Pemain pertahanan dan kapten skuad Harimau Malaya Dion Cools menjadi antara pemain yang berpotensi menerima hukuman oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas terlibat dengan pergaduhan dalam perlawanan AFC Champions League pada malam tadi.
Dalam perlawanan Kumpulan H itu, Buriram tewas 3-2 kepada wakil dari China Zhejiang FC. Pergaduhan di antara pemain kedua-dua pasukan bagaimanapun tercetus selepas tamat perlawanan.
Melalui video yang tular, punca pergaduhan dipercayai berpunca daripada pertengkaran mulut di antara pemain pertahanan Buriram United, Theerathon Bunmathan dengan pemain simpanan Zhejiang FC.
Insiden tersebut mengundang campur tangan Cools yang cuba menenangkan keadaan sebelum keadaan semakin menjadi tidak terkawal.
Beberapa pemain kelab China itu dilihat menyerbu ke arah penyerang import Buriram United, Ramil Sheydayev dan memukul pemain dari Azerbaijan itu.
🇨🇳🇹🇭 After the match between Zhejiang and Buriram United in the AFC Champions League group stage today (November 29), players from both sides had a scuffle.
The Asian Football Confederation (AFC) will have a heavy penalty for the player involved in this brawl#AFC #ACL pic.twitter.com/lvAjIDrym9
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) November 29, 2023
Tindakan Cools yang menarik beberapa pemain Zhejiang turut tidak disenangi oleh pemain pasukan tuan rumah, namun Cools berjaya ditarik oleh pegawai pasukan sebelum kejadian lebih buruk berlaku.
Kekecohan tersebut turut memaksa campur tangan pegawai keselamatan bertugas sebelum keadaan menjadi tenang.
Dalam perlawanan tersebut, Buriram mendahului pasukan pelawat melalui jaringan Hakim Vuckic pada minit ke-8 perlawanan.
Zhejiang bagaimanapun berjaya bangkit dan menyamakan kedudukan pada minit ke-27 perlawanan melalui Leo Souza sebelum menambah dua lagi gol menerusi Franko Andrijasevic dan Lucas Possignalo untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Buriram cuba bangkit kembali dan berjaya menemui sentuhan penyudah melalui Lonsana Doumbouya pada minit ke-87 perlawanan, namun ia sudah terlambat untuk pasukan dari Thailand itu memburu gol penyamaan.
Insiden panas membabitkan pemain kedua-dua pasukan kini sudah pasti mendapat perhatian daripada Jawatankuasa Disiplin AFC.