menghentam bekas Presiden Barcelona, Josep Bartomeu dengan bintang Sepanyol itu membahaskan tentang segala penipuannya terutama berkait skandal Barcagate.

Bekas Presiden Barcelona itu dilaporkan pernah melantik syarikat PR untuk menguruskan reputasi kelab dan turut mengarahkan syarikat tersebut untuk menjatuhkan pemain senior kelab.

Bartomeu merupakan salah seorang dari beberapa pegawai yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa sebelum ini berkait skandal tersebut.

Pique mendedahkan yang beliau pernah berdepan dengan bekas Presiden kelab itu untuk membahaskan tentang hal tersebut, namun malangnya beliau telah ditipu di padang latihan.

Pemain pertahanan itu kemudiannya turut mendakwa yang hal sama turut dilalui oleh Lionel Messi dengan beliau mendedahkan hal tersebut kepada Jordi Wild.

“Dia adalah seorang yang selalu rasa tak selamat, atau keinginan untuk pastikan semua orang gembira, bermaksud dia tak tahu bagaimana untuk katakan tidak.”

“Tak tahu macam mana nak berdepan dengan masalah. Kali terakhir kami tak nampak dia di Cuidad Deportiva. Kenapa saya tak suka dengan Bartomeu? Sebab dia menipu saya tentang Barcagate.”

“Pihak kelab melantik syarikat PR untuk mengkritik pemain. Dia menipu Leo dan saya sendiri di padang latihan, dia beritahu kami dia tak tahu apa-apa tentang Barcagate. Kami beritahu dia yang kami terima dia tak tahu apa-apa dan kami harap dia akan ambil langkah yang tepat.”

“Lepas tu saya dapat tahu yang dia sebenarnya tahu. Maksudnya dia tipu saya ketika kami sedang berbual serious. Setidaknya dia tunjukkan muka dia dan minta maaf. Saya keluar macam orang bodoh untuk pertahankan dia.”

Apa tu Barcagate? Skandal Barcelona?

Barcagate adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada siasatan ke atas bekas Presiden Barcelona, Bartomeu bersama tiga pegawainya.

Mereka dituduh telah melantik syarikat PR, I3 Ventures untuk mengendalikan reputasi kelab di media sosial dengan merosakkan reputasi pemain senior kelab.

Bartomeu bersama Oscar Grau, Jaume Masferrer dan Roman Gomez Ponti merupakan antara individu yang ditangkap selepas siasatan tentang hal itu dimulakan.

Mereka dilaporkan membayar syarikat PR tersebut enam kali ganda lebih tinggi berbanding nilai pasaran semasa untuk memastikan segala kerja dapat diselesaikan.

Bartomeu meletakkan jawatan sebagai Presiden kelab pada Oktober 2020 dengan tempatnya digantikan oleh Joan Laporta pada tahun lalu.

Pique sememangnya antara pemain paling lantang dalam bersuara berkait apa sahaja hal tidak kira dalam kem sendiri mahupun pandangan tentang pasukan lain.

Beliau bahkan turut pernah menghentam Presiden Real Madrid, Dalam satu temu bual bersama Marca sebelum ini.

Walau beliau memiliki sikap yang sangat lantang, namun Pique jelas sekali antara pemain yang benar-benar sayangkan kelab dan mahukan yang terbaik untuk kelab.

Beliau merupakan pemain pertama yang menerima cadangan pemotongan gaji tanpa sebarang bantahan.

Beliau juga antara pemain paling gembira dengan peningkatan yang Barcelona tunjukkan pada ketika ini di bawah kendalian Xavi Hernandez.

Selepas kejayaan Barcelona menewaskan Real Madrid 4-0 dalam aksi saingan La Liga sebelum rehat antarabangsa yang lalu, Pique sempat memuat naik status di laman media sosial miliknya dengan menyatakan yang ‘Barca sudah kembali.’

Barcelona jelas sekali sudah berjaya menemui rentak persembahan terbaik mereka pada ketika ini, dengan mereka ketika ini berada di kedudukan ketiga dalam carta saingan La Liga.

Barcelona juga sudah berjaya melayakan diri ke peringkat suku akhir saingan Europa League, dan tentunya para peminat sangat berharap agar mereka akan mampu lakukan sesuatu, dan memenangi pertandingan tersebut.

BACA:  Kehidupan Tanpa Messi Terlalu Menyakitkan Untuk Barcelona